Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPermohonan untuk menukar agama, khususnya daripada agama Islam kepada agama lain perlu dipandang serius oleh semua pihak. Trend kes sebegini semakin hari semakin meningkat. Jika dibiarkan, isu ini akan mencemarkan kesucian dan kemaslahatan agama Islam.
Berdasarkan laporan sebuah akhbar, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Jamil Khir Baharom pernah membentangkan di Parlimen bahawa terdapat sejumlah 686 permohonan untuk keluar daripada agama Islam telah dikemukakan di mahkamah syariah dari tahun 2000 hingga 2010 di seluruh negara. Di negeri Selangor sahaja, terdapat 171 kes yang didaftarkan dari tahun 2014 hingga 2016 bagi permohonan pengisytiharan seseorang itu bukan lagi beragama Islam.
Terdapat pelbagai alasan bagi sesuatu permohonan pertukaran agama. Antara alasan dan hujah yang selalu dikemukakan sebagai afidavit di mahkamah syariah termasuklah tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk Islam, tidak lagi percaya kepada lafaz syahadah yang diucapkan, serta telah mengamalkan ibadat dan penyembahan berhala mengikut agama asal.
Hal ini kebiasaannya berlaku kepada individu yang memeluk Islam kerana berkahwin dengan pasangannya yang beragama Islam, khususnya pasangan dari luar negara. Setelah beberapa lama berkahwin dan menghadapi masalah rumah tangga, serta berlakunya perceraian, maka bermulalah hasrat ingin kembali kepada agama asal mereka.
Sebagai contoh, kes Siti Fatimah Tan Abdullah lawan Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang pernah berkahwin dengan seorang warganegara Iran. Kes beliau pernah mencetuskan kontroversi sekitar tahun 2008. Mahkamah di Pulau Pinang telah memutuskan bahawa permohonan pertukaran status agama beliau diluluskan oleh mahkamah tinggi syariah.
Rayuan daripada Majlis Agama Islam Pulau Pinang pada tahun 2009 pula ditolak atas alasan bahawa pengislaman pemohon tidak sempurna. Para hakim telah berhujah bahawa lafaz syahadah pemohon tidak sah kerana beliau memeluk Islam dengan niat untuk berkahwin dan tidak pernah percaya dengan agama Islam. Oleh hal yang demikian, beliau tidak dianggap murtad, dan responden tidak dianggap sebagai seorang Muslim.
Kes ini mencetuskan kejutan pihak berkuasa agama, bahkan membuka jalan kepada pemohon lain untuk bertukar status agama. Maka itu, pada tahun-tahun berikutnya menyaksikan muncul permohonan lain seperti yang dipohon oleh Siti Fatimah Tan telah meningkat.
Dalam hal ini, sudah tentu setiap kes perlu diadili dengan seadil-adilnya dan kemaslahatan agama Islam perlu menjadi keutamaan dengan hakikat bahawa Islam agama yang benar dan kedudukan Islam adalah sebagai agama persekutuan.
Bertitik tolak daripada kes permohonan pertukaran status agama ini, maka beberapa siri perbincangan, latihan, kursus dan seminar untuk mengemaskinikan pentadbiran, perundangan dan tatakelola mualaf dilakukan sehingga wujudnya garis panduan dan modul pemurnian akidah, serta modul istitabah.
Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang sendiri telah mengeluarkan Fatwa Mengenai Perintah Istitabah pada tahun 2013, iaitu perintah supaya pemohon menjalani siri nasihat dan penerangan, serta kaunseling supaya mereka bertaubat dan kembali kepada agama Islam.
Antara perkara yang menarik perhatian dalam fatwa ini termasuklah perkara 13 dan 14 yang menyatakan bahawa “Adalah haram bagi orang Islam untuk mewakili orang Islam yang lain untuk murtad” dan “Orang Islam yang membantu orang Islam yang lain untuk murtad adalah dihukum murtad”. Ungkapan ini jelas bertujuan untuk membendung gejala murtad.
Namun begitu, hal tersebut menjadi tanda tanya tentang kerelaan segelintir peguam Muslim yang mewakili mereka yang ingin keluar daripada agama Islam. Adakah mereka juga tergolong dalam kalangan mereka yang dimaksudkan dalam fatwa tersebut?
Mungkin peguambela sebagai pegawai mahkamah ingin mengembangkan kes kepada satu tahap yang menggambarkan bahawa pemohon sememangnya bukan beragama Islam dari awal lagi, maka tidak timbul isu kemurtadan di situ. Dalam erti kata lain, syarat pengislamannya dari awal lagi tidak sah kerana tidak mempunyai sifat rela hati untuk menganut agama Islam.
Namun begitu, timbul pula isu tentang tafsiran “rela hati”. Siapakah yang menentukannya, dan bagaimanakah neraca dan kayu ukur rela hati tersebut? Bukankah memeluk Islam kerana perkahwinan sudah tentu rela dan ingin berkahwin pula terikat dengan syarat rela memeluk Islam? Dan bukankah rela berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam membawa kepada rela memeluk Islam untuk mengesahkan perkahwinan tersebut dapat dijalankan?
Penulis membangkitkan isu ini supaya pihak berwajib melihat semula penghakiman sesuatu kes pertukaran status agama. Barang kali ada hakim terkhilaf dalam hal ini sehingga kemaslahatan menjaga agama sebagai maqasid syariah yang utama itu nampak terabai dan ditinggalkan. Sedangkan pada hakikatnya, menjaga kemaslahatan agama Islam daripada terus membiarkan isu murtad ini berlaku lebih wajar daripada membantu mereka yang ingin dan berhasrat untuk murtad.
Para peguam Muslim wajar mematuhi keputusan fatwa ini dengan tidak mengambil kes atau membela pemohon yang ingin murtad di mahkamah syariah jika jelas terdapat perkara yang meragukan dalam permohonan tersebut.
Ironinya, tatkala kaunselor berusaha memujuk pemohon untuk bertaubat dan menerangkan tentang larangan, dosa dan kesan murtad kepada pemohon, ada pula pihak yang membela mereka. Oleh sebab itu, beberapa langkah perlu diambil oleh pihak berwajib untuk membendung isu murtad ini supaya hal tersebut tidak berlarutan.
Pertama, prosedur pengislaman seseorang mualaf perlu didokumentasikan dalam bentuk bertulis dan video rasmi ikrar dan pengakuan yang menyatakan bahawa mereka tidak dipaksa dan rela hati menganut agama Islam. Mereka juga harus menyedari bahawa mereka tidak boleh murtad kerana perbuatan tersebut merupakan satu jenayah besar dalam ajaran Islam, malah mereka tidak boleh memohon di mana-mana mahkamah untuk murtad.
Kedua, pembelajaran dan pengukuhan akidah dalam tempoh berstatus mualaf hendaklah diwajibkan secara berkala. Sijil hendaklah dikeluarkan sebagai tanda bahawa mereka telah lulus dan memahami ajaran Islam, serta berusaha untuk mengamalkannya untuk menjadi hamba Allah SWT yang taat.
Ketiga, pemantauan oleh masyarakat Islam setempat sama ada melalui institusi masjid, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan sebagainya hendaklah digiatkan supaya mereka menjadi “mata-mata” dalam hal kebajikan para mualaf dari sudut keperluan material dan rohani.
Keempat, pegangan akidah mualaf janganlah dianggap sebagai sesuatu yang terlalu privasi dan tidak dipedulikan. Orang terdekat seperti rakan kepada mualaf hendaklah sentiasa mengambil berat dan cakna tentang kekukuhan akidah mereka dengan sering mengajar, menjadi tempat untuk meluahkan perasaan dan bertanya supaya mereka mempunyai sistem sokongan yang membimbing mereka menjadi Muslim yang baik.
Kelima, permohonan murtad tidak dibenarkan pada masa hadapan setelah proses pengislaman yang sah dilakukan oleh pihak berkuasa agama merangkumi ikrar, pengakuan dan ungkapan rela hati daripada mualaf yang didokumentasikan secara bertulis dan rakaman video.
Mudah-mudahan, langkah yang disarankan tersebut menjadi garis panduan bagi menghadapi isu ini, dan permohonan untuk menukar status agama tidak lagi dipertimbangkan. Dengan itu imej Islam sebagai satu-satunya agama yang benar kembali dipulihkan.
Mohd Nizam Sahad (Dr.) ialah Profesor Madya di Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.