Diterbitkan pada 15 Julai 2024, 18:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) perlu dibuat dengan teliti dan mengambil kira pandangan semua pihak sama ada mahkamah syariah mahupun mahkamah sivil, termasuk pakar perundangan antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah di Malaysia di Dewan Damar Sari, Kompleks F Presint 1, Putrajaya, hari ini.

Menurut YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau telah mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku bekas Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Pengerusi MKI yang baharu, Sultan Nazrin Shah bagi meneruskan perbincangan mengenai pindaan RUU 355, dan tiada bantahan.

“Kedua-dua baginda bersetuju, tetapi kita mahu hal tersebut diteliti betul-betul kerana sebaik-baik dibentangkan, pindaan tersebut menjadi dokumen yang kukuh, disepakati oleh semua negeri, mufti dan para ulama.

“Saya juga telah meminta JAKIM untuk cuba menyelaraskan pandangan pakar perundangan Islam antarabangsa supaya dokumen ini boleh ditelaah oleh pakar antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, hal ini bukan untuk meremehkan usaha yang lalu, tetapi terdapat beberapa kelemahan besar dalam peruntukan tersebut yang bukan sahaja perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara tetapi juga harus dirujuk kepada pakar antarabangsa.

“Apabila perkenalkan, dokumen ini akan menjadi contoh pelaksanaan terbaik dalam usaha memartabatkan perundangan Islam, dan kemudian boleh dijadikan panduan serta diserasikan antara kedudukan dan kekuatan mahkamah syariah dengan mahkamah sivil.

“Di samping itu, perlu dilihat beberapa ciri peruntukan mahkamah sivil yang ternyata melanggar konsep perundangan Islam, jadi barulah kita katakan pengislaman yang sebenarnya,” katanya.

Selain itu, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan komitmen beliau untuk menyegerakan cadangan pelaksanaan Akta Saraan Hakim Syarii bagi memartabatkan status hakim mahkamah syariah di negara ini.

“Saya akan meminta YB Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im menyegerakan hal ini untuk kita angkat supaya ada Akta Saraan Hakim Syarii, supaya status hakim syarii dapat ditingkatkan,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Nai’m Mokhtar, dalam ucapan alu-aluannya berkata, agenda memartabatkan perundangan dan kehakiman di Malaysia menjadi tonggak penting kepada Pelan Transformasi al-Falah yang telah digerakkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai pelantar penambahbaikan pentadbiran hal ehwal Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Mohd Nai’m Mokhtar ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah di Malaysia di Dewan Damar Sari, Kompleks F Presint 1, Putrajaya.

“Antara usaha yang sedang giat dijalankan termasuklah penubuhan jawatankuasa khas mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam dan kuasa kehakiman syariah kebangsaan yang telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan kehakiman Malaysia sentiasa berusaha memperkukuh modal insan, khususnya dalam aspek latihan, kecekapan dan kepakaran para hakim syarii dan pegawai syariah yang menjadi teras penting dalam institusi kehakiman syariah,” katanya

Turut hadir dalam konvensyen tersebut ialah Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Ketua Hakim Mahkamah Syarii, Datuk Mohd Amran Mat Zain; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Datin Paduka Hajjah Hakimah Mohd Yusuff; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Pereskutuan (MAIWP),YBrs. Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi