22 April 2021, 11:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KOTA BHARU – Berikutan penularan pandemik COVID-19 yang kembali mencatat jumlah kes yang tinggi, khususnya di negeri Kelantan, maka Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah mengambil beberapa pendekatan untuk mengekang penularan pandemik ini.

Demi menjaga kemaslahatan rakyat, MAIK membenarkan pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat tarawih di masjid negeri, bandar dan jajahan negeri Kelantan bermula 21 April 2021 hingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat. Kebenaran tersebut mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan Darul Naim sebagai ketua Agama Islam Negeri.

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz dalam kenyataannya berkata, hanya 50 peratus daripada kapasiti masjid selepas penjarakan dibenarkan untuk melakukan solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat tarawih. Para jemaah hendaklah berada dalam saf dengan penjarakan dua meter. Walau bagaimanapun, aktiviti lain seperti tazkirah, tadarus al-Quran dan iktikaf tidak dibenarkan.

Sementara itu, semua masjid mukim, surau dan musolla di negeri Kelantan akan ditutup untuk semua aktiviti termasuklah bagi pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu, solat sunat tarawih dan aktiviti lain.

Oleh itu, pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya untuk mematuhi SOP yang ditetapkan ini. Tindakan sewajarnya akan diambil bagi sesiapa yang gagal mematuhinya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.