Diterbitkan pada 28 September 2024, 10:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Lembaga Tabung Haji (TH) kini dalam proses mewujudkan Pusat Rujukan Ibadat Haji (RAJIH) bagi meningkatkan kecekapan dan kajian terhadap isu manasik haji.

Demikian dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) ke-41 di Perdana Hotel, di sini malam tadi

“Kajian semasa tentang manasik haji ini akan diangkat untuk dibincangkan dengan lebih menyeluruh dan sekiranya bersesuaian akan dijadikan sebagai satu daripada keputusan yang akan dipegang oleh pengurusan haji bagi musim haji semasa,” katanya.

Tambah beliau, RAJIH juga akan menjadi sebuah pusat latihan bagi pembimbing ibadat haji yang bertauliah untuk meningkatkan lagi kemahiran menyampaikan dan memahami isu yang bersifat kontemporari.

Beliau berkata bahawa program Muzakarah Haji sangat signifikan bagi membincangkan secara tuntas isu yang berbangkit dan perlu diberikan keutamaan untuk diketengahkan dalam musim haji yang akan datang.

“Segala pandangan yang dikemukakan dalam muzakarah ini bukan sahaja penting kepada para jemaah haji negara, tetapi juga kepada seluruh umat Islam Malaysia untuk memahami hikmah dan falsafah manasik haji serta hukum-hakamnya,” katanya.

YB Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar ketika berucap dalam Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) ke-41 di Perdana Hotel, Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, TH sentiasa komited untuk menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada seluruh pendeposit dan bakal haji melalui pelaksanaan pelbagai program bermula dari sebelum hingga selepas musim haji.

“Kursus haji untuk musim haji 1446H telah dirangka sebagai persiapan bakal haji dengan bermulanya Kursus Asas Haji pada bulan Oktober ini yang melibatkan lebih 200 buah masjid di seluruh negara,” jelas beliau.

Tambahnya, kursus yang mempunyai 13 siri tersebut akan memberikan penekanan terhadap isu ibadat, pengurusan dan kesihatan.

Beliau turut menjelaskan bahawa TH akan memperkenalkan dua inisiatif baharu dengan melaksanakan Tadabbur al-Quran dan kelas Asas Fardu Ain Jemaah Haji (KAFFAH) di beberapa lokasi terpilih sebagai projek rintis.

Katanya, inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti ibadat dalam kalangan bakal haji dengan penekanan terhadap penghayatan dan kefahaman al-Quran serta isu fardu ain selain fiqah manasik haji yang menjadi permasalahan lazim semasa di tanah suci.

Menurut TH, MHPK ke-41 membincangkan lima kertas kerja, iaitu antaranya termasuklah permasalahan hukum-hakam ibadat haji 1445H; masalah talfiq (menerima dan menggunakan pendapat mazhab lain) dalam pelaksanaan hukum haji; hukum menunaikan haji bagi wanita kematian suami yang mendapat giliran menunaikan haji; dawabit al-darurah dan al-hajah (panduan penetapan hukum dari aspek keperluan ibadat haji) serta adab dan akhlak di Masya’ir.

Acara tahunan yang diadakan pada setiap kali selepas musim haji ini mengumpulkan barisan pengurusan TH, petugas operasi haji, para Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA), Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, wakil Pengelola Jemaah Haji (PJH) dan barisan ahli akademik serta delegasi ilmuwan agama dari luar negara untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bagi menetapkan keseragaman hukum-hakam yang berkaitan.

Kredit Foto: Facebook Tabung Haji
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi