Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKekeliruan tentang hubungan antara peristiwa hijrah dengan takwim Hijrah sering timbul apabila masyarakat menyamakan kedua-duanya, sedangkan masing-masing mempunyai latar sejarah dan fungsi yang berbeza-beza.
Sebagaimana yang disepakati oleh para sahabat r.a., penentuan tarikh tidak bermula daripada kelahiran atau kewafatan Nabi Muhammad SAW, sebaliknya bermula daripada peristiwa hijrah Baginda ke Madinah.
Hal ini seperti yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa‘d r.a. yang bermaksud, “Para sahabat tidak menghitung tarikh bermula daripada pengutusan Nabi SAW atau kewafatan Baginda, tetapi mereka menghitung bermula daripada kedatangan Baginda ke Madinah.” (Riwayat al-Bukhari, no. 3934).
Dalam riwayat al-Hakim daripada Sa‘id bin al-Musayyib, dinyatakan bahawa Sayidina ‘Ali r.a. mencadangkan agar permulaan takwim Islam dimulakan dengan peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW, iaitu ketika Baginda SAW meninggalkan bumi Makkah yang penuh dengan kesyirikan menuju ke Madinah al-Munawwarah. Cadangan ini kemudiannya diterima oleh Sayidina ‘Umar r.a., lalu beliau melaksanakannya sebagai asas kepada sistem penentuan tarikh bagi takwim umat Islam.
Bagi menjelaskan perkara ini, Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan sebahagian ulama melihat kesesuaian untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan era Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat empat peristiwa besar yang berpotensi dijadikan titik mula kalendar Islam, iaitu kelahiran Nabi Muhammad SAW, perutusan Baginda sebagai rasul, peristiwa hijrah, dan kewafatan Baginda.
Namun begitu, para sahabat r.a. akhirnya memilih peristiwa hijrah sebagai asas takwim Islam. Pemilihan ini dibuat kerana tarikh kelahiran dan perutusan Nabi Muhammad SAW tidak dapat ditentukan secara tepat berikutan wujudnya perbezaan pandangan dalam kalangan ulama. Sementara itu, kewafatan Baginda pula tidak dipilih kerana akan mengingatkan umat Islam kepada peristiwa sedih yang tidak sesuai dijadikan asas penanda tahun.
Oleh itu, hijrah dipilih sebagai titik permulaan kalendar Islam kerana melambangkan permulaan pembinaan negara Islam dan penyatuan umat. Ibn Hajar turut menjelaskan bahawa penetapan masa takwim ini dihubungkan antara Rabiulawal hingga Muharam, berdasarkan susunan peristiwa hijrah, termasuk Bai‘ah al-‘Aqabah yang berlaku sebelum hijrah sebagai mukadimah kepada peristiwa tersebut.
Keputusan untuk berhijrah telah dimuktamadkan pada bulan Muharam, manakala proses pelaksanaannya berlaku selepas itu, menjadikan Muharam sebagai titik yang sesuai untuk permulaan kalendar Islam. Oleh itu, para sahabat RA akhirnya bersepakat bahawa pendekatan ini merupakan pilihan yang paling kuat dan kukuh dalam menetapkan sistem takwim Hijrah.
Pemilihan Muharam sebagai Permulaan Tahun dan Salah Faham Masyarakat
Terdapat sebahagian masyarakat yang beranggapan bahawa 1 Muharam merupakan tarikh sebenar berlakunya hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Pada hakikatnya, kefahaman ini tidak tepat berdasarkan perbahasan sejarah Islam yang sahih.
Menurut penjelasan para ulama sirah, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW tidak berlaku pada bulan Muharam, sebaliknya bermula pada akhir bulan Safar dan berakhir dengan ketibaan Baginda di Madinah pada bulan Rabiulawal. Oleh itu, tarikh 1 Muharam tidak merujuk kepada detik sebenar berlakunya hijrah, tetapi merupakan permulaan kiraan tahun Hijrah yang telah dipersetujui oleh para sahabat r.a. pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a.
Kekeliruan ini kebiasaannya berlaku apabila masyarakat menyamakan antara peristiwa hijrah dengan sistem takwim Hijrah, sedangkan kedua-duanya merupakan dua perkara yang berbeza dari sudut sejarah dan fungsi. Hijrah merujuk perjalanan dan peristiwa perpindahan Nabi Muhammad SAW, manakala takwim Hijrah merupakan sistem penentuan tahun yang dibangunkan untuk menyusun urusan umat Islam.
Oleh itu, perbezaan ini perlu difahami dengan tepat agar tidak berlaku salah tafsir terhadap sejarah Islam, di samping memastikan kefahaman masyarakat terhadap peristiwa hijrah kekal berasaskan sumber yang tepat dan juga penjelasan para ulama muktabar.
Pengajaran daripada Awal Muharam
Walaupun Awal Muharam bukanlah tarikh berlakunya hijrah Rasulullah SAW secara sejarah, peristiwa tersebut tetap membawa pengajaran yang besar bagi umat Islam. Awal Muharam menjadi detik penting untuk umat Islam memperbaharu kesedaran tentang nilai hijrah dalam kehidupan, iaitu perubahan daripada keadaan yang kurang baik kepada yang lebih baik berteraskan iman dan takwa.
Hijrah dalam Islam bukan sekadar perpindahan tempat, tetapi melibatkan perubahan menyeluruh dalam diri seorang Muslim, sama ada dari sudut akidah, akhlak, amal ibadah mahupun cara hidup.
Setiap kali datangnya Awal Muharam, mengingatkan umat Islam tentang kepentingan melakukan muhasabah terhadap diri sendiri serta melakukan pembaharuan azam untuk menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik.
Sambutan Awal Muharam juga wajar dimanfaatkan untuk menghidupkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat, khususnya dengan menghayati sirah hijrah Rasulullah SAW serta mengambil iktibar daripada perjuangan Baginda untuk menegakkan agama Allah SWT. Peringatan sejarah ini menjadi suatu bentuk tarbiah rohani bagi membina jati diri Muslim yang lebih istiqamah.
Oleh itu, Awal Muharam seharusnya menjadi titik permulaan kepada perubahan positif dalam kehidupan seseorang Muslim bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi suatu proses pembinaan diri yang berterusan menuju keredaan Allah SWT.