Diterbitkan pada 19 Oktober 2022, 09:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah kelolaan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM Kuala Lumpur dan Unit Endowmen, UTM berjaya berkolaborasi dalam Program Infaq Al-Quran Pendidikan UTM-PIKU 2022. Hal ini memperlihatkan kepekaan UTM untuk memberikan manfaat kepada masyarakat setempat daripada segenap aspek seiring dengan entiti lain seperti PIKU.

“Sebanyak 560 unit al-Quran akan diedarkan kepada penerima yang terdiri daripada murid sekolah rendah agama (SRA) di sekitar Kuala Lumpur. Al-Quran yang dicetak dan diedarkan pada hari ini merupakan hasil sumbangan daripada korporat, perseorangan, dan warga UTM sendiri. Ini merupakan hasil daripada kempen infaq al-Quran fasa pertama yang diadakan oleh pihak UTM serta PIKU, dan sebagai makluman, UTM telah membuka sistem kutipan sumbangan (fund-raising) khas untuk kempen infaq al-Quran bagi fasa kedua dan seterusnya bagi membuka peluang kepada lebih banyak pihak menyumbang dan sekali gus lebih banyak sekolah dapat menerima manfaat. Sistem ini telah pun dibuka di laman web UTM, iaitu https://fundraising.utm.my/ bagi tujuan tersebut.”

Demikian menurut Pengarah Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM Kuala Lumpur, Yang Berbahagia Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Sheikh Ahmad Zaki Bin Shaikh Salim dalam ucapan perasmian beliau semasa Majlis Program Infaq Al-Quran Pendidikan UTM-PIKU 2022 bertempat di Megaview Banquet Deck, Menara Kuala Lumpur, kelmarin.

UTM  membuka sistem kutipan sumbangan khas untuk kempen infaq al-Quran.

Masyarakat umum yang ingin menyumbang dalam Program Infaq Al-Quran Pendidikan ini berpeluang mendapat pengecualian cukai pendapatan di bawah subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dalam majlis tersebut juga, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyatakan penghargaan beliau terhadap pihak penganjur Program Infaq Al-Quran Pendidikan yang dilihat sebagai usaha bagi membantu melengkapkan prasarana Al-Quran untuk tujuan pendidikan anak-anak di sekolah. Beliau turut menegaskan bahawa tentang kepentingan gabungan sinergi antara badan kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti PIKU dan institusi pendidikan seperti UTM.

Datuk Dr. Mohd Ghazali Md Noor menerima Anugerah Inspirasi Jaguh Infaq dan Wakaf Malaysia.

Pada hari tersebut juga, seorang tokoh dalam bidang wakaf telah diberi  Anugerah Inspirasi Jaguh Infaq dan Wakaf Malaysia. Anugerah itu diberikan kepada Presiden Majlis Permuafakatan Wakaf Antarabangsa (i-Waqf), Yang Berbahagia Datuk Dr. Mohd Ghazali Md Noor. Dalam ucapan inspirasi beliau, beliau menyatakan bahawa wakaf telah mendapat suatu suntikan motivasi dari al-Quran dalam membina tujuh peradaban dan tamadun Islam dalam sejarah dunia. Maka itu, generasi Melayu Islam perlu bangkit menyambung usaha membina peradaban kelapan. Menurut beliau, generasi hari ini perlu sedar bahawa sosioekonomi negara hari ini masih tidak dapat dibanggakan dan hal ini sangat ketara pada fasa pascapandemik COVID-19.

Majlis Program Infaq Al-Quran Pendidikan UTM-PIKU 2022 yang diadakan di Menara Kuala Lumpur tersebut telah dihadiri oleh lebih 80 jemputan yang terdiri daripada guru-guru SRA di sekitar Kuala Lumpur dan diserikan dengan persembahan taranum Al-Quran dan alunan azan oleh murid sekolah. Jemputan kehormat lain yang hadir adalah Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Tuan Haji Mohd Fadzil Abu Kasim, Pengarah Unit Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Yusof bin Boon, Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Puan Ainol Shaharina Sahar, dan Ketua Pegawai Operasi Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU), Encik Mohd Razif Bin Arshad.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi