7 Ogos 2022, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda Perlis di Coconut Island, Phuket disambut oleh penduduk setempat dengan meriahnya.

Phuket – Coconut Island menjadi lokasi terakhir yang dikunjungi oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Syed Putra Jamalulail dan delegasi Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) bersempena dengan program Ziarah Mahabbah Raja Muda Perlis.

Baginda berkenan mencemar duli berangkat mengunjungi Masjid Nurul Syuhadak, Coconut Island dan menyantuni ahli kariah masjid berkenaan. Dalam majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada masjid tersebut sebelum baginda berangkat pulang ke Perlis tengah hari ini. Turut berangkat sama dalam program tersebut ialah anakanda baginda, Yang Amat Mulia Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Imam Masjid Nurul Syuhadak, Coconut Island menerima sumbangan daripada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail untuk masjid tersebut.

Terdahulu, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan memenuhi program tiga hari yang bermula pada 5 Ogos hingga 7 Ogos 2022, iaitu antara program kerjasama strategik kerajaan negeri Perlis, MAIPs dengan Majlis Agama Islam (MAI) wilayah Phuket. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor, kerjasama ini melibatkan banyak aspek. “Kita berkongsi pengetahuan dan pengalaman dari segi kepakaran dalam pengurusan zakat, pengurusan halal dan banyak lagi,” katanya.

Selepas program tersebut, Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama anakanda baginda serta delegasi yang hadir berkesempatan singgah di Masjid Sentral Phuket. Di mana-mana jua Tuanku Raja Muda Perlis berangkat tiba, sambutan yang diberikan oleh penduduk setempat sungguh meriah dan situasi ini menandakan betapa penduduk di situ begitu mengalu-alukan keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda Perlis.

Tuanku Raja Muda Perlis di perkarangan Masjid Sentral Phuket.

Semasa kunjungan tersebut, Tuanku Raja Muda Perlis berkenaan menyerahkan sumbangan untuk masjid yang sedang dalam fasa pembinaan. Tuanku Raja Muda Perlis juga mencemar duli melaksanakan acara penanaman pokok di perkarangan masjid sebagai tanda keberangkatan tiba baginda di masjid tersebut.

Tuanku Raja Muda Perlis menyerahkan sumbangan untuk masjid.
Tuanku Raja Muda Perlis mencemar duli melaksanakan acara penanaman pokok di perkarangan Masjid Sentral Phuket.
Tuanku Raja Muda Perlis menerima cenderamata daripada komuniti Islam di kawasan Phuket Sentral.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.