Diterbitkan pada 1 November 2024, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Sedim –  Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) bersama-sama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia (USM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Persatuan Hijrah Sinar Mutiara (PEHSIM) menganjurkan Program Kembara 2K (Kerohanian dan Keusahawanan) untuk memberikan pengisian kerohanian dan keusahawanan kepada komuniti LGBTQ supaya mereka mempunyai jati diri Muslim dan mukmin sejati.

Program yang diadakan di Teratak Merah Resort, Kulim ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada 25 Oktober hingga 27 Oktober yang lalu.

Poster program Kembara 2K (Kerohanian dan Keusahawanan)

Sebanyak 32 orang transjantina dan gay yang terdiri daripada guru, jurutera dan usahawan terlibat sebagai peserta dalam program tersebut yang kebanyakannya telah berhijrah dan masih dalam proses untuk berhijrah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Ustaz Mohd Hanif bin Omar@Wahab ketika merasmikan program tersebut berkata bahawa beliau amat teruja mendengar kisah pengalaman hidup para peserta yang telah kembali kepada fitrah.

Objektif program ini juga adalah untuk mendorong jiwa golongan tersebut supaya berubah ke arah kebaikan dan meninggalkan kebiasaan penyimpangan seksual yang telah berlaku sekian lama.

Selain itu, turut diadakan ceramah dan forum keusahawanan bagi menanam minat golongan tersebut terhadap bidang keusahawanan bagi mencari mata pencarian yang halal sebagai menggantikan perbuatan “menjual maruah diri” yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Rata-rata peserta memberikan maklum balas yang positif dan merasakan program sebegini memberikan manfaat besar kepada mereka dari sudut kerohanian dan membuka minda untuk mereka menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

Pihak penganjur berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menambah penghayatan golongan tersebut terhadap agama Islam dan mengubah diri mereka ke arah kebaikan dalam aspek kerohanian dan keusahawanan secara berterusan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi