Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang
Kalender Hijrah merupakan perkiraan hari mengikut bulan Islam yang diasaskan pada zaman Khalifah Umar al Khattab r.a. Tahun baharu Hijrah merupakan detik bersejarah yang sangat bermakna bagi umat Islam kerana bermulanya perkiraan tahun yang sistematik. Sebelum ini, orang Arab hanya mempunyai kiraan bilangan bulan sebanyak 12 bulan tanpa kiraan tahun.
Selepas perbincangan demi perbincangan, Umar al-Khattab sepakat memilih tahun penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Hijrah. Bulan Muharam pula dipilih sebagai bulan pertama dalam kalendar Hijrah. Pemilihan bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam kalendar Hijrah bertepatan dengan kelebihan dan keistimewaan bulan tersebut.
Antara kelebihan dan keistimewaan bulan Muharam menurut nas al-Quran dan hadis termasuklah:
Bulan Muharam merupakan satu daripada empat bulan yang diharamkan seperti yang disebutkan dalam al-Quran. Pada bulan ini, umat Islam diseru agar memperbanyak amalan soleh.
Firman Allah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah SWT adalah sebanyak 12 bulan sebagaimana yang terdapat dalam kitabullah (lohmahfuz) pada hari diciptakan langit dan bumi. Antaranya (bulan-bulan tersebut) termasuklah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus, maka janganlah kalian menzalimi diri kalian dalam bulan-bulan tersebut”. (Surah al Tawbah 9:36)
Rasulullah SAW menjelaskan berkenaan dengan empat bulan haram ini dalam sabda baginda yang bermaksud, “Dalam setahun itu ada 12 bulan dan antaranya termasuklah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam serta bulan Rejab, iaitu antara Jamadilakhir dengan Syaaban”. (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Pada bulan haram ini, Allah SWT mengharamkan umat Islam berperang. Demikian juga pada bulan Muharam yang terdapat kelebihan untuk kita memperbanyak amalan soleh seperti berpuasa.
Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Puasa yang paling afdal setelah bulan Ramadan ialah puasa pada bulan Allah al-Muharam, dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu ialah solat malam (qiamulail).” (Hadis Riwayat Abu Dawud).
Terdapat sebuah hadis yang menceritakan kegigihan Rasulullah SAW mengejar kelebihan hari Asyura berbanding dengan hari yang lain. Ibn Abbas r.a. ketika ditanya tentang puasa Asyura, beliau berkata, “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadilatnya lebih berbanding dengan hari yang lain melainkan hari ini, iaitu hari Asyura”. (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Mengulas hadis ini, Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari berkata bahawa “Ini menunjukkan bahawa puasa Asyura lebih afdal berbanding dengan hari lain untuk berpuasa selepas Ramadan. Zahir daripada hadis riwayat Muslim pula menyebut bahawa puasa pada hari Arafah lebih afdal berbanding dengan puasa pada hari Asyura. Hikmahnya ialah puasa ‘Asyura dinisbahkan kepada Nabi Musa a.s., manakala puasa Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh hal yang demikian, puasa Arafah lebih afdal”.
Dalam sebuah yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah r.a. bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa Asyura, maka Baginda menjawab, “Aku berharap kepada Allah agar puasa ini dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.” (Hadis riwayat Muslim).
Menurut Abdul Wahhab bin al-Khaffaf dalam kitab al-Siyam, “Qatadah berkata bahawa puasa Asyura merupakan kafarah (pengampun dosa) bagi lelaki yang mengabaikan zakat hartanya”.
Walau bagaimanapun, bagi mereka yang ingin berpuasa sunat Asyura, disunatkan juga berpuasa pada hari sebelum hari Asyura, iaitu hari Tasu‘a (hari kesembilan Muharam) ataupun sehari selepasnya, iaitu hari ke-11 Muharam. Hal ini bertujuan untuk membezakan dengan amalan orang Yahudi.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan bezakanlah dengan golongan Yahudi, iaitu berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya”. (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Dalam hadis yang lain, sepertimana dalam sebuah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, nescaya aku akan berpuasa pada hari kesembilan (Muharam)”. (Hadis riwayat Muslim).
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a. mengatakan bahawa, “Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Mereka berkata, ‘Hari ini hari yang mulia kerana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu, Nabi Musa a.s. berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran’. Rasulullah SAW bersabda, ‘Aku lebih utama daripada Musa berbanding dengan mereka’. Maka itu, Baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut”. (Hadis riwayat al Bukhari dan Muslim).
Demikian beberapa kelebihan dan keistimewaan bulan Muharam dan hari Asyura (10 Muharam) yang disebut dalam nas al-Quran dan hadis. Adapun beberapa amalan khusus yang lain, seperti doa akhir tahun dan awal tahun, tiada dalil atau nas yang mengkhususkan amalan tersebut.
Oleh hal yang demikian, tanpa kita mengkhususkan apa-apa, berdoalah pada bila-bila masa dengan penuh yakin dan merendah diri memohon hanya kepada-Nya. Semoga Allah SWT menjadikan tahun baharu ini sebagai satu peluang dan ruang bagi kita untuk sentiasa istiqamah mengerjakan kebajikan, seterusnya mengharapkan keredaan-Nya.
Muhammad Faidhi Azis ialah Guru Takmir di Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).