25 Februari 2022, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Allah SWT menuntut umat-Nya menerokai isi kandungan dan menghayati mukjizat al-Quran sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Nisa’ ayat 82:

Ertinya: Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan daripada Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan di dalamnya.

Sebanyak 114 surah terkandung dalam al-Quran. Setiap huruf al-Quran mempunyai nilai kemukjizatannya yang tersendiri. Ilmu mukjizat al-Quran terbahagi kepada tujuh cabang utama, iaitu bahasa, kejiwaan, syariat, sains, matematik, perkhabaran lampau dan perkhabaran akan datang. Tilawah al-Quran atau bacaan al-Quran menzahirkan dua kemukjizatan, iaitu bahasa dan kejiwaan. Alunan bacaan al-Quran yang bertajwid, berserta rentak taranum, ditambah dengan keindahan susunan huruf dan perkataan, dihiasi pula dengan kemerduan suara pembaca, pasti menyentuh jiwa insani bahkan memberikan kesan kepada makhluk sekeliling.

Catatan sejarah awal Islam membuktikan hal tersebut. Walid bin al-Mughirah seorang pembesar dan penyair Arab, teruja dengan keindahan bahasa al-Quran, lantas mengungkap kata-kata, “Sungguh, padanya kesempurnaan keindahan bahasa.” Sayidina Umar ibni Khattab r.a. terkelu lidah, sejuk amarahnya sebaik-baik mendengar bacaan Surah Taha; sinaran hidayah lalu menerpa masuk ke dalam jiwanya.

Pada era sains dan teknologi masa ini, kemukjizatan bahasa dan kemukjizatan kejiwaan terus dikaji dan diperhalusi. Hasil pelbagai kajian ilmiah membuktikan bahawa bacaan al-Quran memberikan kesan yang sangat positif kepada jantung manusia; tumbesaran tumbuh-tumbuhan terkesan dengan bacaan Surah al-Waqi’ah; haiwan sembelihan korban dapat dijinakkan dengan bacaan ayat daripada Surah Ali Imran. Beberapa kajian menunjukkan molekul air terkesan dengan bacaan al-Quran. Bacaan al-Quran juga menjadi asbab kepada penyembuhan penyakit, sesuai dengan salah satu nama al-Quran, iaitu al-Syifa` yang bermaksud penyembuhan. Mukjizat al-Quran, khususnya kemukjizatan saintifik al-Quran telah menjadi asbab kepada ramai sarjana dan ilmuwan menerima hidayah Allah SWT.

Amalan membaca al-Quran memberikan kesan yang positif terhadap kehidupan manusia.

Umat Islam di negara ini secara umumnya menyedari akan kepentingan al-Quran dalam hidup insan. Atas kesedaran tersebut anak-anak telah diperkenalkan dengan al-Quran sejak usia muda. Anak-anak dididik agar boleh membaca al-Quran dan diasuh untuk berupaya menghafal surah tertentu, membaca surah tertentu dalam majlis atau sempena peristiwa tertentu, antaranya adalah ketika memohon hajat, menghadapi dugaan, menghadapi keuzuran dan kematian. Kini, minat untuk menghafal al-Quran semakin meningkat berdasarkan pengajian tahfiz yang semakin berkembang dan kian mendapat sambutan.

Namun begitu, nilai al-Quran, kehebatan al-Quran, ilmu dan mukjizat yang terkandung dalam al-Quran tidak akan dapat diperoleh selengkapnya jika ayat al-Quran sekadar dijadikan bahan bacaan dan bahan hafalan. Allah SWT mahukan umat-Nya berhubungan secara aktif dengan al-Quran, lalu Dia membuka dan mendorong hati kita untuk menerokai erti yang terkandung dalam setiap ayat al-Quran sehingga ke penghujung. Khazanah dan mutiara berharga yang terkandung dalam al-Quran hanya dapat ditemui melalui usaha, penerokaan kandungannya dan selanjutnya menghayati al-Quran.

Sehubungan dengan itu, kaedah pengajaran al-Quran hendaklah memberikan keutamaan terhadap usaha menerokai dan menghayati kandungan al-Quran.

Menerokai” bermaksud menyelidiki, menyelami, mengkaji, menghalusi, mengharungi, menjelajah dan mengembara untuk mengetahui sesuatu perkara yang belum diketahui.

Menghayati” bermaksud mengalami dan merasai dalam batin serta meresapkannya ke dalam jiwa.

Oleh itu, al-Quran wajib diterokai untuk dihayati dalam setiap jiwa umat Islam. Terdapat ratusan ayat al-Quran yang menyeru orang beriman memanfaatkan akal anugerah Ilahi agar menjadi insan yang bijaksana. Insan beriman akan memanfaatkan akal, mengambil pengajaran dengan menerokai makna yang tersirat dalam ayat al-Quran dan menghayatinya dalam kehidupan harian. Insan yang memanfaatkan akal akan mencerminkan kebijaksanaan sifat insani dan menjauhkan diri daripada godaan nafsu haiwani.

Pada hari ini, jika ada pemimpin yang menerima rasuah, jika ada pegawai yang pecah amanah, jika ada pekerja yang curi tulang, jika ada peniaga yang menipu, jika ada suami yang mengabaikan tanggungjawab, jika ada anak muda yang terlibat dengan gejala sosial, jika ada pergaduhan yang memutuskan silaturahim, jika ada pertentangan politik kepartian yang menggadaikan persaudaraan, jika hutang gagal dilangsaikan, jika solat diabaikan, jika pendidikan agama diremehkan; Allah SWT telah menegaskan jawapannya dalam al-Quran. Antaranya, termasuklah firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 58:

Maksudnya: Yang demikian itu adalah kerana mereka benar-benar kaum yang tidak mahu menggunakan akal.

Al-Quran merupakan mukjizat kurniaan Allah SWT yang perlu dijadikan pegangan dalam kehidupan umat Islam. Oleh itu, kandungan al-Quran hendaklah diterokai dan dihayati melalui program tadabbur al-Quran bagi memupuk pembudayaan al-Quran dalam kehidupan insan. Tadabbur al-Quran bermaksud penghayatan terhadap ayat al-Quran untuk difahami maksud, hikmah dan pengajarannya; dengan memberikan pemerhatian yang menyeluruh terhadap maksud sebuah ungkapan dan makna mendalam yang terkandung di sebaliknya. Insan yang mentadabbur al-Quran ialah insan yang meneliti sesuatu ayat al-Quran secara berulang-ulang untuk memahami maksud yang terkandung di sebalik ayat yang difirmankan, membawa insan tersebut terbang tinggi, terpegun menikmati, huraian demi huraian wahyu Ilahi dengan langgam bahasa yang indah. Tadabbur menjadikan manusia lebih insaf. Manusia akan melontarkan pertanyaan demi pertanyaan, yang akan mendorong manusia berfikir tentang hikmah, nilai pengajaran, serta merasai nikmat kemanisan berinteraksi dengan ayat-ayat Allah.

Didiklah anak membaca al-Quran sebagai amalan dalam kehidupan sejak dari kecil.

Sehubungan dengan itu, umat Islam diseru untuk menitikberatkan perkara seperti yang berikut:

Pertama: Ilmu kemukjizatan al-Quran ialah ilmu yang sangat penting untuk diterokai dan dihayati.

Kedua: Tadabbur membolehkan manusia memahami ayat al-Quran, mengaitkan al-Quran dengan diri kita untuk diamalkan dalam kehidupan harian dan untuk disampaikan fahaman tersebut serta dikembangkan amalan baik kepada orang lain.

Ketiga: Kaedah pengajaran al-Quran hendaklah beralih daripada sekadar membaca dan menghafal kepada mengutamakan fahaman, penghayatan dan amalan.

Keempat: Jadikan al-Quran penyuluh hidup dan sedarilah bahawa al-Quran akan menjadi teman setia ketika kita berada di alam barzakh. Oleh itu, rapatkan diri dengan al-Quran dengan menjadikan amalan setiap hari, membaca walaupun sepotong ayat dengan memahami maksudnya.

Umat Islam juga diseru agar berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan ahli Sunnah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin serta menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Umat Islam juga hendaklah mengekalkan persaudaraan sesama Muslimin, memakmurkan rumah Allah dengan istiqamah dalam mengerjakan ibadah, terutamanya solat fardu berjemaah serta memperbanyak selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabbal ’alamin!, muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Kurniailah kami kecintaan kepada al-Quran. Hiasilah kami dengan akhlak al-Quran. Mudahkan kami untuk beramal dengan pedoman al-Quran.

Ya Razzaq, berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dzal Jalaali Wal Ikram!, jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Teguhkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Qahhar Ya Jabbar!, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah, jujur dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 25 Februari 2022, “Menerokai dan Menghayati Mukjizat al-Quran”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.