6 Ogos 2022, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Phuket – Bersempena dengan program Ziarah Mahabbah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Syed Putra Jamalulail dan delegasi Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) meneruskan program MAIPs Peduli di Kamala Phuket, Thailand pada petang tadi. Program yang menjadi aktiviti sepanjang tahun MAIPs ini dilaksanakan dengan perkenan baginda Raja Muda Perlis.

Dalam program tersebut, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan. Program tersebut menandakan keperihatinan baginda dalam soal kebajikan rakyat di samping mengajak golongan tersebut untuk melakukan aktiviti yang dapat mengubah kehidupan mereka. Turut berangkat sama dalam program tersebut ialah anakanda baginda, Yang Amat Mulia Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Syed Putra Jamalulail bersama-sama anakanda baginda, Yang Amat Mulia Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail semasa mengikuti Program MAIPs Peduli di Kamala, Phuket.
Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk di Kamala, Phuket.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, program tiga hari yang bermula pada 5 Ogos hingga 7 Ogos itu melibatkan kolaborasi strategik kerajaan negeri, MAIPs dengan Majlis Agama Islam (MAI) wilayah Phuket. Kerjasama ini bertujuan untuk meneruskan falsafah ummatan wahidah melalui perkongsian kepakaran dalam pelbagai bidang seperti kemajuan agama Islam, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan. Menurut beliau, MAIPs telah lama melakukan kerjasama strategik bersama enam Wilayah Andaman di Thailand, iaitu Krabi, Ranong, Phuket, Phang Nga, Trang dan Satun.

Golongan bukan Islam turut tidak terkecuali mendapat perhatian daripada Tuanku Raja Muda Perlis.

Delegasi yang turut serta dalam program tersebut termasuklah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Dato’ Sri Hasnol Zam Zam Haji Ahmad; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UMP), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Kamarudin Hussin; Mufti Negeri Perlis, Profesor Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor; dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.