Diterbitkan pada 14 Ogos 2024, 18:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Mantan Mufti Negeri Sembilan, Sahibus Samahah (SS) Dato’ Mohd Yusof Ahmad meninggal dunia pada malam semalam di kediamannya di Taman Marida Senawang, Negeri Sembilan.

Jenazah Allahyarham telah dimandikan dan dikafankan di Masjid Taman Kariah Marida sebelum disolatkan di Masjid Negeri.

Solat jenazah diimamkan oleh Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar menzahirkan rasa dukacita apabila menerima berita pemergian Almarhum SS Dato’ Mohd Yusof.

“Saya mewakili seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Almarhum.

“Sesungguhnya Almarhum telah menyumbangkan jasa dan bakti kepada pengurusan fatwa dan pembangunan Islam di negara kita,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

“Semoga segala baktinya dicatat sebagai amal soleh,” ujarnya lagi.

Beliau turut mendoakan agar Almarhum diampuni serta dirahmati oleh Allah SWT.

Allahyarham SS Dato’ Mohd Yusof merupakan Mufti Negeri Sembilan Keempat yang dilantik pada 1 April 2009, setelah SS Dato’ Murtadza Ahmad.

Almarhum yang lahir pada 7 Februari 1945 ini meninggalkan seorang balu, Datin Pahariah Jamaludin dan enam orang anak berserta 20 orang cucu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Syeikh Haji Mohd Said, Sikamat, Negeri Sembilan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi