23 Disember 2021, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dunia ialah tempat beramal dan akhirat pula sebagai tempat mendapat balasan. Kehidupan manusia di dunia ini penuh dengan ujian. Manusia diuji dengan pelbagai bentuk. Ujian tidak terhad dalam bentuk kesusahan semata-mata, sebaliknya kesenangan juga merupakan ujian. Kemuliaan seseorang manusia itu dinilai berdasarkan sikap individu tersebut apabila berhadapan dengan ujian. Adakah mereka bersabar dan tabah atau mengeluh, gelisah dan berputus asa daripada rahmat Allah SWT? Bagi mereka yang terhindar daripada ujian yang melanda, apakah mereka akan menutup mata atau turut serta bersimpati dan menghulurkan bantuan pada saat orang lain diuji?

Lewat kebelakangan ini, negara bukan sahaja berhadapan dengan ujian pandemik COVID-19 yang berlarutan sejak tahun 2020, yang terkini banjir yang tidak disangka-sangka pula melanda negara. Belum pun reda kebuntuan melihat situasi banjir yang luar biasa melanda beberapa tempat di negeri Selangor, kini sekali lagi negeri Pahang dirundung sedih akibat banjir luar biasa yang menimpa. Sesungguhnya Allah SWT tidak mengira siapa-siapa yang menjadi punca kepada bencana yang berlaku, sebaliknya menurunkan musibah dengan tujuan memberikan peringatan dan pengajaran kepada umat manusia.

Dalam kebuntuan menghadapi ujian yang bertimpa-timpa ini, umat manusia dituntut untuk terus berdoa dan bermuhasabah kepada pemilik sekalian alam. Jumhur ulama berpendapat bahawa sunat bagi manusia berdoa kepada Yang Maha Berkuasa. Tindakan berdoa ke hadrat Ilahi bukan menunjukkan seseorang itu tidak sabar dengan ujian hidup. Sebaliknya, doa mampu memberikan mereka kekuatan untuk meneruskan kehidupan dengan reda walaupun sedang ditimpa musibah dan ujian. Dengan berdoa, itu tanda seseorang itu sangat bergantung harap kepada Allah SWT. Dia yakin hanya Allah sahaja yang mampu memberikan manfaat atau mudarat kepadanya. Malah menurut Imam al-Ghazali, air menjadi sebab tumbuh-tumbuhan hidup dengan subur dan doa pula adalah sebab sesuatu ujian itu dapat dihindari dan seterusnya beroleh rahmat Allah SWT.

Doa yang terbaik ialah doa daripada al-Quran dan sunah. Pada saat seseorang manusia meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah SWT dengan berdoa, sudah pasti ada adabnya. Amat mustahil untuk kita berdoa dalam keadaan marah dan berkeluh-kesah kerana ujian yang menimpa. Hal ini selari dengan pandangan Imam al-Ghazali yang menggariskan tentang adab ketika berdoa. Hal ini bagi mengelakkan doa yang dipohon tidak diterima oleh Allah SWT. Sepuluh adab yang digariskan oleh beliau dalam kitab Ihya Ulumuddin adalah seperti yang berikut:

Adab pertama: Mengintai-intai waktu yang mulia

Antara waktu yang mustajab untuk berdoa ialah pada Hari Arafah, bulan Ramadan, hari Jumaat dan satu pertiga akhir malam serta waktu sahur. Dalil yang menunjukkan bulan Ramadan adalah waktu yang mustajab doa adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: Dan apabila para hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku.”

Menurut Wahbah al-Zuhaily, penerangan berkaitan hukum-hakam berpuasa di bulan Ramadan telah diterangkan oleh Allah SWT pada ayat 183 hingga 185. Selepas itu Allah SWT telah menyebutkan berkaitan doa pada ayat 186, dan menyambung kembali berkaitan hukum-hakam malam bulan Ramadan pada ayat 187.

Adab Kedua: Merebut keadaan dan situasi yang mulia

Keadaan mulia yang boleh direbut untuk memperbanyakkan doa adalah ketika sujud dalam solat, sewaktu berhadapan dengan musuh, semasa hujan lebat membasahi bumi dan selepas iqamat.

Adab Ketiga: Mengadap kiblat, mengangkat tangan dan menyapu muka dengan kedua tangan pada akhir doa

Hal ini berdasarkan hadis riwayat Tirmidzi yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila mengangkat kedua tangannya ketika berdoa, tidak akan menurunkannya sehingga baginda menyapu mukanya dengan kedua-dua tangannya.”

Adab Keempat: Merendahkan suara antara bisikan dan kuat

Penting untuk seseorang yang berdoa bukan dengan suara yang lantang dan keras. Sebaliknya, rintihan dalam bisikan doa lebih tulus dan bersederhana.

Adab Kelima: Doa bukan dalam bentuk puisi

Perkara yang lebih utama kepada kita adalah berdoa dengan lidah yang penuh kehinaan dan berhajat kepada Allah SWT.

Adab Keenam: Penuh khusyuk dan rendah diri

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 55 yang bermaksud: “Berdoalah kepada tuhan kamu semua dalam keadaan rendah diri dan suara yang lembut.”

Adab Ketujuh: Berdoa dengan sepenuh hati dan yakin doa akan diperkenankan

Pengharapan yang tinggi perlu dimiliki apabila berdoa. Seseorang manusia yang berdoa mesti berkeyakinan bahawa Allah SWT akan memakbulkan doanya pada masa yang dikehendaki-Nya. Yakin dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah SWT dengan pengharapan yang tinggi agar doa yang diminta diperkenankan.

Adab Kelapan: Tidak gopoh dalam menanti doa dimakbulkan

Manusia tidak berkuasa untuk memaksa Allah SWT agar memperkenankan doanya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Doa seseorang daripada kamu tentu akan dimakbulkan selama dia tidak meminta segera dikabulkan dengan mengatakan: “aku sudah sering berdoa kepada Tuhanku tetapi mengapa belum juga dikabulkan.”

Adab Kesembilan: Memulakan doa dengan menyebut nama Allah SWT

Menurut Imam Nawawi, antara adab berdoa juga adalah berselawat ke atas Rasulullah SAW selepas memuji Allah SWT dengan lafaz tahmid. Begitu juga kita dikehendaki menutup doa dengan tahmid dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

 Adab Kesepuluh: Bertaubat kepada Allah.

Perkara ini merupakan asas dan hal yang paling penting agar doa seseorang manusia itu diterima oleh Allah SWT. Taubat nasuha dengan cara berhenti daripada perkara maksiat, menyesal atas keterlanjuran yang lalu serta berazam tidak akan mengulanginya lagi merupakan syarat taubat diterima Allah SWT. Selain itu syarat taubat apabila melibatkan dosa sesama manusia adalah dengan memohon maaf dan memulangkan haknya kembali jika diambil tanpa izin tuannya.

Sungguhpun demikian, kita juga perlu mengambil berat berkaitan makanan, minuman dan pakaian yang dikenakan pada tubuh badan. Rasulullah SWT telah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang diperintahkan kepada sekalian rasul. Maka Allah berfirman: ‘Wahai sekalian rasul, makanlah daripada yang baik-baik dan beramallah dengan perkara yang baik.’ Dan Allah berfirman lagi: ‘Wahai orang yang beriman, makanlah daripada segala sumber yang baik-baik yang telah direzekikan kepada kamu.’ Kemudian Baginda menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanan, yang kusut rambutnya lagi berdebu mukanya telah menghulurkan dua tangannya ke langit (berdoa): ‘Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan perkara haram, maka bagaimanakah akan diperkenankan baginya?’” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut, walaupun lelaki tersebut dalam keadaan mudah diperkenankan doa iaitu dalam keadaan musafir, namun doanya tetap tidak diterima. Begitu juga dia telah merintih dengan bersungguh-sunguh iaitu mengangkat tangannya ke langit dan mengulang-ulang doa, namun disebabkan dia terlibat dengan perkara haram maka doanya telah ditolak oleh Allah SWT. Dalam hal berkaitan, Yahya bin Muaz telah berkata: “Bagaimana aku berdoa kepada-Mu sedangkan aku melakukan maksiat. Dan bagaimana aku tidak berdoa kepada-Mu sedangkan Kamu sangat mulia.”

Semoga rintihan doa setiap dari kita akan didengari oleh Allah SWT dan musibah yang menimpa ini segera diangkat oleh-Nya. “Kami berlindung dengan Allah SWT daripada beratnya ujian, terjatuh ke dalam kesengsaraan, buruknya qada’ dan kegembiraan musuh (atas musibah yang menimpa kita).”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.