Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa agama negeri sentiasa mengambil langkah proaktif untuk membantu dan menggalakkan para usahawan memohon pensijilan halal Malaysia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata demikian ketika mejawab pertanyaan Ahli Parlimen Bagan Serai, Yang Berhormat Datuk Idris Ahmad dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.
Hal ini demikian kerana terdapat premis makanan dan minuman yang beroperasi masih belum mendapatkan sijil halal JAKIM terutamanya melibatkan premis yang sering dikunjungi oleh orang ramai termasuk orang Islam.
Antara langkah yang diambil oleh pihak kerajaan termasuklah mengadakan kerjasama dengan agensi pembimbing seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Perusahaan Pekebun Kecil (RISDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam usaha memudah cara dan membantu usahawan industri kecil dan mikro.
“JAKIM juga mewujudkan inisiatif bimbingan dan latihan kepada industri melalui rakan strategik, iaitu Akademi Halal Antarabangsa Malaysia (MIHA) dan pihak penyedia latihan halal yang lain,” katanya.
Jelas beliau lagi,
JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN) turut berusaha memberikan kefahaman tentang prosedur dan kepentingan pensijilan halal serta mengadakan program bersama-sama pihak persatuan industri seperti Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM), The Cosmetic, Toiletry & Fragrance Association of Malaysia, Persatuan Pemilik Hotel Malaysia, Persatuan Hotel Malaysia, Persatuan Pengusaha Francais Malaysia dan Persatuan Pemandu Pelancong Malaysia.
Bahkan, mesyuarat Jemaah Menteri dan mesyuarat antara kementerian telah bersetuju dan menetapkan supaya Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri memainkan peranan penting untuk memberikan tumpuan terhadap latihan dan bimbingan industri bagi.
Keadaan ini sekali gus memastikan industri sedia ada memohon sijil pengesahan halal Malaysia dan membantu meningkatkan jumlah permohonannya.
Ujar beliau,
JAKIM juga turut menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa buah institusi kewangan seperti inisiatif Solusi Halal Maybank dan Bank Islam untuk membantu usahawan di premis makanan dan minuman, industri kecil dan mikro daripada aspek prasarana sebagai persediaan untuk mendapatkan pensijilan halal.
Sementara itu, kutipan tahunan fi pensijilan halal semakin meningkat, iaitu sebanyak RM12,153,640 telah direkodkan pada tahun 2023.
Hal ini bermakna bahawa jumlah fi yang telah berjaya dikutip sepanjang tahun 2012 hingga tahun 2023 melebihi RM80 juta dan dimanfaatkan kembali untuk membantu peniaga kecil sederhana untuk mendapatkan sijil pengesahan halal Malaysia.
Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan pelbagai program untuk memberikan pencerahan dan bimbingan seperti Halal on Track yang diadakan di beberapa buah negeri, iaitu Pahang dan Wilayah Persekutuan; penyediaan kemudahan; klinik halal yang membimbing industri dan premis untuk mendapatkan sijil pengesahan halal.
Di samping itu, pihak kerajaan telah mengambil inisiatif dalam belanjawan tahun hadapan untuk mengukuhkan ekosistem halal dengan pertambahan sebanyak 100 orang juruaudit halal dan menambah baik sistem MYeHALAL sebagai sebuah mekanisme audit bebas yang dapat memantau pematuhan premis makanan dan minuman secara berkala terhadap piawaian halal yang telah ditetapkan.
Beliau turut menasihatkan pengguna beragama Islam supaya sentiasa peka dan bijak memilih produk makanan, minuman, perkhidmatan dan barangan keperluan yang berada di pasaran serta premis makanan yang telah disahkan halal oleh pihak berkuasa JAKIM dan MAIN.