Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah YBhg. Datuk Profesor Madya Dr. Luqman Haji Abdullah dalam suatu kenyataannya menyeru semua pihak berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan dan dakwaan yang tidak berasaskan fakta sebenar khususnya kenyataan yang dilihat sengaja cuba merendahkan kehormatan terhadap Yang Berhormat (YB) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan institusi pentadbiran Islam di Malaysia.
Menurut beliau, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan rasa dukacita dengan polemik yang timbul ekoran penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2024.
Ujar beliau,
Perkara yang lebih menyedihkan apabila terdapat juga tindakan oleh sesetengah pihak yang membuat dakwaan berbentuk melulu dan tidak berasas sehingga melanggar batas etika dan adab ketika membahaskan isu ini termasuk terhadap YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Beliau menjelaskan bahawa RUU Mufti digubal bertujuan untuk memartabatkan dan memperkukuh peranan dan fungsi institusi mufti dalam pembangunan hukum syarak ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam, khususnya di Wilayah-wilayah Persekutuan.
Malah, penggubalan RUU Mufti tersebut bukanlah satu bentuk eksklusif dalam hal beragama dan bersifat sektarian sebagaimana didakwa oleh sebahagian pihak sehingga boleh memecahkan keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat.
Pada hakikatnya, tindakan tersebut merupakan suatu usaha pemerkasaan manhaj yang jelas dan berstruktur.
Perkara ini penting bagi mempersiapkan umat Islam untuk mengharungi era globalisasi yang semakin terdedah kepada pelbagai aliran ajaran sesat dan kekeliruan dalam penghayatan Islam.
Selain itu, Malaysia merupakan sebuah negara majoriti umat Islam yang berpegang dengan pegangan aliran Asya’irah dan Maturidiyah yang mula bertapak dan telah dipegang oleh masyarakat Islam sedunia, khususnya di Alam Melayu sejak zaman dahulu hingga hari ini.
Jelas beliau,
Pegangan Asya’irah dan Maturidiyah diyakini membawa keharmonian dan kesatuan umat dalam hal beragama dari sudut memberikan pengukuhan kefahaman Islam, kesepaduan ilmu, membentuk jati diri Islam, kesepakatan fikrah, keselarasan dalam pengamalan agama dan keilmuan para ulama dan masyarakat di rantau ini.
Justeru, penggubalan RUU Mufti tersebut merupakan satu usaha murni selaras dengan dasar kerajaan MADANI yang menekankan kemajuan dan ketamadunan dalam masyarakat berdasarkan ilmu pengetahuan dan khazanah tradisi Islam.
Beliau turut menasihatkan umat Islam agar menjaga tutur kata dan mempamerkan akhlak serta adab yang baik terutama dalam perkara yang melibatkan perbezaan pandangan.