2 Mei 2022, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hari Raya Aidilfitri ialah perayaan agama yang wajib disambut atas landasan agama. Aidilfitri yang disambut berlandaskan agama merupakan satu ibadat. Oleh itu, perayaan tersebut hendaklah disambut dalam kerangka syariat Islam dan tidak dicemari dengan perbuatan yang menyalahi syariat. Hari Raya Aidilfitri merupakan hari meraikan kemenangan selepas mengerjakan ibadat besar, iaitu berpuasa sebulan Ramadan.

Hari Raya Aidilfitri hadiah daripada Allah SWT kepada umat Islam yang berjaya melepasi hari-hari sukar menjalani perintah Ilahi dengan hati yang suci dan jiwa yang bersih, mengabdikan diri sepenuh ikhlas kepada Allah Maha Pencipta.

Idil atau dalam bahasa Arab disebut id – berasal daripada kata dasar aada – ya’udu yang bermaksud kembali. Kalimah fitri bermaksud fitrah, iaitu kejayaan manusia kembali kepada fitrah yang asal. Fitrah yang asal bermaksud permulaan kejadian manusia yang suci bersih daripada noda dan dosa. Aidilfitri ialah masa untuk kita membina semula keperibadian melalui proses pengislahan di madrasah Ramadan. Kita bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah mengurniakan kita kesihatan, ketabahan dan kesabaran, berjaya mengharungi tarbiah Ramadan selama sebulan. Kegembiraan yang kita nikmati pada hari raya ini, perlulah dizahirkan dengan sifat syukur, agar nikmat kurniaan Ilahi ini kekal berpanjangan, dan dilipatgandakan, bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7:

Khutbah Raya, Perak

Dua aspek menjadi kayu ukur kejayaan madrasah Ramadan dalam menambah baik jiwa seseorang Muslim; iaitu pertama ibadat; dilihat melalui amalan harian yang dilakukan secara berterusan sehingga menjadi rutin dalam kehidupan; dan kedua keperibadian;  menyentuh pembentukan dan peningkatan sahsiah yang unggul dalam diri seseorang insan, seperti amanah, disiplin, tanggungjawab dan sifat-sifat mahmudah.

Selepas dua tahun menyambut Aidilfitri dengan perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), umat Islam amat teruja menyambut berita pembebasan daripada pelbagai perintah yang pernah dikenakan untuk menangani ancaman virus COVID-19.

Kini sudah tiada larangan pergerakan, tiada larangan rentas daerah dan negeri, tiada lagi sekatan jalan raya. Pertama kali dalam tempoh dua tahun, keadaan kembali seperti asal. Keadaan ini juga ibarat mengembalikan kita kepada fitrah, membolehkan kita menyambut Aidilfitri sebagaimana lazimnya.

Pada tahun ini kita berpeluang ziarah-menziarahi, iaitu amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Islam menggalakkan umatnya senantiasa berusaha menjalinkan silaturahim dan mempertingkatkan ukhuwah. Menjalinkan silaturahim dan mempertingkatkan ukhuwah ialah ibadat yang diberikan ganjaran pahala. Orang yang berusaha menjalinkan silaturahim dan mempertingkatkan ukhuwah melalui amalan ziarah-menziarahi akan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Oleh itu, perbanyakkan amalan ziarah-menziarahi semasa merayakan Aidilfitri.

Kegembiraan yang dikecapi pada hari ini hendaklah disusuli dengan rasa keinsafan terhadap insan-insan daif yang serba kekurangan dan kurang berkemampuan. Pesan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a.:

Bermaksud: Bukan mukmin sebenar, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan. (Hadis riwayat Al-Tabarani, no. 12579).                                       

Oleh itu, umat Islam diajak untuk berkongsi kegembiraan bersama-sama kumpulan yang daif, miskin dan fakir dengan menghulurkan bantuan sedaya yang mungkin. Tarbiah Ramadan telah menjentik hati kita agar bersifat pemurah, membuat kita berasa gembira melakukan amalan bersedekah. Sifat pemurah yang telah disemai di kebun Ramadan, hendaklah disuburkan ketika menyambut Syawal dan terus dijadikan pohon amalan sepanjang hayat.

Sedekah merupakan satu ibadat yang dituntut dalam Islam.

Teruskan memupuk diri menjadi insan dermawan agar hidup dan harta kita sentiasa diberkati. Allah SWT menghadirkan kumpulan daif, miskin dan fakir di dunia ini bagi memberikan peluang kepada manusia untuk melakukan ibadat, membolehkan manusia menzahirkan sifat pemurah, memungkinkan manusia membuktikan diri mereka tidak bersifat tamak dan bakhil, juga sebagai asbab yang membuka laluan menuju ke syurga.  Ketahuilah, bersedekah dan berbuat kebaikan itu penuh dengan fadilat, antaranya; dihapuskan dosa, dipanjangkan usia, disucikan hati, disihatkan tubuh, serta dijauhi bala dan diselamatkan daripada mara bahaya.

Dalam keriangan menyambut Aidilfitri umat Islam diingatkan tentang perkara yang berikut:

Pertama: Memenuhi sambutan dengan sifat takwa melalui acara yang mematuhi syarak dan menghindari perkara yang berunsur maksiat.

Kedua: Menyantuni kedua-dua ibu bapa dan menceriakan saudara yang lebih tua dengan menziarahi mereka.

Ketiga: Rasulullah SAW menyeru umat Islam agar menjadikan Aidilfitri sebagai hari mengeratkan perpaduan. Baginda mengisytiharkan Aidilfitri sebagai hari kedamaian – hari kegembiraan – hari keriangan. Sambutlah Aidilfitri dalam suasana damai, gembira dan riang, dengan mengeratkan silaturahim sesama anggota keluarga; sambutlah Aidilfitri dengan menyemai rasa kasih sayang sesama insan. Oleh itu, jalinkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dengan rumah yang terbuka, menerima kunjungan tetamu yang berlainan agama, kaum dan budaya.

Keempat: Menggembirakan golongan miskin, anak yatim dan orang yang berada dalam keuzuran dan kedaifan dengan menghulurkan hadiah dan sedekah.

Kelima: Mengelakkan diri daripada melakukan pembaziran melalui penyediaan juadah secara berlebihan dan keterlaluan yang akan berakhir ke dalam tong sampah, kerana perlakuan membazir mewarisi tabiat syaitan sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 27:

khubah, Jabatan Agama Islam Perak

Bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang boros itu ialah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula ialah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Ketika majoriti umat Islam berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah masing-masing dengan pakaian yang indah serta menikmati pelbagai juadah, sama-samalah kita hargai pengorbanan yang dilakukan, dan perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai pihak, untuk membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang dan meriah. Ketika majoriti warga bercuti dan bergembira, terdapat kalangan rakyat yang sedang melaksanakan pelbagai tugas penting; para anggota pasukan keselamatan, polis dan tentera, begitu juga dengan mereka yang diperlukan untuk mengendalikan perkhidmatan 24 jam sehari; termasuklah anggota bomba, kakitangan penjara, imigresen dan kastam; kakitangan hospital, sektor pengangkutan dan perkhidmatan, serta kakitangan media, radio dan televisyen.

Hargai khidmat bakti mereka dan pengorbanan anggota keluarga mereka. Kita doakan agar khidmat bakti dan pengorbanan anggota keluarga mereka diterima oleh Allah SWT, sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika di alam barzakh dan diberatkan timbangan amal ketika di Padang Mahsyar.

Daripada Abu Hurairah r.a., menurut yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani, Nabi SAW  bersabda yang bermaksud, “Hiasilah hari raya kamu dengan takbir.”

Sehubungan dengan itu, perbanyakkan takbir dan tahmid tanda kesyukuran kepada Allah Yang Maha Besar.

Ya, Allah! Ya, Wahhab! Terimalah ibadah yang kami lakukan sepanjang Ramadan,  semoga kebaikan kesihatan yang diperoleh, dan kekuatan yang terbina semasa melakukan ibadah puasa Ramadan akan memperkukuh iman kami dan mendorong kami untuk melakukan puasa sunat sehingga bertemu semula bulan Ramadan pada tahun hadapan.

Ya, Hafiz!  Kami pohonkan perlindungan-Mu untuk melindungi kami dan keluarga kami daripada sebarang bencana dan kemalangan ketika menyambut Aidilfitri, dan kurniakan kepada kami kesihatan dan keselamatan ketika kami dalam perjalanan.

Ya, Dzal Jalaali wal Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkanlah kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya, Maalikal Mulk! Jauhilah negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks Khutbah Hari Raya Aidilfitri 1443/2022, “Aidilfitri: Meraikan Kemenangan, Meningkatkan Keinsafan”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.