Diterbitkan pada 12 November 2024, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Bengkel Pemanfaatan Kecerdasan (Artificial Intelligence – AI) dalam Penyelidikan Islam anjuran Program Siswazah di Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 10 November 2024 secara dalam talian berjaya mempertingkat keberkesanan aktiviti akademik khususnya dalam bidang Pengajian Islam.

Bengkel ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para penyelidik khususnya calon siswazah berkenaan dengan penggunaan teknologi dalam usaha mempermudah dan menambah keberkesanan kerja dalam dunia akademik.

Bengkel yang memberikan penekanan terhadap aspek “Peluang dan Integriti” dalam penggunaan teknologi AI ini terbuka kepada ahli akademik dengan bilangan kehadiran mencecah sehingga 80 orang peserta dalam kalangan pensyarah dan pelajar pelbagai IPTA dalam bidang pengajian Islam menyajikan perkongsian dan bimbingan praktikal daripada dua orang panel jemputan.

Poster Bengkel Pemanfaatan Kecerdasan (Artificial Intelligence – AI) dalam Penyelidikan Islam anjuran Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 10 November 2024.

Panel pertama, Ts. Prof. Dr. Norita Md Norwawi yang diundang dari Fakulti Sains dan Teknokogi Universiti Sains Islam Malaysia menghuraikan sejarah dan falsafah teknologi AI dengan memberikan penekanan terhadap aspek keberkatan yang perlu diinsafi ketika memanfaatkan AI.

Beliau berkata, “Dunia Barat lebih menumpukan kepada aspek volum dan keuntungan.”

“Sebagai umat Islam, kita perlu lebih menekankan perihalan keberkatan itu sendiri dan tidak terikut-ikut dengan fokus Barat sehingga kita hilang etika dan adab ketika menggunakan AI,” jelas beliau.

Panel kedua pula, Dr. Najah Nadiah Amran dari Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia memandu para peserta untuk memanfaatkan beberapa aplikasi AI.

Namun begitu, beliau turut mengingatkan bahawa nilai dan amanah kepengarangan itu tidaklah seharusnya diserahkan kepada AI semata-mata.

Tegasnya,

Walau bagaimana hebat sekalipun AI itu, namun kita sebagai pengarang tetap harus bertanggungjawab atas setiap aktiviti akademik yang dihasilkan kerana pengarang itu ialah kita sendiri, bukannya AI.

Secara keseluruhannya, perkongsian dan bimbingan yang diberikan oleh para panel dalam bengkel ini tertumpu pada aspek keinsafan terhadap para peserta tentang dua perkara.

Pertama, para penyelidik dalam bidang Pengajian Islam seharusnya mengambil kesempatan dan peluang dalam memanfaatkan teknologi AI ini.

Pada masa yang sama, golongan tersebut haruslah menitikberatkan adab, integriti dan amanah ilmu supaya aspek keberkatan tidak tergadai dek keterujaan mengejar kuantiti dan pencapaian tahunan.

Tangkap layar paparan yang menunjukkan bilangan kehadiran bengkel dalam talian yang mencecah lebih 80 orang peserta.

Penulis merupakan Ketua Program Siswazah, Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi