4 Ogos 2021, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Akhir-akhir ini kita sering mendengar ungkapan “penunggang agama”, apatah lagi sebuah filem yang diterbitkan oleh Skop Production pada tahun 2021 juga mengetengahkan isu yang sama berjudul Penunggang Agama. Maka itu, semakin masyhurlah ungkapan ini dalam kalangan masyarakat.

Filem Penunggang Agama mengisahkan seorang bomoh yang mengamalkan ritual syirik dan berselindung di sebalik penampilan Islam dengan serban dan jubah untuk mendapatkan kepercayaan daripada sebuah keluarga. Namun begitu, dia memporakperandakan keluarga tersebut dengan amalan santau yang menggunakan khidmat makhluk halus. Akhirnya, berlakulah kekacauan dan kekusutan dalam keluarga tersebut.

Segelintir masyarakat sangat sensitif dengan penampilan seseorang. Contohnya, apabila seseorang menutup aurat dengan sempurna akan dikatakan “penunggang agama” apabila dia melakukan kesilapan atau kesalahan dalam hidupnya.

Ada juga yang menganggap orang yang mengamalkan ekonomi, politik dan budaya secara Islam, serta tokoh-tokoh agama sebagai “penunggang agama”. Jadi, apakah maksud “penunggang agama” sebenarnya?

Frasa ini perlu difahami dengan cara yang betul dan sahih supaya kita tidak mudah menuduh dan melabel seseorang sebagai “penunggang agama” hanya semata-mata kesilapan yang dilakukannya. Sedangkan umum mengetahui bahawa setiap manusia tidak terlepas daripada sebarang kesalahan atau kesilapan dalam hidupnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kesemua anak cucu Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu ialah mereka yang bertaubat”. (Hadis riwayat oleh Ibn Majah).

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan “tunggang” bermaksud duduk di atas sesuatu sebagai alat yang dikenderai atau dinaiki dengan duduk bercelapak di atasnya. Perbuatan mengenderai sesuatu itu adalah untuk menuju ke suatu tempat yang tertentu. Kenderaan yang ditunggang itu boleh jadi haiwan seperti kuda atau unta, ataupun alat seperti basikal atau motosikal.

Tunggang juga bermaksud mempergunakan sesuatu (orang dan lain-lain) untuk mencapai maksud sendiri. Sehubungan dengan itu, perbuatan yang dikatakan sebagai “menunggang agama” itu merujuk perbuatan menggunakan agama sebagai alat untuk sampai kepada matlamat dengan cara yang salah, seterusnya membawa imej yang negatif terhadap agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Akan timbul pada akhir zaman orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka merupakan hati serigala (mempunyai tujuan yang jahat). Allah SWT berfirman kepada mereka, ‘Apakah kamu tertipu dengan kelembutan-Ku?’ Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada-Ku? Demi kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi kepada mereka, sehingga orang yang alim pun akan menjadi bingung (disebabkan fitnah itu)’”. (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Hadis ini menggambarkan golongan yang menjadikan agama sebagai alat untuk mendapat habuan dan keuntungan dunia. Agama hanya sekadar kosmetik, sedangkan tujuan utamanya adalah untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan duniawi. Akhirnya, agama dijadikan alat untuk berpura-pura, namun matlamat sebenarnya sangat jauh daripada agama.

Golongan ini disifatkan sebagai “penunggang agama” kerana mereka dengan sengaja menjadikan agama sebagai alat untuk mengaburi pandangan masyarakat terhadap mereka. Pada hakikatnya, mereka amat membenci agama dan tidak melaksanakan segala tuntutan agama dalam kehidupan.

Golongan seumpama ini merupakan golongan penipu. Mereka seperti golongan munafik yang berpura-pura Islam, tetapi hakikat batinnya kufur kepada Allah SWT. Mereka juga mewarisi sikap dan agenda munafik dalam usaha merealisasikan cita-cita mereka.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tanda munafik ada tiga, iaitu jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia mengingkari dan jika diberikan amanah dia khianat”. (Hadis riwayat al-Bukhari).

Golongan “penunggang agama” pada hakikatnya bukanlah golongan yang mengamalkan agama dengan baik. Namun begitu, mereka mempunyai kepetahan dalam berkata-kata dan pandai mengemukakan hujah yang menarik dan mempersonakan hingga berjaya mempengaruhi banyak orang.

Kelebihan yang ada pada mereka itu digunakan sebaik-baik mungkin untuk memperoleh keuntungan dunia. Mereka rela menggadaikan agama untuk meraih keuntungan dunia.  Secara sedar ataupun tidak, sebenarnya mereka bukan sahaja menipu orang lain, tetapi menipu diri mereka sendiri.  Perbuatan yang mereka lakukan sangat berbahaya, bahkan akan membawa imej negatif yang merosakkan agama.

“Penunggang agama” sebenarnya golongan yang jahil dalam agama, tetapi berpura-pura alim dan berpengetahuan. Kata-kata yang keluar daripada mulut mereka dipenuhi dengan kata-kata manis bersandarkan agama, begitu juga perbuatan yang ditonjolkan seolah-olah mereka cinta akan agama dan benci akan dunia.

Namun begitu, pada hakikatnya mereka sendiri tidak mengetahui ajaran agama yang sebenarnya dan tidak melaksanakan tuntutan agama yang sebenar dalam kehidupan. Tujuan dan matlamat kehidupan mereka hanyalah untuk mencari laba dunia sepuas-puasnya.

Apakah kesan negatif yang berlaku dalam masyarakat disebabkan pelabelan sebagai “penunggang agama”? Sesuatu yang paling ketara ialah wujudnya salah faham terhadap agama yang semakin berleluasa. Bukan sekadar itu, ada yang tidak berani untuk melaksanakan tuntutan beragama kerana bimbang dilabel sebagai “penunggang agama”.

Kesudahannya, orang yang mengamalkan kehidupan beragama, malah tokoh-tokoh agama pun dicemuh dan dihina, namun orang yang jelas menentang agama dipandang mulia dengan pelbagai sangkaan baik terhadap mereka. Sebagai contoh, wujud pandangan sinis terhadap orang yang berserban dan berpurdah kononnya mereka “penunggang agama”, tetapi pada masa yang sama pandangan harmoni dan sangat positif diberikan kepada orang yang berpakaian sebaliknya.

Lebih menyedihkan, orang yang hendak mengamalkan agama Islam secara syumul dan menyeluruh ditentang dan dipandang serong, manakala golongan pengkritik agama yang mempermainkan dan memperlekehkan agama bermaharajalela melakukan apa-apa sahaja yang diingini.

Ada juga golongan yang mengamalkan Islam dalam aspek ekonomi, politik dan budaya dianggap sebagai “penunggang agama”. Sebaliknya, golongan sekular dan liberal yang menentang agama diangkat dan disanjung sebagai pejuang yang sebenarnya.  Itulah antara kesan negatif akibat wujudnya pelabelan golongan “penunggang agama”.

Bagaimanakah cara untuk mengenali “penunggang agama”? Sememangnya sukar untuk mengenali mereka terutama dalam kalangan masyarakat awam kerana mereka ialah golongan munafik yang berpura-pura. Apatah lagi kita hanya dapat menilai secara zahir, tetapi tidak mengetahui hati dan batin seseorang.

Walau bagaimanapun, suatu yang pasti ialah ajaran Islam amat menitikberatkan penguasaan ilmu. Hanya dengan penguasaan ilmu dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil, yang benar dengan yang salah.

Kewajipan utama dalam kehidupan ini ialah berusaha untuk mendalami ilmu agar dapat menyelamatkan diri daripada terjatuh dalam kegelapan. Maka itu, dapatlah membezakan antara intan dengan permata.

Oleh itu, umat Islam diperintahkan agar sentiasa berusaha mencari ilmu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Menuntut ilmu diwajibkan kepada setiap muslim”. (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Menurut Profesor Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Malamih al-Mujtama‘ al-Muslim, para ulama Islam bersepakat bahawa menuntut ilmu itu wajib kepada setiap individu sama ada lelaki atau wanita merangkumi ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah.

Melalui ilmu, seseorang dapat mengenali ciri-ciri golongan “penunggang agama” dan penentang agama yang menyasarkan habuan dunia semata-mata untuk kepentingan mereka. Maka itu, para tokoh agama atau ulama yang sebenar tidak akan dipandang serong lagi oleh masyarakat.

Golongan ulama inilah yang perlu dibantu dan disokong bagi memartabatkan usaha menyemai tuntutan beragama untuk dilaksanakan dalam diri, masyarakat dan negara. Seterusnya, sentiasa istiqamah menerima dan melaksanakan ajaran Islam secara keseluruhannya demi memperoleh reda Allah SWT bagi mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya, orang yang berilmu tidak akan mudah tertipu dengan golongan “penunggang agama”, apatah lagi golongan penentang agama.

 


Mohd Sukki Othman (Dr.) ialah Profesor Madya di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.