Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan agar semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mengadakan bacaan doa qunut nazilah semasa solat subuh, solat Jumaat dan solat sunat witir sepanjang bulan Ramadan bermula pada malam ini.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataannya berkata, saranan itu dibuat susulan daripada saranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mencadangkan bacaan doa tersebut bagi mendoakan kesejahteraan dan keamanan di bumi Palestin khususnya dan negara Malaysia amnya. Hal tersebut berikutan tragedi pencerobohan yang berterusan ke atas Masjidilaqsa.
“Sesungguhnya doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT pada bulan Ramadan yang mulia merupakan lambang solidariti berpanjangan umat Islam untuk perjuangan rakyat Palestin,” katanya.