Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Inovasi Iqra’ Learning Quran by Symbol (Iqra’ LQS) diperkenalkan sebagai pendekatan baharu dalam pengajaran al-Quran bagi membantu murid menguasai bacaan al-Quran secara bertajwid dengan lebih mudah, berkesan dan sistematik.
Penyusun Modul Inovasi Iqra’ LQS merangkap Pensyarah Huffaz Profesional Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Ustaz Muhammad Asyraf Saifuddin berkata, inovasi tersebut dibangunkan dengan mengekalkan asas kaedah Iqra’ sedia ada yang telah digunakan secara meluas oleh guru-guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut beliau, sebanyak 80 peratus kandungan Iqra’ asal dikekalkan, manakala penambahbaikan sebanyak 20 peratus melibatkan aspek arahan pembelajaran serta pengenalan simbol Rasm Uthmani bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran al-Quran.
“Inovasi ini bertujuan untuk membantu pembaca menguasai bacaan al-Quran dengan tajwid yang betul dalam tempoh yang lebih singkat tanpa mengubah kandungan asal kaedah Iqra’,” katanya.
“Dengan peruntukan masa sekurang-kurangnya dua jam seminggu sekali di sekolah, pelajar disasarkan mampu menguasai bacaan al-Quran secara bertajwid dalam tempoh enam bulan, bergantung pada tahap dan kesungguhan pembelajaran masing-masing,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Webinar: Seminar Pengajaran Iqra’ Berimpak Tinggi anjuran Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dengan kerjasama PEKDIS Cawangan Putrajaya yang disertai oleh hampir 400 orang peserta.
Webinar tersebut disiarkan secara langsung menerusi platform Google Meet, YouTube dan Facebook bagi memperkasakan kompetensi guru untuk mengaplikasikan kaedah pengajaran Iqra’ yang lebih berimpak.
Ustaz Asyraf turut memaklumkan bahawa Iqra’ LQS sesuai digunakan oleh pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa yang belum mempunyai asas mengaji, selain mereka yang telah membaca al-Quran tetapi ingin memperkukuh penguasaan tajwid.
“Walau bagaimanapun, kaedah pengajaran bagi setiap golongan adalah berbeza mengikut peringkat umur masing-masing,” jelas beliau.
Pada masa yang sama, Ustaz Asyraf yang juga pemegang tauliah mengajar Iqra’ KPM daripada Darul Fikir turut berkongsi sejarah perkembangan kaedah Iqra’ di Malaysia sehingga diterima sebagai satu daripada pendekatan pembelajaran al-Quran dalam sistem pendidikan negara.