29 Januari 2022, 23:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri “Majlis Jasamu Dikenang” anjuran Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) petang semalam. Majlis ini diadakan bertujuan untuk meraikan Profesor Dato’ Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Othman yang menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Rektor KUIPs.

Turut berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor KUIPs. Selain itu, hadir sama di majlis tersebut ialah Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, dan Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP, merangkap Ahli Lembaga Pengarah KUIPs.

Profesor Dato’ Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Othman akan menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Rektor di KUIPs pada 31 Januari 2022 ini. Beliau mula diamanahkan sebagai Rektor di KUIPs sejak 1 September 2018. Sepanjang tempoh beliau menjawat jawatan tersebut, KUIPs telah melalui pelbagai agenda transformasi dalam penstrukturan semula pengurusan demi memacu kemantapan universiti.

Pengenalan Pelan Strategik KUIPs 2020-2025 merupakan agenda teras dalam pembangunan KUIPs secara holistik. Dalam usaha menjayakan cita-cita institusi pengajian tinggi swasta tersebut, beliau telah membentangkan cadangan menaik taraf KUIPs sebagai universiti penuh pada 23 Disember 2021 yang lalu.

Selain itu, beliau telah berkerjasama melakukan transformasi penstrukturan semula kursus teras universiti bersama-sama pihak yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Transformasi penstrukturan semula kursus teras KUIPs dapat dilihat melalui agenda pemerkasaan program akademik dan penubuhan fakulti baharu yang memfokuskan al-Quran dan sunah sebagai program kebitaraan universiti.

KUIPs juga menawarkan program pascasiswazah dengan mendapat kelulusan mengendalikan program Ijazah Doktor Falsafah di Fakulti Pengajian Islam yang merupakan sebahagian daripada agenda merealisasikan cita-cita KUIPs sebagai universiti unggul dan cemerlang.

Dalam ucapan beliau, Profesor Dato’ Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Othman merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak KUIPs dan semua warga kerjanya. Beliau mendoakan masa depan KUIPs akan terus cemerlang dengan kejayaan yang diidamkan, di samping mengharapkan semua warga KUIPs memberikan komitmen sepenuhnya kepada Rektor baharu, iaitu Dr. Rozaimi Ramle yang akan menerajui KUIPs bermula pada 1 Februari 2022.

“Percayalah, budaya kerja yang unggul dan cemerlang menjadi asas kepada peningkatan kualiti serta produktiviti sesebuah organisasi. Kecemerlangan KUIPs bakal direalisasikan dengan pembudayaan etika kerja positif dan sifat integriti yang menyeluruh,” katanya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!