1 Julai 2022, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Liga Dunia Muslim (MWL) telah diadakan pada 30 Jun 2022 bertempat di Dewan Sunway Resort, Petaling Jaya bermula jam 2.00 petang hingga 7.00 malam. Turut hadir  dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Agung MWL, Sheikh Dr. Mohammad Abdul Kareem Al-Issa bagi menyertai Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022.

Sejajar dengan temanya “kesatuan”, Persidangan Ulama Asia Tenggara Tahun 2022 ini diadakan bertujuan untuk membincangan topik dan isu kesatuan, keharmonian serta keadilan melalui perkongsian dan pandangan para ulama Asia Tenggara demi mendapatkan satu kaedah yang terbaik bagi mengukuhkan perpaduan ummah di seluruh dunia. Persidangan ini telah berjaya menghimpunkan wakil ulama dari 20 buah negara di rantau Asia sejak pendaftaran penyertaan dibuka pada 29 Jun 2022, jam 11.00 pagi.

MWL telah memilih Malaysia sebagai tuan rumah bagi persidangan kali ini kerana negara Malaysia berjaya menonjolkan Islam sebagai satu agama yang harmoni, selamat dan sejahtera walaupun rakyatnya hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Usaha memperkenalkan konsep “Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera” oleh  Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ini kepada dunia memperlihatkan bahawa konsep ini merupakan langkah bagi mengukuhkan kesatuan ummah sedunia.

Menurut beliau, konsep tasamuh atau berlapang dada dapat menjadi alat menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia dan konsep ini harus diterap dalam kalangan negara yang mempunyai bangsa dan budaya majmuk. Konsep tersebut turut menggambarkan amalan sikap menerima dan damai terhadap apa-apa juga keadaan yang dihadapi. Hal ini telah ditekankan oleh kerajaan agar menjadi sebahagian daripada amalan  Keluarga Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Persidangan ini telah menghimpunkan 44 penceramah dari 17 buah negara dengan bermatlamat untuk membina kesedaran umat Islam dalam menghadapi ideologi ekstremis dan menjadikan perbezaan antara masyarakat pelbagai latar belakang politik kepada suatu bentuk kerjasama dan perpaduan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.