Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPandemik COVID-19 telah menjadi titik tolak kepada pelbagai kebiasaan baharu dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat terpaksa menerima kenyataan bahawa mereka perlu mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara walau di mana-mana sahaja kita berada. Hal ini juga turut melibatkan sektor pendidikan, ekonomi dan sosial masyarakat bukan hanya di Malaysia, malahan seluruh dunia.
Kesan daripada pandemik ini juga membawa kepada penguasaan peranti digital dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat umur. Buktinya, semasa Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan dahulu, kaedah pembelajaran, aktiviti jual beli, kegiatan sosial seperti beriadah dan bersukan mulai beralih arah kepada kaedah secara dalam talian. Ternyata kaedah ini memberikan pelbagai impak khususnya bagi kanak-kanak dan remaja yang terpaksa dibekalkan dengan peranti tersendiri bagi memudahkan urusan pembelajaran di rumah khususnya.
Hal ini menjadi cabaran terbesar dalam kalangan ibu bapa yang memiliki anak yang masih memerlukan pemantauan dalam penggunaan peranti seperti telefon pintar. Akibatnya, ibu bapa mula meluahkan kebimbangan dan keluhan apabila mereka kurang berjaya mengawal dan memantau masa lapang anak-anak mereka bersama-sama peranti masing-masing.
Tidak dinafikan, permainan menjadi hiburan pada waktu lapang kanak-kanak dan remaja. Namun demikian, permainan tersebut ada buruk dan baiknya bergantung pada pemilihan jenis permainan yang dimainkan. Contohnya, permainan seperti Scrable dan catur dalam talian yang dapat membentuk pengayaan kosa kata perkataan dan minda kanak-kanak.
Kepesatan pembangunan pengaturcaraan permainan dalam talian menjadikannya mudah menarik minat kanak-kanak dan remaja kerana lebih bersifat interaktif dan dapat dimainkan secara berkumpulan dengan rakan secara maya. Yang penting, ada talian Internet yang baik, maka tiada masalah untuk bermain sambil berinteraksi dengan rakan atau saudara-mara tanpa perlu bersua muka.
Tidak menjadi kesalahan untuk memberikan ruang kepada anak-anak bermain. Akan tetapi, yang menjadi kerisauan adalah apabila mereka ketagih dan mula mengabaikan tanggungjawab sebagai anak, murid dan lebih membimbangkan lagi culas melaksanakan tuntutan agama. Ketagihan permainan dalam talian ini boleh menjejaskan perkembangan otak dan fizikal anak-anak.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan gangguan permainan video (gaming disorder) sebagai satu isu yang kritikal kerana boleh memudaratkan kesihatan mental seseorang individu. Hal inilah yang perlu disedari dan diawasi oleh ibu bapa. Kita perlu mengambil pengajaran daripada kisah seorang remaja di Amerika Syarikat yang bertindak ganas dan mencuri kereta disebabkan mindanya terpengaruh dengan suatu permainan dalam talian.
Satu perkara lagi yang penting untuk diperhatikan adalah tentang kandungan permainan dalam talian itu. Terdapat sesetengah permainan dalam talian yang memberikan ancaman terhadap akidah Islam secara langsung mahupun secara tidak langsung. Ramai ibu bapa yang kurang cakna perihal ancaman ini.
Melalui satu persidangan meja bulat yang menemukan ahli akademik dan para pemain (gamers) yang dianjurkan oleh pihak Majlis Wanita Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), penulis selaku ahli panel telah membangkitkan isu tentang perlunya diwujudkan garis panduan oleh pihak berkuasa bagi memantau dan mengawal selia jenis permainan dalam talian yang boleh memberikan ancaman terhadap akidah Islam.
Lapan orang pemain yang terdiri daripada lima orang mahasiswa universiti serta tiga orang pensyarah multimedia dan teknologi maklumat turut menjadi ahli panel persidangan meja bulat tersebut. Berdasarkan pengalaman bermain permainan dalam talian, mereka telah menyenaraikan beberapa jenis permainan yang diragui mengandungi unsur yang boleh mencemarkan akidah Islam. Antara isi diskusi persidangan juga ialah pengenalpastian beberapa ciri ancaman akidah Islam dalam permainan dalam talian yang disenaraikan tersebut. Antaranya termasuklah:
Berdasarkan penemuan dan resolusi persidangan meja bulat ini, maka disarankan perlunya ada satu kajian yang lebih mendalam sehingga tertubuhnya satu badan yang boleh menjalankan rating yang mengambil kira aspek akidah Islam bagi setiap permainan dalam talian yang sering mendapat perhatian kanak-kanak dan remaja Muslim di Malaysia. Terdapat beberapa negara Islam yang telah mula mempunyai badan penapisan permainan dalam talian seumpama badan penapisan filem, apabila menyedari terdapat permainan yang bukan sahaja boleh mencemarkan akidah, tetapi turut mempunyai unsur perang saraf yang mengancam keselamatan negara.
Dari sudut perbahasan hukum tentang permainan dalam talian ini pula, pandangan Yusuf al-Qaradawi elok dipetik sebagai peringatan buat kita. Menurut beliau, setiap sesuatu itu hukum asalnya harus, namun boleh berubah kepada haram jika membawa kepada unsur yang diharamkan.
Oleh sebab itu, permainan dalam talian hendaklah mematuhi beberapa syarat seperti yang berikut:
Walau bagaimanapun, bagi mengeluarkan fatwa terhadap sesuatu jenis permainan, perkara tersebut tidak boleh dibuat secara pukul rata. Pegawai penyelidik di Jabatan Mufti disarankan untuk menjalankan kajian yang mendalam kerana isu ancaman akidah tersebut mempunyai pelbagai kategori. Ada unsur yang termasuk dalam kategori boleh memurtadkan seandainya pemain turut beriktikad dengannya, ada unsur yang bertentangan dengan perkara ijmak dan thawabit tetapi tidak sampai membawa kekufuran, dan kebanyakannya hanya mempunyai unsur yang bertentangan dengan syariat dan akhlak Islam, seperti pembunuhan, judi, pornografi dan mencarut.
Suhubungan dengan itu, pada peringkat awal disarankan satu kerangka dan garis panduan umum diwujudkan oleh pihak berkuasa agama bagi memberikan panduan, khususnya kepada ibu bapa bagi mengawal anak-anak supaya kemurnian akidah mereka tidak tercemar disebabkan bermain permainan tersebut.
Berdasarkan isu yang dibangkitkan, marilah sama-sama kita mengambil langkah berjaga-jaga sebelum keadaan menjadi lebih parah. Resapan ideologi dan hal yang bertentangan dengan akidah Islam hendaklah dibanteras dari awal sebelum mempengaruhi minda anak-anak kita. Selain memantau masa lapang anak-anak, ibu bapa juga hendaklah memantau jenis permainan dalam talian supaya tidak mengandungi elemen dan perkara yang boleh mengancam akidah mereka.
Pemain dalam kalangan remaja Muslim dan pempengaruh media sosial yang telah dapat mengenal pasti unsur yang mencemarkan akidah Islam dalam permainan tersebut hendaklah tampil segera secara terbuka untuk memberikan kesedaran kepada rakan sebaya mereka serta masyarakat yang mungkin tidak perasan tentang kewujudan elemen tersebut.
Selain itu, sudah tiba masanya pakar serta sarjana multimedia tempatan mulai serius membangunkan permainan dalam talian yang bermutu tinggi setanding dengan permainan antarabangsa tetapi selamat dalam aspek akidah, syariat dan akhlak agar boleh menjadi alternatif kepada pemain kanak-kanak dan remaja Muslim di Malaysia.