Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Maal Hijrah bukan sekadar memperingati satu tarikh baharu dalam takwim, atau nostalgia ke atas peristiwa hijrah yang telah berlaku, tetapi sambutannya hendaklah menjadi medan umat Islam bermuhasabah terhadap perjalanan hidup dan kesilapan lalu.
Perkara tersebut ditekankan menerusi titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfur-Lah ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H dengan tema “Madani Dihayati, Ummah Diberkati” di Masjid Putra pada Rabu.
Titah baginda, umat Islam hendaklah mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaik supaya tidak berada dalam keadaan yang terlalu selesa, selain kesedaran mengingatkan manusia tentang sifat alpanya akibat gelombang kehidupan duniawi semasa.
Selain itu, baginda bertitah semangat pengorbanan, kepimpinan berwawasan, perpaduan ummah dan tawakal merupakan pedoman utama umat melahirkan umat yang cemerlang pada masa hadapan.
“Hijrah mengajar kita bahawa tiada kemajuan akan tercapai tanpa keberanian untuk berubah.
“Pengorbanan tidak sekadar reda hilang sesuatu yang kita sayangi, tetapi kesanggupan meletakkan kepentingan yang lebih besar mengatasi kepentingan diri sendiri, “ titah baginda.
Baginda turut bertitah, pengertian kepada semangat pengorbanan hari ini kelihatan semakin kabur dalam kalangan ummah dan menjadi perkara yang malang kepada bangsa apabila perkara tersebut hanya bersifat retorik.
“(Betapa) pentingnya seseorang pemimpin bersifat tenang, terbuka, serta berhati-hati melakukan pertimbangan berasaskan maklumat yang cukup ketika membuat sesuatu keputusan yang penting.
“Kejayaan sesebuah negara amat bergantung pada kesediaan rakyatnya untuk bekerjasama, saling menghormati dan hidup dalam suasana harmoni walaupun terdapat perbezaan latar belakang kaum, budaya dan agama,” titahnya.
Baginda bertitah lagi, tawakal merupakan sumber kekuatan rohani yang menjadikan seseorang lebih tenang, tabah, yakin dan berdaya tahan tatkala menghadapi cabaran kehidupan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan dalam sembah ucapan alu-aluannya berkata, perubahan sosial mesti bermula dengan transformasi dalaman manusia merangkumi dimensi akal, rohani dan akhlak.
“Apabila aspek perpaduan umat ini berjaya dipertingkat, barulah agenda memartabatkan syiar Islam mampu digerakkan dengan lebih berkesan.
“Takdir kepelbagaian yang melatari demografi negara kita, suka atau tidak, Malaysia ialah sebuah negara majmuk, justeru Sahifah Madinah yang digagaskan oleh Rasulullah SAW selepas peristiwa hijrah merupakan contoh agung pembinaan sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kabilah dan agama,” katanya.
Menurut beliau, dalam konteks Malaysia, semangat ini diistilahkan sebagai “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan” yang memandu dan memacu hubungan antara kaum dan agama.
Beliau turut menyeru masyarakat agar merapatkan saf, memadamkan api permusuhan, menumpukan perkara yang menyatukan dan terus memberikan dukungan kepada usaha kerajaan mengangkat martabat umat Islam bagi memastikan syiar Islam terus mekar dan subur di bumi Malaysia.
“Kesatuan masyarakat akan melahirkan limpahan rahmat bagi semua anggotanya.
“Sebaliknya, perpecahan dan keretakan hubungan hanya akan mengundang bencana,” ujarnya.