8 April 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Puasa merupakan satu daripada rukun Islam. Berpuasa sepanjang bulan Ramadan diwajibkan ke atas setiap umat Islam yang mencapai usia baligh, tetapi diberikan kelonggaran dalam keadaan tertentu seperti orang yang sedang bermusafir, menjalankan tugas tertentu dan sedang menghadapi keuzuran. Namun begitu, mereka diwajibkan untuk menggantikan puasa tersebut apabila telah sihat atau dikenakan fidyah kerana ketidakupayaan mengerjakan puasa.

Tujuan utama berpuasa adalah untuk melahirkan insan yang bertakwa. Ramadan hendaklah dianggap sebagai madrasah untuk mengislahkan diri menjadi insan yang tunduk kepada Allah SWT. Madrasah Ramadan melatih orang yang berpuasa untuk menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang Ilahi, di samping meningkatkan keikhlasan ketika menjalankan perintah-Nya.

Ramadan ialah bulan ibadat; bulan yang memiliki pelbagai kelebihan dan keistimewaan; Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانَ فُتِحَتْ اَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغَلَّقَتِ اَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِيْنَ

Maksudnya: Apabila Ramadan datang, maka pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu, iaitu diikat dengan rantai. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ibadat puasa memberikan pelbagai manfaat kesihatan, sama ada kesihatan jasmani mahupun rohani. Pelbagai kajian membuktikan bahawa amalan berpuasa mampu meningkatkan tahap kesihatan seseorang. Puasa boleh merehatkan organ dalam badan dan sistem penghadaman. Dengan menahan diri daripada makan dan minum selama tempoh tertentu, tubuh dapat menyerap zat yang mendap di dalam usus untuk dimanfaatkan. Penyerapan zat ini penting kerana pemendapannya dalam tempoh yang panjang akan mengakibatkan mendapan tersebut menjadi kotoran beracun yang berbahaya kepada tubuh manusia.

Kita disunatkan berbuka dengan beberapa biji kurma dan air. Kurma mengandungi gula ringkas yang dapat ditukarkan dengan segera kepada tenaga. Kita juga dianjurkan supaya melewatkan sahur. Selain itu, ketika berpuasa kita digalakkan untuk mengambil makanan yang seimbang dan secara sederhana kerana pemakanan yang berlebihan akan menjadi punca pelbagai penyakit. Islam menganjurkan kesederhanaan dalam amalan makan dan minum berpandukan firman Allah SWT yang bermaksud, “Makan dan minumlah tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melakukan sesuatu secara berlebihan.” (Surah al-A‘raf 7:31).

Ibadat puasa berupaya membetulkan tabiat pengambilan makanan. Perubahan fisiologi badan akan berlaku pada fasa awal puasa. Hal ini menunjukkan bahawa sistem di dalam badan kita mampu berperanan secara biasa. Segala sel, otot dan organ tubuh terbabit secara langsung ketika berlaku perubahan fisiologi. Selepas 15 hari berpuasa, pengamalnya akan berasa badan semakin “ringan” kerana sebahagian daripada lemak yang tersimpan di dalam otot dan hati, telah dibakar dan digunakan sebagai sumber tenaga. Keadaan ini akan meningkatkan tahap kesihatan tubuh orang yang berpuasa.

Antara amalan buruk yang berlaku dalam bulan Ramadan termasuklah membazirkan makanan. Menurut laporan di negara kita, sebanyak 45 peratus daripada keseluruhan sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan ialah sisa buangan bahan makanan yang dianggarkan sebanyak 17 000 tan sehari. Sebanyak 24 peratus buangan bahan makanan tersebut masih elok dan boleh mengisi perut tiga juta orang sehari. Dilaporkan juga, pembaziran makanan lazimnya meningkat 10 peratus dalam bulan Ramadan. Keadaan ini sangatlah janggal kerana Ramadan sepatutnya mendidik jiwa agar dapat mengawal diri daripada godaan hawa nafsu.

Perbuatan membazir merupakan amalan syaitan.

Angka pembaziran tersebut membayangkan betapa seriusnya perbuatan pembaziran makanan yang berlaku, sedangkan amalan pembaziran bercanggah dengan falsafah berpuasa dan golongan pembazir ialah saudara syaitan. Hal ini berpandukan firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang membazir ialah saudara syaitan. Dan, syaitan itu sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’ 17:27).

Insaflah! Perubahan cuaca, konflik dan peperangan, serta pandemik COVID-19 yang berlaku telah menyebabkan lebih banyak penduduk dunia menghadapi kebuluran. Ketika kita bermewah dan dikurniakan rezeki yang melimpah sehingga bersifat membazir, begitu banyak insan di dunia sedang mengalami kelaparan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa pada tahun 2020, sebanyak 768 juta orang, iaitu menghampiri 10 peratus penduduk dunia menghadapi kebuluran. Hampir satu per tiga penduduk dunia, iaitu dianggarkan 2.4 bilion orang tidak memiliki bahan makanan yang cukup. OXFAM, sebuah pertubuhan antarabangsa yang bergiat untuk mengatasi kemiskinan melaporkan bahawa dalam suasana dunia menghadapi krisis makanan yang tidak mencukupi, 11 orang berkemungkinan maut setiap minit akibat kelaparan melampau.

Oleh itu, umat Islam diberikan beberapa pesanan untuk renungan bersama:

Pertama: Ramadan berperanan sebagai fasa latihan, iaitu disebut sebagai madrasah tarbiah, medan menundukkan nafsu, dan ruang untuk meningkatkan iman. Berusahalah dengan kesungguhan, keazaman, pengharapan dan keikhlasan untuk mendapatkan keredaan; semoga kita meninggalkan Ramadan dengan memperoleh keampunan Ilahi.

Kedua: Puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran dan kejujuran serta semangat bertolak ansur dalam diri. Semoga amalan puasa dapat menyuburkan sikap murni dalam diri. Oleh itu, jagalah adab berpuasa; selain menahan lapar dan dahaga, hendaklah kita mengawal lidah daripada berbohong atau melakukan fitnah atau mengeluarkan kata-kata buruk dan sia-sia, begitu juga menjaga pandangan mata daripada melihat perkara maksiat.

Umat Islam digalakkan melakukan banyak amalan sunat pada bulan Ramadan.

Ketiga: Manfaatkan masa dengan membanyakkan amalan sunat seperti bersolat tarawih, membaca al-Quran, berwakaf, bersedekah, berziarah sambil membantu orang-orang tua yang uzur serta anak-anak yatim.

Keempat: Semaikan azam mahu meninggalkan tabiat buruk.

Kelima: Berhenti melakukan pembaziran dan mula mengamalkan budaya berjimat cermat.

Kesimpulannya, falsafah “menahan diri” dalam ibadat puasa dapat meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT, dan pada masa yang sama sangat berfaedah untuk manfaat tubuh. Jika kita dapat menahan diri daripada perkara yang dihalalkan dalam tempoh tertentu, maka sepatutnya ibadat puasa dapat menjadi pendorong untuk meningkatkan azam kita meninggalkan perkara maksiat dan mungkar.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah Islamiyah berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya, Allah! Ya, Rabb al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Jadikanlah kami dalam kalangan hamba-Mu yang sentiasa ikhlas dalam beribadat, khususnya pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Ya, Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniakan rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhilah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya, Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya, Malik al-Mulk! Jauhilah negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 8 April 2022, “Puasa: Kesihatan Dinikmati, Pembaziran Dijauhi”, Jabatan Agama Islam Perak)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.