21 Julai 2022, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sempena bulan Zulhijah yang sinonim dengan ibadat haji, suatu inovasi dan inisiatif yang unik dibuat oleh Arkib Negara Malaysia dengan menghasilkan e-buku tentang sejarah ibadat haji di Malaysia. Ibadat haji merupakan suatu tanggungjawab agama yang termaktub dalam rukum Islam dan telah sebati dalam diri orang Melayu sejak Tanah Melayu mula menerima pengaruh dan perkembangan agama Islam.

Tanggungjawab terhadap agama Islam yang mempunyai hubungan dengan Makkah dan Madinah ini telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada masyarakat Melayu dan merupakan faktor terjalinnya hubungan erat antara Alam Melayu dengan Tanah Suci.

Hubungan yang erat tersebut telah memanifestasikan kesungguhan orang-orang Melayu untuk menyempurnakan fardu haji. Namun begitu, sukar untuk dipastikan siapakah dan pada waktu bilakah orang Melayu terawal belayar menuju ke Makkah bagi mengerjakan ibadat haji. Meskipun demikian, diyakini bahawa orang Melayu telah mengerjakan ibadat haji sebaik-baik sahaja agama Islam tersebar ke rantau ini.

Rekod-rekod jemaah haji berketurunan Melayu dapat dilihat dalam pelbagai catatan dan gambaran, terutamanya pada abad ke-19 dan 20 Masihi. Berdasarkan ringkasan catatan pelayaran Abdullah Munsyi yang merupakan seorang cendekiawan Melayu, beliau ada mencatatkan pengalaman perjalanannya ke Mekah pada tahun 1854 Masihi atau 1270 Hijrah. Menurut catatan tersebut, didapati bahawa Abdullah Munsyi telah belayar ke Tanah Suci Makkah dari Singapura untuk melaksanakan rukun Islam yang kelima dengan sebuah kapal milik Syeikh Abdul Karim yang diberi nama Subulus Salam.

Ringkasan Catatan Pelayaran Munsyi Abdullah yang dipamerkan dalam e-Buku Sejarah Awal Haji di Malaysia.

Dalam pada itu, perkembangan ibadat haji di Malaysia turut disokong oleh beberapa perjanjian yang dimeterai antara sultan dengan kerajaan Inggeris pada masa itu. Sebagai contoh, Perjanjian Pangkor telah dimeterai pada 20 Januari 1874 bertempat di atas Kapal HMS Pluto yang berlabuh di Selat Dinding. Hal ini menjadi bukti kepada termentarainya satu perjanjian di antara Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Andrew Clarke mewakili Inggeris dan Raja Muda Abdullah yang berkuasa di Hilir Perak bersama-sama dengan pembesar yang menyokong baginda. Pada hakikatnya, perjanjian ini menyebabkan bermulanya campur tangan secara menyeluruh pihak Inggeris di Tanah Melayu dan telah mengubah politik, ekonomi dan sosial penduduk. Walau bagaimanapun, hal-hal berkaitan dengan istiadat dan agama Islam masih menjadi kuasa penuh sultan. Perjanjian ini menjadi titik tolak kepada kelangsungan amalan agama Islam khususnya berkaitan ibadat haji.

Kendatipun begitu, terdapat pelbagai masalah dan kekurangan sepanjang pemerintahan Inggeris berkaitan dengan pengurusan haji di Tanah Melayu khususnya pada awal era pemerintahannya. Hal ini telah menyebabkan Raja-raja Melayu pada ketika itu mendesak kerajaan Inggeris mewujudkan satu sistem yang teratur bagi menjaga kebajikan jemaah haji Tanah Melayu. Maka, wujudlah undang-undang yang berkaitan dengan urusan haji bagi orang-orang Islam di Tanah Melayu yang dinamakan Ordinan Pengurusan Haji Orang-orang Islam 1951. Di sinilah bermulanya suatu episod baharu dalam pengurusan haji di Tanah Melayu.

Sebahagian muka surat yang memaparkan tentang perkembangan pengurusan haji dalam e-buku ini.

Sejarah pengurusan haji yang lebih moden dan sistematik di negara ini bermula pada tahun 1959 apabila YM Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz menggemukakan kepada pihak kerajaan kertas kerja bertajuk “Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji”. Rentetan daripada daripada pembentangan kertas kerja itu, maka tertubuhlah sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Kebajikan Ekonomi Bakal-bakal Haji pada 1 November 1962 dan seterusnya terbentuknya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji pada April 1963. Bagi memperlihatkan keberkesanan pengurusan haji di negara ini, pada 8 Ogos 1969 suatu sejarah tercipta apabila Lembaga Urusan dan Tabung Haji ditubuhkan. Sejak itu, Tabung Haji mengorak langkah drastik dan lebih cekap sebagai institusi pengurusan jemaah haji yang unggul dan terus berkembang hingga ke hari ini.

(Sumber gambar: Arkib Negara Malaysia)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.