30 November 2021, 22:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kalimah al-sa‘adah berasal daripada perkataan sa‘ida dan as‘ada yang membawa maksud ketiadaan derita atau bukan kesengsaraan. Al-sa‘adah juga boleh dimaksudkan dengan kebahagiaan, suasana tenang, aman dan gembira. Kata lawan atau antonim bagi kebahagiaan pula ialah kesengsaraan, kemelaratan, kesulitan dan kemudaratan. Dalam al-Quran, perkataan al-sa‘adah hanya disebut sekali, iaitu dalam ayat yang berkaitan dengan syurga. Hal ini menunjukkan bahawa kebahagiaan hakiki yang dapat dicapai hanyalah di syurga, bukannya di dunia.

Persoalannya, apakah perkaitan antara al-sa‘adah dengan pandemik COVID-19? Sebagaimana yang kita maklum, pandemik COVID-19 yang bukan sahaja melanda negara bahkan seluruh dunia  banyak memberikan kesan kepada masyarakat. Terkurung, sekatan perjalanan merentas negeri dan sempadan negara, kehilangan sumber pendapatan dan kehilangan nyawa merupakan antara kesan yang dialami oleh masyarakat. Hal tersebut  mendatangkan tekanan yang bukan hanya secara fizikal, tetapi juga tekanan mental. Tekanan ini seterusnya menyebabkan hilangnya rasa bahagia dalam kehidupan seharian.

Akan tetapi, jika direnungkan masih ada kebahagiaan lain yang patut disyukuri tanpa sedar dalam tempoh pandemik COVID-19 ini. Sebagai contoh, ada antara kita yang masih lagi terhindar daripada dijangkiti virus COVID-19 atau dijangkiti tetapi pada tahap yang rendah. Oleh hal yang demikian, kita tidak perlu berada atau ditahan di hospital atau ke pusat kuarantin yang memerlukan kita meninggalkan ahli keluarga. Kita sering kali terlepas pandang akan kebahagiaan dalam hal ini.

Bagi membendung penularan wabak COVID-19 ini, kerajaan telah menyediakan suntikan vaksin secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia. Suntikan vaksin dapat membantu meningkatkan antibodi badan seterusnya meningkatkan imuniti kelompok bagi mengawal jangkitan wabak tersebut. Oleh itu, kita seharusnya bersyukur dengan penghasilan vaksin COVID-19 ini. Mengambil suntikan vaksin tidak bermaksud menjadikan kita kebal, sebaliknya sebagai ikhtiar untuk mencegah diri dan orang lain daripada dijangkiti. Hal ini secara tidak langsung mencipta kebahagiaan diri dan orang sekeliling.

Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Gunakanlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa mudamu sebelum masa tuamu, kesihatanmu sebelum sakitmu, waktu luangmu sebelum waktu sibukmu, masa kayamu sebelum masa kefakiranmu, masa hidupmu sebelum kematianmu”. (Hadis riwayat al-Hakim).

Selain itu, sepanjang tempoh PKP banyak sektor ekonomi yang sebelum ini menjana keuntungan besar mengalami kerugian. Antaranya termasuklah bidang perhotelan, pendidikan, penerbangan dan pelancongan. Malah, terdapat syarikat terpaksa “gulung tikar” oleh sebab tidak mampu menampung kos operasi. Namun begitu, dengan kepesatan teknologi masa ini, kita masih mempunyai alternatif lain untuk mencari rezeki, iaitu melalui perniagaan atas talian atau e-niaga. Peluang inilah yang patut kita nikmati dan syukuri untuk mendapat kebahagiaan.

Firman Allah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka antara kamu, dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu”. (Surah al-Nisa’ 4:29).

Daripada petikan ayat tersebut, boleh kita simpulkan bahawa apa-apa sumber pencarian rezeki adalah sah dan halal jika bukan daripada kegiatan yang haram seperti penipuan dan perjudiaan. Justeru, tidak salah jika kita memanfaatkan pengetahuan teknologi dan peluang yang ada untuk menceburi bidang perniagaan secara atas talian dan tidak menjadikan PKP sebagai alasan untuk kita tidak dapat mencari rezeki. Kemajuan teknologi dan kemodenan dunia pada masa ini banyak memudahkan urusan manusia keseluruhannya.

Sejak wabak COVID-19 melanda negara, ramai dalam kalangan kita yang telah kehilangan ahli keluarga. Keluarga merupakan perkara utama dalam membina masyarakat harmoni dan berkasih sayang. Keluarga yang baik akan melahirkan masyarakat yang baik dan berakhlak mulia. Oleh itu, dalam melakukan kebaikan, ahli keluarga merupakan kelompok paling dekat yang perlu diberikan perhatian. Meluangkan masa bersama-sama keluarga merupakan satu perkara yang sangat berharga terutamanya pada masa ini. Oleh itu, kita perlu  bersyukur kerana ahli keluarga kita masih dipanjangkan umur dan diberikan dan dilindungi daripada  menjadi mangsa virus ini.

Satu lagi konsep kebahagiaan yang harus direnungi adalah apabila diberikan kebenaran bekerja dari rumah bagi kebanyakan ibu bapa yang bekerja di pejabat. Jika sebelum ini, mereka keluar bekerja seawal 7.00 pagi dan pulang pada pukul 5.00 petang, maka kaedah bekerja dari rumah yang diberikan itu membolehkan mereka meluangkan masa bersama-sama dalam tempoh masa yang lama. Anak-anak pula tidak berasa kesunyian dan bahagia kerana dapat bersama dengan ibu bapa di rumah. Oleh hal yang demikian, masa yang telah diberikan oleh Allah SWT itu perlu dinikmati dengan kesyukuran dan kebahagiaan dengan melakukan aktiviti yang dapat merapatkan hubungan silaturahim antara ahli keluarga.

Dalam Surah al-Zariyat ayat 56, Allah berfirman yang bermaksud, “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadat kepada-Ku.” Antara ciri pekerjaan yang dianggap ibadat ialah pekerjaan yang dilakukan dengan niat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT, pekerjaan yang mengikut syarak, tidak mengabaikan ibadat wajib dan bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk dan meninggi diri.

Keinsafan yang mula memenuhi hati pada ketika ini ialah kita mula menyedari bahawa kita hanyalah hamba yang lemah. Manusia tidak mampu menghapuskan virus yang boleh membawa maut ini kecuali dengan keizinan Allah SWT. Oleh itu, untuk menghindari diri dari dijangkiti virus, kita perlu berdoa dan mengharapkan pertolongan dan perlindungan daripada Allah selain daripada berusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Berdoa merupakan ibadat dan cara kita menunjukkan penghambaan diri kepada Allah SWT. Pergantungan pada Allah SWT menunjukkan bahawa kita kembali kepada fitrah sebagai manusia yang beriman dan memohon pertolongan apabila berada dalam musibah.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.