Diterbitkan pada 12 September 2024, 21:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terus memantau secara rapat aktiviti ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Menurut Pengarah JAIS, YBhg. Dato’ Haji Mohd. Shahzihan Ahmad, pemantauan rapat ini berikutan wujudnya kaitan antara mereka dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’.

Istitabah yang diurus oleh JAIS pada 8 November 2013 tidak pernah membatalkan fatwa tentang kepercayaan dan amalan yang melibatkan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’,” jelas beliau dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, berhubung dengan isu GISBH yang sedang tular, pihaknya telah meneliti 19 video yang dimuat naik di media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS).

Tambah beliau,  penelitian dibuat bagi mengukuhkan lagi hasil siasatan sedia ada dan bagi mendapatkan keterangan daripada individu atau pihak lain bagi melengkapkan siasatan.

Beliau memaklumkan bahawa hasil serbuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas 18 buah premis pada 11 September 2024, pihaknya telah berbincang dengan pihak PDRM supaya barang rampasan yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli GISBH diserahkan kepada pihak JAIS untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7, 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Antara premis yang diserbu termasuklah Sekolah Rendah Islam yang berdaftar dengan JAIS, iaitu Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah yang didaftarkan pada Januari 2015 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Disember 2025,” maklumnya.

Menurut beliau, sekolah berkenaan terdiri daripada 12 orang guru dan kakitangan serta 104 orang pelajar lelaki dan perempuan yang menggunakan silibus JAIS.

Tambahnya, sepanjang pemantauan dibuat di sekolah tersebut pada 13 Januari 2023, 23 Mac 2023 dan 26 Julai 2024, tidak wujud sebarang penyelewengan yang dikesan.

Sebuah lagi sekolah yang diserbu ialah Maahad Tahfiz Wal Ulum al-Ghazaly yang didaftarkan pada 12 November 2014 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Disember tahun ini.

Beliau berkata, maahad ini terdiri daripada tiga orang kakitangan dan 54 orang pelajar lelaki dengan menggunakan kurikulum tahfiz sendiri.

Menurutnya, sebanyak lapan buah sekolah yang disyaki di bawah GISBH berdaftar dengan JAIS.

Beliau menjelaskan bahawa dua daripadanya telah menutup operasi secara sukarela, manakala dua lagi telah tamat pendaftaran dan satu sekolah ditarik pendaftaran, manakala baki masih lagi beroperasi hingga 2028.

Katanya, berikutan tindakan dan penemuan PDRM yang melibatkan sekolah yang berdaftar di bawah enakmen yang berkuatkuasa, JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sekolah terlibat mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1988.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi