Diterbitkan pada 13 Oktober 2024, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak teragak-agak untuk menamatkan pendaftaran mana-mana sekolah agama swasta di negeri ini jika didapati terlibat dengan penderaan dan gangguan seksual kepada pelajar atau apa-apa sahaja bentuk perbuatan yang bertentangan dengan prinsip asas Islam.

Menurut Pengarah JAIS, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, jemaah pengurusan, pentadbir dan para guru sekolah agama swasta di negeri Selangor diberi peringatan bahawa mana-mana sekolah agama swasta yang terlibat akan disiasat mengikut Seksyen 15 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 Pindaan (2001).

Tambah beliau, JAIS juga akan mengambil tindakan menutup sekolah terlibat mengikut Seksyen 25 enakmen yang sama.

“Beberapa kes melibatkan penderaan fizikal dan kes seksual melibatkan pelajar sekolah agama swasta sangat mendukacitakan dan sangat terpesong daripada prinsip mendidik mengikut Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, para pendidik sepatutnya memberikan contoh teladan yang baik kepada para pelajar sesuai dengan peranannya sebagai seorang pendidik.

Tambah beliau, sistem pendidikan dan kurikulum Islam yang dilaksanakan di sekolah tidak boleh sama sekali merosakkan prinsip manusiawi dan ihsan atas alasan membentuk sahsiah Islam kepada para pelajar.

Katanya, kes terbaharu yang tular melibatkan empat orang pelajar yang hilang dari sebuah sekolah tahfiz dan ditemui di Bukit Jelutong kerana disyaki didera dan menjadi mangsa seksual, jika benar berlaku merupakan suatu yang sangat memalukan, melampau, tidak bertamadun dan terkeluar sama sekali daripada konsep mendidik yang ditetapkan oleh Islam.

“Mendidik dalam Islam sangat dekat dengan sikap dan hati nurani guru untuk mendidik dengan ikhlas dan sabar, bersangka baik kepada pelajar dan sentiasa mendoakan pelajar dalam apa-apa juga keadaan.

“Guru sebagai wahana menyampaikan ilmu perlu memanfaatkan pengajaran dan pembelajaran sebagai ruang bagi pelajar menjadi insan yang ikhlas untuk menerima ilmu, bersangka baik dan menghormati para guru, bukannya interaksi yang melahirkan ketakutan dan mengambil kesempatan daripada para pelajar,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memerhati perkembangan anak masing-masing dari semasa ke semasa agar kelainan sikap dan tingkah laku anak- anak yang dikesan pada peringkat awal dapat dihadapi dengan langkah yang sesuai dan tepat kerana hal tersebut dapat mengekang daripada keadaan semakin buruk dan merosakkan masa depan para pelajar.

Beliau berkata, selain kes jenayah, ibu bapa dan penjaga turut boleh mendakwa dan menuntut hak anak-anak jika telah diperlakukan selayaknya untuk dibawa ke muka pengadilan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi