Diterbitkan pada 27 September 2024, 15:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

 

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, mohonlah pertolongan (untuk menghadapi susah payah untuk menyempurnakan sesuatu perintah Allah) dengan bersabar dan (mengerjakan) solat! Sesungguhnya Allah bersama-sama (menolong) orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah 2:153)

Memohon pertolongan Allah SWT merupakan suatu ibadat; iaitu bukti kehambaan, menunjukkan jiwa yang tunduk, jiwa yang berharap dan bergantung sepenuhnya pada kekuasaan Allah yang Maha Esa. Manusia pada hakikatnya diciptakan serba kekurangan. Oleh itu, manusia memerlukan tempat sandaran dan sumber kekuatan pada setiap masa dalam semua keadaan untuk mencapai kejayaan. Mukmin yang sentiasa memohon pertolongan Allah SWT tergolong dalam kalangan orang yang sabar dan beriman.

Surah al-Fatihah ayat 5 yang bermaksud, “Hanya Engkau (Ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Engkau (Ya Allah) kami memohon pertolongan” yang dibaca pada setiap hari sekurang-kurangnya 17 kali dalam solat lima waktu sehari semalam membuktikan betapa lemahnya manusia yang memerlukan bantuan dan pertolongan Allah SWT dalam segala perkara. Sekalipun seseorang manusia itu berusaha dan bekerja keras, namun tanpa izin dan pertolongan Ilahi, segala usaha dan kerja yang dilakukan tidak mungkin berjaya.

Islam menggariskan bahawa berdoa memohon pertolongan Ilahi wajib disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan diiringi tawakal kepada Allah SWT. Ketika memohon pertolongan Ilahi, umat Islam wajib menghadirkan sepenuh keyakinan dalam jiwa, bahawa pertolongan dan rahmat Allah SWT ialah kunci kejayaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat mengalahkan kamu dan jika Allah membiarkan kamu (tanpa memberikan pertolongan), maka siapakah pula yang dapat menolong kamu selain Allah? Dan hanya kepada Allah sahaja hendaklah orang beriman bertawakal.

(Surah Ali Imran 3:160)

Terdapat pelbagai kaedah memohon pertolongan Allah SWT, antaranya termasuklah:

Pertama: Berdoa dengan keikhlasan dan hati yang khusyuk.

Berdoa ialah satu daripada kaedah utama memohon pertolongan Allah SWT. Ketika berdoa, mukmin harus menginsafi bahawa doa yang dipohon didengari oleh Allah SWT kerana Allah SWT menyifatkan diri-Nya hampir dengan hamba-Nya melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku (Allah) dekat (dengan mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku … .”

(Surah al-Baqarah 2:186)

Rasulullah SAW mengehendaki umat Baginda berdoa dengan keyakinan bahawa doa akan dimakbulkan selaras dengan sabda Baginda:

Maksudnya: “Berdoalah kepada Allah SWT dalam keadaan kamu yakin doa akan dimakbulkan. Ketahuilah, Allah SWT tidak akan menerima (memakbulkan) doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.”

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Kedua: Menunaikan solat dengan khusyuk.

Solat berupaya mendekatkan hamba kepada Allah SWT. Apabila mendirikan solat bererti kita berdoa kepada Allah, mengharapkan kebaikan, rahmat dan keampunan. Solat membolehkan seseorang memohon apa-apa sahaja yang diinginkan kerana doa dizahirkan bukan hanya dengan lisan, bahkan dengan penyertaan seluruh anggota tubuh melalui gerakan rukun-rukun solat yang sempurna lagi khusyuk.

Ketiga: Memperbanyak zikir.

Dengan membanyakkan zikir, iaitu memperingati Allah, Allah SWT akan menurunkan ketenangan jiwa, seterusnya akan dimudahkan segala urusan.

Keempat: Beristighfar dan bertaubat.

Memohon keampunan atas segala ketelanjuran dosa dan kesilapan lampau akan membuka pintu rahmat serta dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT, seterusnya diberikan pertolongan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Sesiapa yang memperbanyak istighfar, maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan ada kelapangan, setiap kesempitan ada jalan keluar, dan Allah akan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

 (Hadis riwayat Ahmad)

Yakinlah, sesungguhnya Allah SWT Maha Mendengar setiap rintihan, pengakuan, aduan dan permohonan hamba-Nya. Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT dengan sabar dan yakin. Sabda Rasulullah SAW, bahawa Allah SWT memakbulkan doa-doa hamba-Nya dengan berbagai-bagai cara sebagaimana yang terkandung dalam hadis:

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim memanjatkan doa kepada Allah selagi bukan doa yang mengandungi dosa atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan padanya tiga keadaan: Pertama, segera dikabulkan doanya; kedua, disimpan untuk keperluannya pada hari akhirat; ketiga, dihindarkan daripada keburukan. Lalu sahabat menyebut, jika demikian kita minta lebih banyak. Rasulullah membalas, Allah memiliki lebih banyak.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Umat Islam dituntut untuk sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT. Setiap takdir yang telah Allah SWT tetapkan dalam kehidupan wajib diimani qada dan qadar serta menerimanya dengan hati yang ikhlas. Allah SWT menilai setiap hamba-Nya dan doa yang dipohon mesti berasaskan sangkaan baik kepada Ilahi sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis kudsi yang bermaksud,

Sesungguhnya Allah berkata: ‘Aku berada pada persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya tatkala dia berdoa kepada Ku.’

(Hadis riwayat Muslim)

Oleh itu, mintalah pertolongan Allah SWT untuk menghindari kita daripada menjadi manusia yang sombong dan angkuh. Sebaliknya, sifat merendahkan diri akan mendidik kita untuk bersifat seorang hamba di sisi Allah SWT.

Memohon pertolongan Allah SWT menunjukkan hati yang taat dan beriman kepada kuasa Ilahi, insya-Allah menjanjikan kita pulangan yang menguntungkan akan dikurniakan rahmat dalam kehidupan, dipermudah segala urusan dan dilindungi daripada keburukan.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 27 September 2024, bertajuk “Memohon Pertolongan Allah SWT”)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi