Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRiyadh – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Kemuncak Tergempar Negara-negara Arab dan Islam semalam menyeru masyarakat antarabangsa supaya membina persepakatan pendirian menggantung atau menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam ucapannya, beliau menempelak Israel kerana rejim tersebut telah melampaui batas, akal dan kemanusiaan dengan tindakan yang kejam serta melakukan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin secara terang-terangan.

“Demi rakyat Palestin dan kemanusiaan secara keseluruhan, kita harus menghukum dan mencegah pencabulan Israel berulang kali terhadap undang-undang dan norma antarabangsa”, tegasnya.
Hal ini demikian kerana Perhimpunan Agung PBB pernah mengambil langkah luar biasa terhadap kerajaan Afrika Selatan dengan menafikan kedudukannya dalam perhimpunan tersebut akibat kekejaman yang berlaku pada 50 tahun yang lalu.
Selain itu, Israel juga menyasarkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin dengan menyerang Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) serta menghalang operasinya menyebabkan keruntuhan tindak balas kemanusiaan dunia serta memutuskan penyaluran keperluan asas di Gaza.
Oleh itu, Israel tidak lagi tergolong dalam negara yang bertamadun dan kebiadaban negara tersebut menuntut tindakan tegas bukan sekadar untuk melindungi rantau Timur Tengah, malah peringkat global secara keseluruhannya.
“Keganasan ini menyebabkan kita tiada pilihan untuk menuntut tindakan berkesan dan segera daripada masyarakat antarabangsa termasuklah mengenakan sekatan, penggantungan dan pengusiran”, katanya.
“Kita mesti menghentikan pembunuhan tidak masuk akal ini dan mengambil langkah segera untuk memberikan perlindungan yang lebih berkesan kepada UNRWA”, jelasnya lagi.
Di samping itu, beliau turut menyentuh berkaitan dengan pengukuhan perlindungan yang lebih baik kepada pasukan pengaman PBB di Lubnan yang melibatkan hampir 50 buah negara termasuklah Malaysia telah diserang oleh tentera Israel.
Ujar beliau,
Masyarakat antarabangsa mesti bertindak pantas dan tegas, sebagai langkah segera kita perlu mendesak seperti yang dilakukan oleh Malaysia di Perhimpunan Agung PBB pada bulan September lalu, dengan mengenakan sekatan senjata segera terhadap Israel.
Kekejaman Israel telah merebak ke Lubnan, Yaman, Syria, Iraq dan Iran. Jika dunia berpaling sekarang, keganasan ini tidak akan dapat dihentikan, (malah) akan menyalakan api yang mengancam untuk menelan seluruh rantau dan dunia.
Menurut beliau, perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat antarabangsa ialah mangsa kekejaman rejim Zionis menerusi penggandaan usaha terkini untuk membantu membina semula Gaza daripada kemusnahan yang telah berlaku tanpa sebarang kelewatan.