21 April 2021, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Kenanga Investors Berhad (Kenangan Investors) memperoleh pencapaian yang amat membanggakan apabila sekali lagi memenangi Anugerah Kumpulan Dana Wang Simpanan Islam Malaysia (Ekuiti) dalam tempoh empat tahun berturut-turut. Firma ini juga turut memenangi Anugerah Kumpulan Dana Wang Simpanan Malaysia (Aset Bercampur) terbaik secara keseluruhan, selain kemenangan Dana SyariahEXTRA Kenanga (KSEF) yang menerima sejumlah empat anugerah dalam dua kategori, iaitu Dana Islam Malaysia di bawah Aset Bercampur MYR Terimbang bagi tiga tahun dan lima tahun, dan Dana Wang Simpanan Malaysia di bawah Aset Bercampur MYR Terimbang bagi tiga tahun dan lima tahun. Selain itu, Kenanga Growth Opportunities Fund (KGOF) turut memenangi anugerah Dana Wang Simpanan Malaysia di bawah Ekuiti Malaysia Modal Kecil dan Sederhana bagi tiga tahun.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismitz Matthew De Alwis berkata, hal ini menjadi bukti keupayaan mereka sebagai pengurus aset dan kekayaan sehingga mampu mencapai preatasi luar biasa pada tahun lalu walaupun keadaan pasaran yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19.

“Pada tahun lepas, keputusan kami untuk memfokuskan sektor teknologi dan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbukti penting berikutan permintaan dalam sektor ini melonjak akibat pandemik. Secara keseluruhan, kami memilih untuk berpegang pada keyakinan perspektif jangka masa lebih panjang. Hal ini telah menyumbang kepada kenaikan semula dan prestasi luar biasa,” katanya.

Sehingga 31 Disember 2020, KSEF meraih pulangan sebanyak 40.29 peratus (tiga tahun), 62.78 peratus (lima tahun) dan 119.79 peratus (10 tahun). Bagi tempoh yang sama, KGOF mencatat pulangan sebanyak 50.81 peratus (tiga tahun), 63.62 peratus (lima tahun) dan 156.80 peratus (10 tahun).

Menurut De Alwis, firma ini bercadang untuk mengembangkan jangkauannya yang semakin meluas dalam pelaburan mampan, dan amat menyokong minat yang kian meningkat dalam pelaburan dari segi sosial dan pelaburan dana Islam yang menyaksikan permintaan yang memuncak dalam tempoh pascapandemik.

“Dunia pelaburan mampan akan menjadi komponen penting ke arah penyediaan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan dalaman dan luaran kami, memandangkan penunjuknya menawarkan cerapan tambahan bagi menilai kelanjutan syarikat melebihi prestasi kewangan tradisional,” katanya.

Sebagai penandatangan Kod Pelabur Institusi Malaysia dan ahli Majlis Pelabur Institusi, Kenanga Investors juga telah melancarkan Dana Wakaf Al-Ihsan Kenanga. Hal ini bertujuan untuk memudahkan penawaran dana Islam dengan ciri wakaf bagi mengembangkan segmen kewangan sosial Islamik. Langkah ini dibuat selepas pemerolehan dana pertukaran dagangan Islam tempatan baru-baru ini yang telah menambahkan paras terhadap produk ETF (Dana Dagangan Bursa) yang sedia ada.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.