31 Julai 2021, 21:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Dalam suasana pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini, pelbagai ujian dihadapi oleh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang sosial mahupun agama. Ada yang kehilangan pekerjaan, terputus bekalan makanan, tersekat akses dengan masyarakat disebabkan arahan kuarantin, dan sebagainya. Hal ini menyebabkan tidak sedikit mereka yang terkesan dan dilanda kegelisahan. Paling terkesan pastinya golongan fakir dan miskin yang sentiasa memerlukan sokongan masyarakat untuk meneruskan kehidupan.

Menyedari hakikat ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melalui Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Seremban bertindak turun padang bagi menyantuni golongan yang perlu dibantu. Pada 29 Julai 2021, Pegawai PAID Seremban, Dr. Amru Al-Haz bin Adnan bersama kakitangannya telah menyampaikan barangan dapur kepada 20 orang penerima dalam kalangan ahli kariah Masjid Al-Azim Taman Semarak, Nilai. Turut sama mengagihkan barangan tersebut ialah Pengerusi Masjid Al-Azim; Haji Fakarudin bin Ab. Rahman, Setiausaha masjid; Tuan Haji Ramlan bin Giman, Imam 1; Dr. Mohd. Kamel bin Mat Salleh, dan Ahli Jawatankuasa masjid; Kamarul Azman bin Aziz.

Sebagai institusi agama, peranan dan tanggungjawab sosial ini telah digerakkan sebaik-baiknya oleh PAID Seremban dengan mengambil inisiatif mengagihkan barangan keperluan kepada masyarakat Islam bagi menampung kehidupan harian mereka. Inilah antara peranan penting institusi agama dalam usaha membantu pihak kerajaan  menjayakan proses pemulihan pandemik COVID-19.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.