Diterbitkan pada 23 Julai 2026, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Pusat Penyelidikan Asnaf Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) ‒ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merupakan satu inisiatif yang amat signifikan bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan berkaitan dengan pembangunan asnaf.

“Pusat ini bukan sahaja berperanan sebagai pusat pengumpulan data dan penghasilan ilmu, malah menjadi platform strategik untuk merangka penyelesaian lebih berkesan, berimpak tinggi dan berasaskan bukti dalam usaha memperkasakan golongan asnaf,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan majlis prapelancaran Pusat Penyelidikan Asnaf FCoEE–MAIPs dan peluncuran buku prosiding International Conference on Holistic Opportunities for Proverty Empowerment (ICOHOPE) Jilid 1, 2 dan 3 serta buku Memahami Aspirasi Pendidikan Tinggi Anak-anak Asnaf dan penganugerahan Geran Penyelidikan FCoEE Fasa 3 tahun 2026, di sini, semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, pengurusan zakat dan pembangunan asnaf kini memerlukan pendekatan lebih inovatif dan bersepadu.

“Penyelidikan berkualiti akan membantu pihak berkepentingan memahami cabaran sebenar yang dihadapi oleh asnaf, seterusnya merangka dasar, program dan intervensi yang mampu meningkatkan taraf kehidupan mereka secara mampan,” titah baginda.

Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Pusat Penyelidikan Asnaf Faizuddin Centre of Educational Excellence Fasa 3 tahun 2026 di Kangar, semalam.

Pada masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, geran penyelidikan bukan sekadar bantuan kewangan, bahkan merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan ilmu dan inovasi.

“Melalui geran ini, lebih banyak kajian berkualiti dapat dilaksanakan bagi menghasilkan dapatan yang mampu memberikan manfaat terhadap masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan,” titah baginda.

Baginda menzahirkan harapan agar setiap geran yang disalurkan dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi, serta menyumbang kepada penggubalan dasar yang lebih berkesan demi kesejahteraan ummah.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif FCoEE, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi