Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMenara gading sering kali diromantiskan sebagai fasa keemasan dalam kehidupan anak muda. Namun begitu, realiti di sebalik dewan kuliah, bilik tutorial dan asrama menceritakan naratif yang berbeza.
Hari ini, kita menyaksikan keadaan lesu upaya, kemurungan dan kebimbangan melampau dalam kalangan mahasiswa. Tekanan untuk mengekalkan keputusan dan nilai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang cemerlang, persaingan gaya hidup dalam media sosial, serta kegusaran tentang masa hadapan dan alam pekerjaan menyebabkan banyak pelajar terjerumus dalam krisis keterasingan.
Walaupun terdapat perkhidmatan kaunseling yang disediakan di kampus, kita perlu menyedari bahawa penyelesaian material semata-mata tidak mencukupi. Nilai roh perlu dikembalikan ke dalam jasad pendidikan. Untuk merawat mahasiswa, kita perlu menginsankan hati dan akal mereka melalui pendekatan tasawuf agar paksi kehidupan kembali terbina pada landasan spiritual yang utuh.
Kajian psikologi dan kesihatan mental kebiasaannya mengaitkan tekanan mental mahasiswa dengan pelbagai faktor, antaranya termasuklah tekanan akademik, masalah kewangan, konflik keluarga atau hubungan sosial, ketidakpastian masa hadapan, bebanan emosi, serta masalah kesihatan fizikal dan mental yang sedia ada.
Dari perspektif kerohanian Islam, satu daripada faktor yang boleh menyumbang kepada tekanan mental dalam kalangan mahasiswa ialah niat yang tidak selari dengan tujuan hidup yang sebenar. Dalam Islam, pembetulan niat penting kerana niat membentuk cara seseorang menghadapi cabaran, tekanan dan ujian kehidupan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan sesungguhnya setiap orang akan memperoleh apa-apa yang diniatkannya … .” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1). Hadis ini memecahkan sistem nilai material dan nilai duniawi yang sering mengukur kejayaan melalui hasil dan natijahnya seperti Purata Nilai Gred (GPA) dan status pekerjaan. Sebaliknya, Islam meletakkan nilai mutlak pada titik permulaan, iaitu niat dalam hati.
Apabila ilmu dicari semata-mata untuk mendapatkan segulung ijazah demi status sosial, kekayaan material atau keghairahan untuk menandingi rakan sepengajian, hati akan cepat menjadi lelah. Kegagalan mencapai standard duniawi ini akan mengakibatkan pelajar cenderung untuk berasa tidak berguna, cepat berputus asa dan mengalami kemurungan.
Dari lensa tasawuf, proses merawat hati mahasiswa bermula dengan tindakan memperbaharu niat. Pendidikan harus dikembalikan kepada sifat asalnya, iaitu sebagai suatu bentuk ibadah dan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.
Para sarjana Islam turut menegaskan bahawa setiap tutur bicara, perilaku dan amal perbuatan perlu diniatkan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. Apabila seseorang pelajar mematerikan niat bahawa proses pembelajarannya untuk memperbaik diri dan berbakti kepada ummah, maka setiap keputusan peperiksaan tidak lagi dilihat sebagai penentu mutlak harga dirinya, sebaliknya sebagai satu titik muhasabah.
Apabila nilai diri disandarkan kepada pencapaian akademik semata-mata, kegagalan menjadi suatu kehancuran. Akan tetapi, apabila nilai diri disandarkan kepada Allah SWT, kegagalan hanyalah suatu proses tarbiah.
Kebimbangan yang berlebihan terhadap masa hadapan merupakan antara cabaran utama yang menjejaskan kesihatan mental mahasiswa. Fikiran mereka sering dihimpit persoalan tentang hutang pengajian, peluang pekerjaan dan ketidakpastian masa hadapan. Apabila persoalan ini terus menguasai pemikiran, hati menjadi resah dan jiwa kehilangan ketenangan. Dalam kerangka tasawuf, keadaan ini menuntut pengukuhan keyakinan terhadap qadak dan qadar Allah SWT agar manusia tidak terbelenggu oleh perkara yang berada di luar kemampuan dan kawalannya.
Penerapan nilai tasawuf dalam pembentukan akal mahasiswa bermakna melatih kognitif pelajar dengan sifat tawakal dan sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT. Tasawuf tidak mengajar pelajar menjadi pasif atau malas berusaha, sebaliknya mengajar seni melepaskan kawalan terhadap perkara yang berada di luar batasan manusia.
Mahasiswa dididik untuk memberikan usaha yang paling maksimum di dewan kuliah, namun meletakkan hasil akhirnya pada tangan Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Pengatur. Kesedaran ini membebaskan akal seseorang daripada bebanan untuk cuba mengawal masa hadapan, lantas menyuntik ketenangan yang luar biasa.
Selain itu, implikasi daripada penggunaan media sosial sering kali mencetuskan perasaan rendah diri apabila mahasiswa membandingkan kehidupan mereka yang serba kekurangan dengan gaya hidup mewah rakan lain. Hasad dengki dan perasaan tidak puas hati membarah dalam diam sehingga memakan diri sendiri.
Pendekatan tasawuf merawat barah ini melalui sifat qanaah, iaitu berasa cukup dan reda dengan apa-apa yang dimiliki. Dengan mengamalkan muraqabah, yakni kesedaran bahawa Tuhan sentiasa memerhati dan menemani, mahasiswa tidak akan berasa sunyi walaupun jauh dari keluarga. Mereka belajar mencari bahagia bukan pada validasi manusia mahupun jumlah suka dan capaian dalam media sosial, tetapi pada kedamaian jiwa yang bertaut dengan Pencipta Yang Maha Esa.
Institusi universiti tidak seharusnya berfungsi sekadar sebagai kilang pengeluar tenaga kerja, tetapi sebagai taman yang menyemai insan sejahtera dan insan kamil yang seimbang intelek, emosi dan rohaninya; juga seimbang duniawi dan ukhrawinya. Integrasi antara rawatan psikologi moden di pusat kaunseling dan rawatan spiritual melalui manhaj tasawuf ialah formula ampuh untuk menyelamatkan generasi ini daripada kecelaruan dunia.
Mahasiswa yang hati dan akalnya dibentuk melalui nilai tasawuf mungkin tetap merasai kepenatan fizikal ketika menyiapkan tugasan, namun jiwa mereka tidak akan mudah hancur. Mereka menjadi individu yang mempunyai daya tahan yang tinggi, serta bersedia menavigasi apa-apa juga badai cabaran bukan sahaja di kampus, bahkan dalam kehidupan realiti kelak.
Penulis merupakan Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia.