Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuharam diisytiharkan sebagai Bulan Falak Malaysia atau Bulan Falak Kebangsaan bermula pada tahun 2021 (1443 Hijrah). Perisytiharan ini bertujuan untuk memartabatkan, menghayati dan menyebarkan ilmu falak secara meluas kepada masyarakat Islam.
Ahli falak Islam yang tersohor, Abu Raihan al-Biruni (w. 440H) mentakrifkan ilmu falak sebagai ilmu yang mengkaji pergerakan cakerawala seperti matahari, bulan dan bintang untuk memahami hakikat serta rahsia alam semesta melalui kaedah pengiraan dan pemerhatian. Ilmu ini bukan sekadar membincangkan fenomena astronomi, malah menjadi medan untuk manusia mengenali kebesaran dan kekuasaan Allah SWT melalui ciptaan-Nya yang tersusun dengan begitu sempurna.
Apabila manusia memerhatikan matahari yang terbit pada setiap pagi, bulan yang berubah fasa, serta bintang yang menghiasi langit pada waktu malam, dia akan menyedari bahawa seluruh alam semesta bergerak mengikut aturan yang sangat teliti dan tidak pernah menyimpang daripada ketetapan Allah SWT. Semua fenomena ini menjadi bukti nyata terhadap kebesaran, kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT yang mentadbir alam semesta.
Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan jangan pula kepada bulan, tetapi sujudlah kepada Allah yang menciptakannya, jika benar kamu hanya beribadah kepada-Nya.” (Surah Fussilat 41:37).
Pergerakan matahari, bulan dan bintang yang berlaku secara teratur mengikut ketentuan Allah SWT membuktikan kebesaran, kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya. Perbuatan merenung, berfikir dan menyelami pergerakan cakerawala mampu meningkatkan keinsafan serta penghayatan terhadap kebesaran Ilahi dan kesempurnaan ciptaan-Nya.
Apabila seseorang memandang ke langit pada malam yang cerah, dia akan menyedari betapa kecil dirinya di tengah-tengah alam ciptaan Allah SWT yang begitu luas. Kesedaran ini melahirkan sifat tawaduk, keinsafan dan pengabdian kepada Allah SWT.
Terdapat sebuah hadis yang sering dinukilkan berkaitan dengan galakan memerhatikan alam. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sebaik-baik hamba Allah ialah golongan yang memerhatikan (perjalanan) matahari, bulan, bintang dan bayang-bayang untuk mengingati Allah.” (Hadis riwayat al-Baihaqi).
Ilmu falak menghubungkan pemerhatian terhadap alam semesta dengan pelaksanaan ibadah, perkembangan sains dan keperluan kehidupan manusia. Dalam tradisi Islam, ilmu falak bukan sekadar mengkaji bintang dan cakerawala, bahkan merupakan satu daripada cabang ilmu fardu kifayah yang sangat penting kerana membantu umat Islam melaksanakan ibadah dengan tepat, mengembangkan tamadun ilmu, serta menghayati kebesaran Allah SWT melalui pemerhatian terhadap alam ciptaan-Nya.
Ilmu falak merangkumi ibadah, pembangunan ilmu, teknologi dan ketamadunan. Antara faedah utama ilmu falak dalam kehidupan manusia termasuklah:
1. Menjamin Ketepatan Waktu Ibadah
Ilmu falak digunakan untuk menentukan waktu solat, waktu imsak dan waktu berbuka puasa dengan tepat. Selain itu, ilmu ini menjadi asas dalam penentuan permulaan bulan Hijrah, termasuk penetapan tarikh ibadah seperti Ramadan, Aidilfitri, Aidiladha dan musim ibadah haji.
2. Memelihara Keseragaman Amalan Ibadah Umat Islam
Penggunaan kaedah falak membantu penyelarasan takwim Hijrah dan penentuan tarikh ibadah secara lebih sistematik. Keseragaman ini memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah mengikut ketetapan yang sama serta mengelakkan kekeliruan dalam penentuan hari-hari kebesaran Islam.
3. Menentukan Arah Kiblat
Melalui pengiraan astronomi yang tepat, arah kiblat dapat ditentukan di mana-mana lokasi di dunia. Ketepatan ini memastikan umat Islam dapat menunaikan solat dengan lebih yakin dan sempurna.
4. Mengukuhkan Keimanan kepada Allah SWT
Pemerhatian terhadap pergerakan matahari, bulan dan bintang memperlihatkan keagungan, ketelitian serta kebijaksanaan Allah SWT dalam mentadbir alam semesta. Kesedaran ini mendorong manusia bertafakur, mensyukuri nikmat-Nya dan mengukuhkan keimanan kepada Allah SWT. Hal ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang yang berakal.”
(Surah Ali ‘Imran 3:190).
5. Melindungi Ummah daripada Amalan Khurafat dan Tahayul
Ilmu falak menjadi benteng yang melindungi umat Islam daripada kepercayaan khurafat dan tahayul. Fenomena alam seperti gerhana matahari dan gerhana bulan dapat dijelaskan secara ilmiah berdasarkan sunnatullah atau hukum alam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW juga mengajar umatnya supaya menghadapi peristiwa gerhana dengan menunaikan Solat Gerhana serta mengambil iktibar daripada kebesaran Allah SWT.
6. Menyumbang kepada Perkembangan Sains dan Teknologi
Ilmu falak menjadi asas kepada perkembangan pelbagai disiplin ilmu seperti astronomi, matematik, fizik, pelayaran, pandu arah, ilmu alam, penerokaan angkasa dan teknologi satelit. Kemajuan dalam bidang ini memberikan banyak manfaat terhadap pembangunan tamadun manusia.
7. Melahirkan Masyarakat yang Mencintai Ilmu
Ilmu falak mendorong minat terhadap penyelidikan, pemerhatian dan perkembangan pemikiran, selaras dengan tuntutan Islam supaya manusia mengkaji tanda-tanda kebesaran Ilahi di alam semesta.
Sesungguhnya ilmu falak ialah ilmu yang menggabungkan wahyu dan akal, ibadah dan sains, serta keimanan dan kemajuan. Manfaatnya bukan sahaja memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan tepat, malah menjadi pemangkin kepada perkembangan tamadun, inovasi berasaskan sains dan kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, penguasaan ilmu falak sewajarnya diberikan perhatian sebagai satu bidang fardu kifayah yang perlu diperkasakan demi kepentingan agama, negara dan umat manusia.
Semoga usaha memperkasakan ilmu falak akan melahirkan generasi Muslim yang menguasai ilmu pengetahuan, mampu menghubungkan kemajuan sains dengan pengabdian kepada Allah SWT, serta menjadikan pemerhatian terhadap alam semesta sebagai jalan untuk meningkatkan keimanan, mensyukuri nikmat-Nya dan memperkukuhkan keyakinan bahawa seluruh alam ini berada di bawah tadbir dan kekuasaan Allah Yang Maha Esa.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 3 Julai 2026, bertajuk “Menyelami Ilmu Falak, Menginsafi Kebesaran Ilahi”.