25 Julai 2021, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Islam merupakan agama fitrah dan sesuai dengan sifat semula jadi manusia yang cinta akan kesejahteraan, kedamaian dan ketenangan. Keharmonian ajaran Islam ternyata membawa kebaikan kepada seluruh manusia. Praktikal hukum dalam Islam mudah diterima mengikut logik akal dan tidak memberatkan hamba untuk melaksanakannya, serta sesuai dengan kemampuan fizikal seseorang individu Muslim.

Islam tidak pernah memaksa orang lain untuk menganut agama ini, tetapi konsep fitrah ini telah menarik minat mereka untuk memilih Islam sebagai agama pegangan. Peranan masjid sebagai sebuah institusi sosial dan kebajikan juga telah menarik minat mereka untuk mendekati Islam dengan lebih mendalam.

Pada 21 Julai 2021 yang lalu, seorang pemuda Kristian yang berasal dari Kota Belud, Sabah, telah disyahadahkan di Masjid al-Azim, Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan. Proses pengislaman Muhammad Al-Firman Jass bin Abdullah telah dilakukan sendiri oleh Pengerusi Masjid al-Azim; Tuan Haji Md Fakarudin bin Ab. Rahman, dan disaksikan oleh Imam 1 Masjid; Dr. Mohd. Kamel bin Mat Salleh, Setiausaha Masjid; Tuan Haji Ramlan bin Giman, dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa masjid yang hadir dengan pematuhan ketat SOP sebagaimana yang ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Sebelum ini beberapa orang saudara Muslim juga telah disyahadahkan di masjid ini. Dari sudut prosedur, semua dokumen pengislaman yang dilakukan di masjid ini telah diserahkan kepada Unit Ukhuwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Neheri Sembilan (JHEAINS) untuk proses selanjutnya.

Perintah Kawalan Pergerakan tidak seharusnya membataskan ruang masyarakat untuk mengenali dan mendalami agama Islam. Semoga syahadah yang dilafazkan oleh saudara Muslim ini membuka mata ramai lagi penduduk sekitar untuk lebih mendekati masjid dan mengimarahkannya selepas rantaian pandemik COVID-19 ini berjaya dilandaikan dan diputuskan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.