Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Masjid di seluruh Perak disarankan untuk mengambil manfaat daripada bantuan pertanian bagi tujuan komersial.
Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Tuan Haji Zakaria Abd Razak berkata, dengan adanya bantuan pertanian ini, masjid boleh mengambil manfaat untuk menjalankan projek pertanian di tanah wakaf atau kawasan masjid, yang sekali gus dapat memperkukuh ekonomi masjid dan membantu komuniti setempat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Taklimat Bantuan Pertanian untuk Tujuan Komersial kepada Masjid Seluruh Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam Perak, semalam.
Taklimat tersebut melibatkan lima wakil agensi berkaitan industri dan latihan pembangunan modal insan, serta ahli kariah masjid dalam usaha merealisasikan misi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan hasrat Kerajaan Negeri Perak meneruskan pencapaian gemilang negeri dalam sektor pertanian selaras pencapaian negeri ini sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelanconan Malaysia 2024.
Menurut Tuan Haji Zakaria, program ini merupakan satu perkongsian maklumat agensi dalam bidang pertanian bersama-sama masjid di Perak berkenaan dengan potensi pertanian sebagai satu usaha sumber pemakanan serta boleh menjana pendapatan khususnya di atas tanah di bawah pentadbiran jawatankuasa kariah.
“Agensi yang kita tampilkan pada hari ini akan menerangkan skim atau tawaran yang disediakan demi membantu pertanian di masjid sama ada bantuan berbentuk modal, peralatan, khidmat nasihat atau lainnya,” ujarnya.
Beliau menjelaskan,
Penganjuran program ini merupakan kesinambungan daripada mesyuarat Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak Kali Ke-2, Bil. 01/2024 bertarikh 25 Mei 2024 bersamaan 16 Zulkaedah 1445H yang telah dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Annuar bin Zaini yang merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.
“Dalam mesyuarat telah membincangkan pelbagai alternatif untuk mengoptimumkan sumber yang ada, termasuklah dalam bidang pertanian,” jelas beliau.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mengusahakan dan melaksanakan cadangan yang dibincangkan bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan,” ujarnya lagi.