Diterbitkan pada 17 Jun 2026, 22:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, institusi pendidikan Islam perlu terus diperkasakan bagi melahirkan generasi yang seimbang dari sudut intelektual, rohani dan akhlak untuk mendepani cabaran dunia masa ini.

Baginda menegaskan bahawa usaha membina modal insan berkualiti hendaklah berteraskan ilmu, adab, serta nilai Islam yang sebenar demi menjamin masa hadapan masyarakat dan negara.

“Saya menyeru seluruh lapisan masyarakat agar terus berganding bahu menyokong pembangunan pendidikan Islam demi masa depan anak-anak serta kesejahteraan negeri yang kita kasihi ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Dewan Filantropi Islam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiah (MADI), Kampung Jejawi Dalam, baru-baru ini.

Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Waris Kedua Negeri Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Berangkat sama ialah YAM Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan YAM Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, kemajuan sesebuah negeri tidak boleh diukur melalui pembangunan infrastruktur dan ekonomi semata-mata, sebaliknya turut bergantung pada kekuatan ilmu, keutuhan akhlak serta perpaduan rakyat.

“Saya berharap agar MADI akan terus menjadi pusat kecemerlangan ilmu serta wadah penyatuan masyarakat dalam membentuk generasi muda yang mencintai agama, bangsa dan tanah air,” titah baginda.

Titah baginda, perasmian dewan baharu tersebut bukan sekadar simbol pembangunan fizikal, malah mencerminkan iltizam dan kesungguhan semua pihak bagi menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif dan berkualiti demi manfaat warga MADI.

“Saya berharap agar kemudahan yang dibangunkan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi pelaksanaan program ilmu, pembangunan insan dan aktiviti kemasyarakatan yang mampu memperkukuh ukhuwah serta menyemarakkan syiar Islam di negeri Perlis,” titah baginda.

Pada majlis berkenaan, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyempurnakan simbolik pengurniaan sumbangan peruntukan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis kepada institusi pendidikan Islam negeri Perlis bagi tahun ini berjumlah RM6.203 juta.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi