Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGajet dirujuk sebagai peranti, mesin atau alat elektronik yang memberikan pelbagai manfaat. Gajet berupaya membantu sesi pembelajaran secara sendiri dan secara berdikari, tanpa memerlukan atau hanya memerlukan sedikit bantuan daripada guru. Gajet membantu perhubungan atau komunikasi, mempercepat proses kerja, memperluas jaringan kerjasama, dan pelbagai peranan dan manfaat yang lain. Antaranya termasuklah meringankan kerja-kerja rumah, menjadi teman hiburan, dan memenuhi tugas-tugas pemantauan. Tidak dinafikan bahawa kemunculan pelbagai gajet pada masa ini membuatkan kehidupan manusia lebih mudah, ringkas dan pelbagai maklumat dapat diperoleh secara pantas.
Namun begitu, manusia juga jangan terlalu leka hingga tenggelam dan lemas dalam dunia gajet. Penggunaan gajet tanpa panduan dan kawalan akan mengundang pelbagai kesan buruk di samping pelbagai manfaat yang dapat dinikmati melalui kewujudannya. Gajet juga membawa pelbagai pengaruh negatif dalam hidup insan. Banyak kajian menunjukkan bahawa penggunaan gajet secara keterlaluan, memberikan banyak kesan negatif, khususnya kepada kanak-kanak.
Anak-anak yang terlalu taksub hingga ketagih dengan gajet elektronik, didapati sukar bekerjasama dengan orang lain, cepat marah dan naik angin, kurang berminat dengan kegiatan di luar rumah atau bermasyarakat, kurang tumpuan kepada pelajaran sekolah, memiliki tabiat makan yang tidak baik yang turut memberikan kesan buruk terhadap kesihatan, serta mempengaruhi tingkah laku anak-anak secara mental, perkembangan kognitif, sosial dan emosi.
Selaras dengan kemajuan sains dan teknologi, ibu bapa memilih untuk memudahkan anak-anak memiliki dan menggunakan gajet. Namun begitu, pada masa yang sama ibu bapa wajib berwaspada dan mengambil ingatan saranan yang terkandung dalam al-Quran melalui firman Allah SWT:
Maksudnya: … dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. (Surah Al-Baqarah 2:195).
Hari ini, menjadi cabaran besar kepada ibu bapa untuk mencanai minda dan sikap anak-anak berlandaskan adab dan adat, budi dan pekerti, serta nilai dan sopan berlandaskan Islam dan budaya bangsa yang sangat halus lagi bersantun. Ibu bapa yang memilih gajet sebagai “pengasuh” kepada anak kecil agar tidak mengganggu kesibukan kerja mereka sebenarnya telah menidakkan hak anak-anak untuk mendapat sentuhan asuhan kasih sayang dan belaian kemanusiaan daripada ibu bapa. Tanpa disedari, perbuatan sedemikian telah menyerahkan anak-anak ke atas ribaan gajet; menjadi penyebab kepada minda dan jiwa yang ketagihan gajet; gajet dijadikan teman hidup, gajet dianggap rakan setia, dan gajet dirasakan penawar rindu.
Apakah kesan buruk ketagihan gajet terhadap kanak-kanak?
Pertama: Kesihatan
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mendapati gajet elektronik mempunyai risiko sebagai ejen kanser melalui radiasi atau sinaran yang dihasilkan. Jika terdedah terlalu lama, penyinaran ini boleh melemahkan sistem kekebalan kanak-kanak. Sifat terpaku bersama gajet hingga kurang bergerak serta meninggalkan aktiviti fizikal dan riadah akan menyebabkan berlakunya obesiti atau kegemukan. Cahaya biru yang terhasil daripada skrin gajet boleh merosakkan retina mata, sekali gus merosakkan penglihatan.
Kedua: Emosi
Kanak-kanak yang menghabiskan masa lebih dari dua jam di hadapan skrin, lebih cenderung mengalami masalah psikologi seperti diserang kemurungan, kegelisahan, hilang tumpuan pembelajaran, kurang perhatian dan terbatas kemampuan mengurus dan mengawal diri sendiri. Mereka juga lebih mudah bertindak agresif jika terlalu kerap menonton aksi-aksi ganas.
Ketiga: Kekeluargaan
Telah wujud segelintir ahli keluarga yang terlalu taksub dengan gajet masing-masing, memilih untuk bersendirian dan memisahkan diri sehinggakan tidak lagi mengambil peduli mahu berkomunikasi atau berbual sesama ahli keluarga. Akibatnya, keakraban dan hubungan kekeluargaan semakin renggang. Dibimbangi pada masa akan datang, akan muncul masyarakat yang tidak mahu ambil peduli dengan persekitaran setempat.
Keempat: Akhlak
Kanak- kanak yang ketagihan gajet, lebih menonjolkan sifat memberontak dan sukar dikawal. Mereka lebih mudah terpengaruh dengan apa-apa yang dihidangkan melalui gajet. Budaya asing dan perangai liar mudah ditiru, lalu diamalkan dalam kehidupan seharian. Malah ada yang terjerumus ke dalam kancah ketagihan pornografi.
Sehubungan dengan itu, umat Islam diingatkan agar memainkan peranan seperti yang berikut:
Pertama: Ibu bapa wajib memantau dan mengawasi agar anak-anak dilindungi daripada terlalu taksub, dan menghindarkan anak-anak daripada bersifat ketagihan gajet.
Kedua: Ibu bapa perlu mengehadkan masa penggunaan gajet. WHO mengesyorkan agar gajet sama sekali tidak diberikan kepada kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah, dan bagi kanak-kanak yang berusia dua hingga empat tahun, dihadkan menggunakan gajet tidak melebihi satu jam sehari.
Ketiga: Ibu bapa perlu menerangkan peranan sebenar gajet untuk pembelajaran, pencarian maklumat, perhubungan, kecemasan, dan kandungan hiburan yang sihat.
Keempat: Perhatian dan kecenderungan anak-anak perlu didedah dan dididik dengan aktiviti fizikal dan riadah di luar rumah untuk membantu perkembangan jasmani, intelek, emosi dan sosial sekali gus mengurangkan kebergantungan anak-anak sehingga terlalu asyik, leka dan seronok dengan permainan gajet.
Kelima: Langkah pengawalan dengan menetapkan kata laluan agar anak-anak tidak boleh menggunakan gajet sewenang-wenangnya, di samping menggunakan perisian penapisan kandungan Internet, agar anak-anak dilindungi daripada terdedah kepada bahan yang tidak selayaknya.
Kesimpulannya, hukum asal penggunaan gajet adalah harus, berpandukan kaedah yang ditetapkan oleh ahli fikah, “… asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada pengharaman (perkara tersebut).” Namun, sesuatu hukum yang harus, boleh berubah menjadi haram, jika gajet digunakan secara melampau sehingga boleh mendatangkan ketagihan dan memudaratkan kesihatan.
Penggunaan gajet secara tidak terkawal telah merampas sebahagian besar masa dalam kehidupan harian dan kemesraan berkeluarga. Masa anak-anak hendaklah dipenuhi dengan pendidikan ibu bapa, melalui perbualan dan bercerita; makan, melakukan kerja-kerja rumah, beriadah di luar rumah, bercuti dan melancong bersama-sama ahli keluarga dalam suasana mesra, manja dan berkasih sayang. Sedarilah bahawa anak-anak mencerminkan perlakuan ibu bapa. Sifat dan tabiat yang terzahir oleh anak-anak mencerminkan nisbah asuhan dan pendidikan yang diperoleh daripada kedua-dua orang tuanya.
Daripada Saidina Abu Hurairah R.A katanya, Nabi SAW bersabda,
Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (Hadis riwayat al-Bukhari).
Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkanlah selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah! Ya Rabb al-Alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Kami mohon taufik dan hidayah-Mu, memanfaatkan setiap kurniaan dan nikmat-Mu ke arah mencapai keredaan-Mu.
Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Ya Dzal Jalaali wa al -Ikram! Jadikanlah kami antara hamba -Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ya Maalik al-Mulk! Jauhilah negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Hari Raya Aidiladha, 15 Julai 2022, “Gajet: Bahaya Ketagihan”, Jabatan Agama Islam Perak)