Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Umat Islam diingatkan agar memahami tujuan asal perkahwinan adalah untuk mendapatkan zuriat sebagai penyambung keturunan dan niat berkahwin adalah harus mengikut sunah Rasulullah SAW.
Kenyataan ini dinyatakan oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Mohd. Hapiz Mahaiyadin semasa menjadi panel program Suara Anjung dengan tajuk, “Keluarga Tanpa Anak, Pilihan atau Takdir?” anjuran Majalah Dewan Tamadun Islam yang berlangsung di Anjung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.
“Para ulama menyatakan bahawa mempunyai anak merupakan anugerah Allah dan bukanlah satu kewajipan, tetapi apabila adanya perkahwinan dan lahirnya anak, maka di situlah bermulanya kewajipan untuk memberikan nafkah merangkumi makanan, tempat tinggal dan pendidikan kepada anak tersebut.”

Beliau turut menjelaskan rumusan fatwa berkenaan hukum bagi pasangan yang tidak mahu memiliki anak menurut agama Islam.
Beliau memetik sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis yang sahih yang bermaksud, “Berkahwinlah kamu dengan pasangan yang subur, dan dapatkanlah anak.”
“Rasulullah SAW amat gembira dan berbangga pada hari kiamat kelak kerana mempunyai umat yang ramai berbanding kepada umat yang menjadi pengikut nabi dan rasul terdahulu.
“Jika kita berkahwin dan mempunyai anak, hal tersebut menjadi perkara yang sangat dicintai oleh Baginda Rasulullah SAW,” jelas beliau tentang galakan agama Islam kepada pasangan yang berkahwin untuk memiliki anak.
Menurut beliau, pasangan yang tidak mahukan zuriat menyalahi fitrah perkahwinan kerana dalam al-Quran ada menceritakan tentang sejarah kesungguhan doa Nabi Zakaria untuk mendapat zuriat walaupun ketika usianya telah lanjut.
Walau bagaimanapun, terdapat tiga hukum lain yang berkaitan dengan pasangan yang tidak mahukan anak, iaitu harus, makruh dan haram.
Hukum pertama, harus kepada pasangan yang membuat perancangan keluarga dan bersifat sementara atau faktor lain yang diharuskan syarak seperti masalah kesihatan.
Hukum kedua, makruh kepada pasangan yang sememangnya merancang untuk tidak memiliki anak sejak sebelum perkahwinan dengan tujuan ingin berseronok.
Hukum ketiga, haram kepada pasangan yang berusaha mengambil rawatan yang berkekalan sehingga menyebabkan sistem peranakan tidak boleh berfungsi secara langsung.

Program Suara Anjung ini turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Tuan Haji Zamri Zainal Abidin sebagai panel kedua dan Pensyarah Kuliyyah Pengajian Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Ahmad Akram Mahmad Robbi sebagai moderator, dan boleh ditonton menerusi terbitan media sosial DBP.