Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIlmu merupakan asas yang membentuk kekuatan umat dan menentukan arah pembinaan sesuatu peradaban.
Firman Allah SWT:
![]()
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).”
(Surah al-‘Alaq 96:1)
Ayat ini merupakan wahyu pertama daripada 6236 ayat al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sewaktu Baginda sedang beruzlah di Gua Hira’. Pemilihan perkataan iqra’ membuktikan bahawa Islam meletakkan ilmu sebagai titik permulaan bagi pembangunan umat. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.”
(Surah al-‘Alaq 96:3–5)
Ayat ini menjelaskan bahawa ilmu merupakan anugerah besar daripada Allah SWT kepada manusia. Pemilihan perkataan “pena” pula menekankan peranan penting penulisan sebagai wasilah penyebaran, pemeliharaan dan pewarisan khazanah ilmu daripada satu generasi kepada generasi yang lain.
Peristiwa di Gua Hira’ ini menjadi detik penting dalam sejarah. Dengan ilmu, masyarakat yang dahulunya mundur berjaya bangkit menjadi umat yang bertamadun dan dihormati dunia.
Kedudukan ilmu dalam Islam bukan sekadar pada tuntutan mencarinya, tetapi juga pada kemuliaan orang yang menguasainya. Orang yang beriman dan berilmu diangkat oleh Allah SWT pada darjat yang tinggi sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya: “… Allah meninggikan orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat … .”
(Surah al-Mujadalah 58:11)
Apabila ilmu dihargai dan dijadikan budaya hidup, lahirlah masyarakat yang berfikiran matang, berakhlak dan berwawasan.
Semangat iqra’ ini telah menyuburkan tradisi keilmuan sehingga memandu tamadun Islam menuju zaman keemasan. Hasilnya, lahir sarjana agung seperti Ibn Sina (w. 427H) menerusi penulisan kitab beliau, al-Qanun fi al-Tibb yang menjadi rujukan utama dunia perubatan Barat selama berabad-abad. Begitu juga dengan al-Khawarizmi (w. 232H), pengasas sistem algebra yang mengubah landskap matematik moden, serta al-Biruni (w. 440H), sarjana genius yang merintis bidang astronomi sehingga beliau berjaya mengira paksi dan lilitan bumi.
Kejayaan mereka merupakan manifestasi penguasaan ilmu yang mampu mengangkat martabat umat Islam sehingga menjadi rujukan dunia pada suatu ketika dahulu. Persoalannya, adakah semangat yang sama masih wujud dalam masyarakat kita pada hari ini?
Dalam usaha membina masa hadapan yang gemilang, Islam tidak pernah memisahkan antara ilmu duniawi dengan ilmu agama. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, maka Allah akan memberi dia kefahaman (ilmu) dalam urusan agama.”
(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 71)
Berdasarkan hadis ini, antara kebaikan terbesar bagi seseorang termasuklah apabila hatinya dibukakan untuk memahami agama. Kefahaman tersebut melahirkan insan yang amanah, berintegriti dan bertakwa kepada Allah SWT. Apabila masyarakat dikelilingi insan sebegini, maka terbinalah sebuah tamadun yang harmoni dan diredai-Nya. Hal ini turut diungkapkan melalui firman Allah SWT:

Maksudnya: “… Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu … .”
(Surah Fatir 35:28)
Ilmu yang benar akan melahirkan rasa takut kepada Allah SWT. Semakin bertambah ilmu seseorang, semakin tunduk rasa rendah dirinya, semakin mulia akhlaknya dan semakin berhati-hati dalam setiap tindakannya.
Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Tinta Mufti Bil. 71 Tahun 2026: Padah Malas Membaca, Minda Akan Terpenjara, mengingatkan bahawa budaya membaca yang lemah menyebabkan masyarakat kehilangan keupayaan berfikir secara kritis dan mudah dipengaruhi oleh pelbagai bentuk kekeliruan. Sehubungan dengan itu, perintah iqra’ bukan sekadar mengajak kita membaca, bahkan mendidik kita agar menuntut ilmu yang sahih, menilai maklumat dengan cermat dan membezakan antara kebenaran dengan kebatilan.
Usaha menyuburkan semula budaya ilmu ini mesti digerakkan dari rumah. Didiklah anak supaya mencintai buku, menghormati para guru dan memuliakan majlis ilmu. Imarahkanlah masjid bukan hanya untuk solat lima waktu, tetapi sebagai pusat revolusi intelek dan pembinaan insan.
Pembinaan peradaban tidak terletak pada bahu pemimpin atau golongan ilmuwan semata-mata. Agenda besar ini menuntut pelibatan setiap lapisan masyarakat. Kebangkitan umat Islam bermula apabila ilmu kembali diletakkan pada tempat yang tertinggi, adab dijunjung dan pendidikan menjadi matlamat utama dalam masyarakat. Tindakan sedemikian akan melahirkan generasi yang berakhlak, berintegriti, dan seterusnya mampu membina peradaban yang gemilang.
Sebagai kesimpulan, terdapat tiga perkara penting untuk kita hayati bersama:
Pertama: Ilmu ialah asas pembinaan peradaban. Jadikan ilmu sebagai teras kehidupan demi membina masyarakat yang matang dan disegani.
Kedua: Ilmu mesti dipandu oleh iman dan akhlak. Tanpa adab dan rasa takut kepada Allah SWT, ilmu berupaya disalahgunakan sehingga membawa kepada kerosakan.
Ketiga: Semangat iqra’ perlu diterjemahkan dalam kehidupan. Budayakan amalan membaca dan menuntut ilmu. Jadikan keluarga dan masjid sebagai medan penyuburan ilmu.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 10 Julai 2026, bertajuk “Iqra’ Bukan Sekadar Membaca”.