Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – September bakal dijadikan sebagai Bulan Produk Halal tahunan mulai tahun hadapan.
Demikian antara ucapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Halal Negara, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Bengkel Transformasi Ekosistem Halal (TEH) 2024 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Beliau menyarankan pemain industri halal di Malaysia supaya tidak terlalu terbuka ketika berkongsi ilmu, strategi dan taktik pemasaran dengan negara lain.
“Hal ini bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai peneraju dalam pensijilan dan pengeluaran produk halal yang terkemuka di dunia,” jelas beliau.
Tambah beliau, perkongsian maklumat secara berlebihan berpotensi membolehkan negara lain meniru pendekatan Malaysia, sekali gus menjejaskan kedudukan negara ini sebagai peneraju produk halal yang dibina sejak tahun 1974.
Katanya, sebagai contoh, Malaysia dahulu merupakan negara peneraju perbankan Islam, tetapi terpaksa akur apabila jatuh ke kedudukan belakang berbanding dengan negara jiran kerana terlalu banyak berkongsi ilmu dan strategi.
Menurut beliau, sikap terlalu “baik hati” ketika berkongsi ilmu, teknologi dan pengetahuan perlu dikawal demi kepentingan negara.
Katanya, koordinasi antara pelbagai agensi, jabatan atau badan bukan kerajaan (NGO) perlu dipergiat bagi memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju bukan sahaja dalam pensijilan halal tetapi juga pengeluaran produk halal, termasuk perkhidmatan perbankan Islam.
“Niat dan tujuan kita baik, tetapi bagaimanakah penyelarasan dapat dilakukan supaya pemegang taruh tidak berada dalam keadaan keliru?
“Kita mesti mengelakkan situasi semua pihak mempunyai tujuan yang sama, tetapi bertindak dengan cara yang berbeza,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan kepentingan Malaysia mengekalkan kedudukan dalam industri halal memandangkan pensijilan negara diiktiraf secara meluas oleh negara Islam dan bukan Islam di seluruh dunia.
Katanya, pemain industri halal harus memanfaatkan peluang berdasarkan pasaran memberangsangkan bagi ekonomi halal global yang dijangka mencecah AS$5 trilion menjelang 2030 berbanding dengan AS$3 trilion pada tahun ini.
“Pasarannya besar tetapi eksport produk halal kita hanya berjumlah RM53.7 bilion, walaupun dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kita menyumbang 8.1 peratus untuk eksport produk halal, realitinya jumlah tersebut masih sangat kecil,” jelas beliau.
Beliau memaklumkan bahawa walaupun telah berkecimpung dalam industri halal selama hampir 50 tahun, negara masih belum mempunyai dasar halal yang kukuh.
Oleh itu, beliau menegaskan keperluan untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan inovasi halal, walaupun JAKIM telah memulakan usaha dalam bidang berkenaan.
Beliau turut mencadangkan agar pusat penyelidikan yang bakal ditubuhkan dapat menjemput kembali pakar yang sudah bersara, di samping pakar baharu untuk melakukan beberapa inovasi terhadap produk dan perkhidmatan halal.
Majlis perasmian bengkel ini turut disiarkan secara dalam talian melalui Halal Development Corporation (HDC) di https://www.youtube.com/live/G9xYv2fKQCw.