Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh — Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada sekolah pondok dan institusi pendidikan agama di Perak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk terus memperkukuh pembangunan pendidikan Islam di negara ini.
Kerajaan telah meluluskan peruntukan RM15 juta bagi sekolah-sekolah pondok di Perak yang masih memerlukan bantuan. Peruntukan ini termasuklah usaha menaik taraf kemudahan serta menyokong keperluan pelajar dan tenaga pengajar.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan dan menyampaikan amanat khas pada Majlis Perasmian Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Perak (HIPSA) 2026 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Ummah, Chemor, semalam.
Beliau menyatakan bahawa peruntukan tersebut disalurkan khusus kepada sekolah-sekolah pondok yang sebelum ini telah menerima bantuan, merangkumi institusi yang memerlukan sokongan tambahan bagi menambah baik kemudahan sedia ada.
Menurut Perdana Menteri, langkah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan institusi pendidikan agama terus berdaya saing, bukan sahaja dari segi pengajian tradisional, malah selari dengan keperluan semasa termasuklah penerapan teknologi dan kemahiran baharu.
Pada masa yang sama, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM300,000 kepada SABK Maahad Al-Ummah, Chemor, melebihi jumlah permohonan asal sebanyak RM200,000 sebagai tanda sokongan terhadap peranan institusi tersebut dalam melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.
“Untuk Maahad Al-Ummah ini, permohonan adalah RM200,000, tetapi saya luluskan RM300,000 sebagai tanda sokongan terhadap usaha dan sumbangan institusi ini dalam mendidik generasi muda,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pembangunan pendidikan agama merupakan antara keutamaan kerajaan dalam kerangka Malaysia MADANI, yang menitikberatkan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dengan pembinaan nilai, akhlak serta jati diri masyarakat.
Menurut beliau, institusi pondok dan sekolah agama memainkan peranan penting sebagai benteng pertahanan akidah, ilmu serta tradisi keilmuan Islam, terutamanya dalam menghadapi cabaran globalisasi dan pengaruh luar.
“Dalam sejarah, ketika sistem lain tunduk kepada pengaruh penjajah, institusi pondok kekal sebagai benteng untuk mempertahankan ilmu dan akidah umat, justeru peranan ini perlu terus diperkasakan oleh pelbagai pihak,” jelas beliau.
Beliau turut menyeru pengurusan sekolah pondok dan institusi agama agar terus berinovasi dengan menggabungkan pendekatan tradisional dan moden, termasuk penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran.
Selain itu, kata beliau, kerajaan juga akan meneruskan inisiatif transformasi digital institusi pendidikan Islam yang telah dilancarkan sebelum ini bagi memastikan pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Jika ekonomi negara terus kukuh, kerajaan komited untuk meningkatkan lagi peruntukan dan memartabatkan sekolah pondok serta institusi pendidikan agama di seluruh negara,” ujarnya.