10 Ogos 2021, 17:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Tahun 1442 Hijrah telah ditinggalkan bersama dengan 1001 peristiwa pahit dan manis, serta penuh ujian. Pandemik COVID-19 yang dilalui oleh seluruh umat, khususnya di Malaysia masih belum menampakkan pengurangan kes dan seterusnya hilang dari muka bumi ini.

Saban hari kita dihidangkan dengan berita kematian dan manusia terus dijangkiti oleh virus berbahaya ini seolah-olah tiada belas kasihan kepada setiap insan. Kehadiran makhluk Allah SWT yang sangat kecil itu bukan hanya mengorbankan nyawa, malah mengganggu sistem kehidupan manusia dan ekonomi dunia.

Namun begitu, manusia diingatkan oleh Allah SWT seperti dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, dan mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran”? (Surah al-Tawbah 9:126).

Menerusi ayat ini, Allah SWT menempelak satu golongan yang diuji pada setiap tahun, namun tidak mahu mengambil peringatan daripada peristiwa atau ujian yang menimpa mereka. Golongan yang dimaksudkan ini ialah golongan munafik.

Kaedah tersebut seharusnya diguna pakai dalam proses muhasabah kerana perjalanan hidup setahun yang lalu mengalami pelbagai suka duka berupa kejayaan dan kegagalan. Ada yang telah mencapai kejayaan dalam kehidupan, malah ada sebahagian kita yang gagal dan tidak mencapai sasaran.

Manusia boleh menyusun dan mengatur kembali kehidupan apabila mereka merenung kembali perjalanan hidup dan peristiwa yang telah dilalui. Beruntunglah orang yang bersabar yang dapat mengenal kelemahan dan kegagalan, serta merancang kembali untuk menikmati kejayaan.

Kata Buya Hamka, ibadat puasa yang mencetuskan konsep introspeksi itu merupakan satu proses penilaian diri sama ada idea, fikiran atau perasaan seseorang secara mendalam akan menghasilkan tindakan ke arah melakukan muhasabah.

Virus COVID-19 seperti membenarkan firman Allah SWT tentang tiga bentuk ketakutan dalam diri manusia di muka bumi ini. Apabila kita gagal dan diuji dalam  harta, jiwa dan tanaman, maka hendaklah bersabar.

Firman Allah SWT yang bermaksud, Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar”. (Surah al-Baqarah 2:155).

Orang yang tidak sabar dalam ujian dan tidak teguh akidah pergantungannya pada Tuhan akan mudah menyerah kalah dan tergelincir daripada landasan. Hanya orang yang bersabar sahaja yang akan berjaya.

Perasaan takut juga merupakan satu ujian kerana hilangnya nikmat keamanan yang pernah dirasai. Lihatlah negara yang ditimpa peperangan, konflik dan pergolakan, seperti Palestin, Syria, Libya, Yaman dan beberapa negara lain. Mereka kini menjalani kehidupan dalam suasana yang begitu menakutkan.

Rakyat Syria misalnya, mereka tidak dapat menikmati tidur malam yang selesa sejak 9 tahun yang lalu kerana diselubungi mimpi ngeri yang tiada kesudahan. Di Iraq pula, sudah berbelas-belas tahun rakyatnya hidup dalam kesengsaraan selepas keruntuhan pemerintahan Saddam Hussain. Konflik dan pergolakan yang berlaku seperti tiada noktah.

Negara Libya yang suatu masa dahulu kaya dengan hasil minyak, namun kini rakyatnya kembali merindui zaman pemerintahan Muammar Gadaffi seperti Iraq menginginkan kembali susuk Saddam Hussin wujud.

Sememangnya, keamanan merupakan satu nikmat. Masalahnya hari ini, segelintir masyarakat yang berada dalam keadaan aman damai, kadang-kadang mahu mencuba untuk hidup dalam kucar-kacir. Benarlah kata-kata bijak pandai, “Orang yang berada dalam ketakutan mereka mencari keamanan, manakala orang yang berada dalam keamanan mereka mencetuskan huru-hara”.

Sosioekonomi masyarakat berada dalam keadaan yang menyedihkan akibat pandemik COVID-19. Ramai yang dibuang kerja dan hilang mata pencarian yang akhirnya menyebabkan masalah lain pula yang timbul. Banyak perniagaan yang terpaksa ditutup dan banyak juga yang kehilangan pekerjaan.

Gelombang ketiga virus itu pula terus mengganas dengan kes harian lima angka yang menakutkan. Tahap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di negara ini perlu diberikan perhatian memandangkan semakin banyak kes bunuh diri dilaporkan sejak belakangan ini, yang dikaitkan dengan tekanan akibat pandemik.

Oleh itu, umat Islam perlu memahami sebaik-baiknya fiqh awlawiyyat atau fiqah keutamaan. Dahulukanlah amalan yang menjadi keutamaan lebih-lebih lagi dalam hal menyantuni hubungan sesama manusia atau habl min al-nas.

Jalinan hubungan yang baik dapat membina kekuatan ummah, sebaliknya kehidupan yang penuh individualistik atau ananiyyah pula akan menggoyahkan kekuatan ummah. Dalam suasana kini, mereka yang berharta dan mempunyai wang yang banyak perlu bersungguh-sungguh menyumbang untuk pembangunan dan kepentingan umat Islam.

Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan membantu orang lain yang dalam kesusahan seperti sabda Baginda yang bermaksud, “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat”. (Hadis riwayat Muslim).

Oleh itu, orang kaya yang sering menunaikan haji dan umrah atas nama ibadat dan alasan rindukan rumah Allah, sedangkan jiran dan sanak saudara kelaparan dan memerlukan bantuan hendaklah melihat kepada keutamaan ini. Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya merindukan orang kaya yang gemar bersedekah kepada fakir miskin.

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman yang bermaksud, “Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia lainnya iaitu, Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta lagi orang miskin yang pemurah. Aku cinta akan orang yang rendah diri, tetapi Aku lebih cinta akan orang kaya yang rendah hati. Aku cinta akan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta akan orang muda yang bertaubat.”

Sememangnya, inilah ujian Allah SWT kepada umat Islam. Semoga Allah mengurniakan pahala kesabaran dan ketabahan pada setiap umat Islam yang mahukan tajdid atau perubahan demi kebaikan semua.

Melihat masalah yang melanda umat Islam kini, menuntut kita melakukan muhasabah. Kita telah memasuki fasa kedua tahun 2021 Masihi dan baru memasuki tahun 1443 Hijrah. Banyak sudah ujian yang dihadapi bersama-sama sepanjang tahun ini.

Walau badai datang melanda dengan jalan penuh onak dan duri, kita mesti menang. Dua tahun yang kita lalui ini masih memerlukan usaha berterusan untuk mengatasi wabak yang melanda.

Oleh hal yang demikian, kita perlu belajar daripada kegagalan untuk mencipta kemenangan. Pepatah arab menyatakan bahawa “angan-angan itu perkara ghaib”. Kita tidak tahu masa hadapan, tetapi kita perlu merancang untuk merealisasikan cita-cita dan impian.

Ketika dunia menghadapi pelbagai kecelaruan dan kepincangan ini, seluruh umat Islam perlu kembali berserah diri dan bertaubat kepada Allah SWT. Setiap masalah yang timbul perlu diselesaikan daripada akar umbinya.

Tarbiah daripada ayat 126 Surah al-Tawbah mengajar kita erti muhasabah. Cara bermuhasabah adalah dengan kembali berserah diri kepada Allah SWT. Kegagalan merupakan guru yang terbaik untuk mengubah keadaan. Orang yang hebat ialah mereka yang berjaya bangkit daripada kegagalan.

Selain itu, amalan taubat hendaklah dijadikan ubat untuk merawat rohani dan jasmani masyarakat Muslim. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman supaya kamu beruntung”. (Surah al-Nur 24: 31).

Sebenarnya, dalam diri kita berlaku pertembungan dengan beberapa penyakit hati yang merosakkan. Pertama ego dan yang kedua penyakit ujub, yakni perasaan yang mengatakan kita yang terbaik, manakala yang ketiga ialah tidak ikhlas. Penyakit dalaman ini boleh membantutkan angan-angan kita untuk berjaya.

Penyakit hati sangat berbahaya dan lebih parah sekiranya melingkungi kepimpinan dan masyarakat kerana akan melahirkan sombong. Pangkat, harta, nama dan jawatan menjadi tembok halangan menuju kejayaan. Manusia juga tidak berinteraksi sesama makhluk dengan akhlak tawaduk.

Al-Alamah al-Adib Jama‘in Abdul Murad pengarang kitab Tafsir Juz ‘Amma menyatakan bahawa “Adapun harta, keluarga bangsawan, darjat, pangkat dan sebagainya, maka sekaliannya itu hanya celupan dan sepuhan yang datang pergi dan timbul hilang, tidak tetaplah adanya”.

Sesungguhnya, sebagai rakyat Malaysia sepatutnya kita rasa bertuah kerana dapat menikmati kehidupan di Malaysia. Oleh sebab itu, hendaklah selalu mengucapkan lafaz alhamdulillah dan bersyukur mendapat nikmat besar dalam hidup ini kerana dikurniakan sebuah negara aman dan makmur.

Muhasabah satu penilaian menjadikan kita ke hadapan. Muhasabahlah ilmu yang kita ada untuk melihat tahap kefahaman kita tentang Allah SWT. Muhasabahlah diri kita untuk menilai kekuatan hubungan kita dengan Allah. Muhasabahlah perasaan kita apabila rindu akan Allah SWT. Adakah kita banyak membaca al-Quran? Adakah kita datang ke masjid semata-mata untuk beribadat atau untuk mempelajari ilmu?

Hal inilah tuntutan yang perlu dilakukan oleh umat Islam walaupun tiada siapa yang memaksanya. Sememangnya kita memerlukan muhasabah dan perubahan. Selamat menyambut tahun 1443 Hijrah.


Muhammad Imran Ibrahim ialah Penolong Pengarah Kanan Takmir di Jabatan Agama Islam Perak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.