Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Tujuh resolusi dikemukakan dalam Seminar Pemikiran Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi yang berlangsung di Kolej Poly-Tech MARA, Bandar Meru Raya, semalam.
Seminar tersebut merupakan anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Resolusi tersebut merupakan usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang citra budaya Islam dan meneroka pendekatan berhikmah dalam membina peradaban bangsa Malaysia.
Antara resolusi yang dikemukakan termasuklah menggalakkan kempen menyebarkan mesej persaudaraan, membangunkan program mentor, mencadangkan masjid mengadakan Hari Terbuka Masjid, menyediakan dana dan insentif untuk penggiat seni, memperbanyakkan program pada peringkat sekolah dan universiti, menyelenggara penulisan dan kajian serta mengkaji keberkesanan Dasar Wasatiyyah Negara.

Sebelumnya, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, dalam ucapan perasmiannya berkata,
Karya penulisan Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi mempunyai kekuatan tersendiri; bahasanya mudah difahami menggabungkan yang lama dan baharu, teori dan praktikal, kritikal tetapi konstruktif, dan lebih utama dapat merasai bahawa beliau bukan hanya menguasai teks tetapi juga konteks dan realiti.
Seminar tersebut dimulakan dengan sesi pembentangan kertas kerja bertajuk “Mengenali Sosok Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Sumbangan dalam Dunia Keilmuan” oleh YBhg. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty dan disusuli dengan “Forum Mutiara Hikmah dalam Bermasyarakat di sebalik Pemikiran Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi” yang disampaikan oleh Timbalan Presiden WADAH, Encik Hasri Harun dan Exco Pertubuhan Majlis Murabbi Madani, Encik Muhamad Tarmizi Abdul Hamid.