Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 23 September 2024, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jenjarom – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Universiti Putra Malaysia, Yayasan Dakwah Islam Malaysia dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor mengambil langkah proaktif dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai berkaitan dengan pengurusan pendaftaran keislaman melalui penganjuran Program Karnival Orang Asli dan Kempen Bulan Mualaf Negeri Selangor 2024 di Dewan Orang Ramai, Kampung Orang Asli Taman Desa Kemandol, Jenjarom, semalam.

Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi MAIS, YBhg. Dato’ Haji Emran Haji Kadir dengan tema pada kali ini “Melahirkan Mualaf yang Rabbani”.

Timbalan Pengerusi MAIS, YBhg. Dato’ Haji Emran Haji Kadir ketika menyampaikan ucapan perasmiannya dalam Program Karnival Orang Asli dan Kempen Bulan Mualaf Negeri Selangor 2024.

YBhg. Dato’ Haji Emran Haji Kadir berkata:

“Untuk menyantuni mualaf secara menyeluruh di negeri Selangor, MAIS telah menggunakan peraturan seperti Peraturan-peraturan Pendaftaran, Penjagaan dan Pengajaran bagi Mualaf (Negeri Selangor) 2009 yang dapat membantu mualaf dari segi pendaftaran, bantuan dan kebajikan, pendidikan sehinggalah pengurusan jenazah.”

Ujarnya, Kempen Bulan Mualaf Negeri Selangor 2024 dilaksanakan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang peri pentingnya pendaftaran keislaman.

Pelbagai kelebihan akan dinikmati oleh mualaf yang mendaftar keislaman mereka seperti bantuan kebajikan dan agihan zakat dapat disalurkan dengan baik, pembahagian harta pusaka dibuat kepada waris yang beragama Islam dengan lancar apabila meninggal dunia, pengurusan jenazah dapat disempurnakan mengikut syariat Islam, dan masyarakat juga tidak keliru dengan status agama individu tertentu.

Tambah beliau, sekiranya seseorang mualaf tidak mendaftarkan keislamannya, keadaan akan menjadi sulit apabila berlaku kematian dan pengurusan harta pusaka sangat sukar kerana kedudukan seseorang yang memeluk Islam sebagai tidak dapat disahkan.

“Selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Bahagian IX berkaitan dengan mereka yang memeluk agama Islam, MAIS bertanggungjawab terhadap proses pengislaman mualaf di negeri Selangor bermula daripada mengucap kalimah syahadah sehingga proses pendaftaran mualaf,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada orang ramai tentang kepentingan dokumen pengesahan diri seperti kad Islam dan maklumat pada kad pengenalan, di samping memastikan integriti dan keabsahan kuasa pendaftaran pengislaman.

Program ini menyasarkan sebanyak 1000 orang peserta yang terdiri daripada enam buah Kampung Orang Asli, iaitu Kampung Orang Asli Busut Baru, Kampung Orang Asli Bukit Cheding, Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Kampung Orang Asli Taman Desa Kemandol, Kampung Orang Asli Bukit Perah dan Kampung Orang Asli Bukit Kechil.

Program tersebut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf, MAIS, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah; Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Langat, YM Tengku Dato’ Mohamed Alhaj Tengku Harun; Setiausaha MAIS, YBrs. Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar; Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS, YBrs. Dr. Hajah Norzaihan Mohd Zain; Tok Batin dan komuniti Taman Desa Kemandul.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi