Diterbitkan pada 16 Jun 2026, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sebahagian masyarakat beranggapan bahawa 1 Muharam merupakan tarikh berlakunya hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Dalam hal ini, adakah 1 Muharam benar-benar tarikh penghijrahan Baginda?

Awal Muharam merupakan detik penting dalam kalendar Islam yang menandakan bermulanya tahun baharu Hijrah. Setiap kali 1 Muharam tiba, umat Islam di seluruh dunia khususnya di Malaysia akan memperingatinya sebagai simbol perubahan, penghijrahan dan muhasabah diri, bahkan tarikh ini turut diisytiharkan sebagai cuti umum di negara kita.

 

Kedudukan Bulan dalam Sistem Takwim Islam
Secara asasnya, Awal Muharam bukanlah peristiwa yang mempunyai amalan atau ibadah khusus yang disyariatkan seperti solat atau puasa khusus, sebaliknya merupakan penanda permulaan tahun dalam kalendar Islam yang dikenali sebagai takwim Hijri. Takwim ini berfungsi sebagai sistem pengiraan masa bagi umat Islam untuk urusan ibadah dan amalan kehidupan.

Kewujudan sistem kalendar ini menunjukkan bahawa Islam sangat menitikberatkan keteraturan masa dan ketepatan dalam kehidupan manusia, khususnya dalam urusan ibadah seperti puasa, haji, zakat dan tempoh sesuatu hukum syarak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan yang empat itu … .” (Surah al-Taubah 9:36).

Para ulama tafsir menjelaskan bahawa firman Allah SWT tentang bilangan bulan dalam Islam membawa maksud jumlah bulan di sisi Allah SWT ialah 12 bulan yang telah ditetapkan dalam hukum-Nya sejak penciptaan langit dan bumi. Bulan tersebut ialah Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah.

Al-Baghawi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa ayat ini merujuk sistem bulan Qamari yang menjadi asas kiraan umat Islam dalam ibadah seperti puasa, haji, hari raya dan urusan kehidupan seharian. Beliau turut menjelaskan bahawa perbezaan antara tahun Qamari dengan tahun Syamsiah menunjukkan hikmah penciptaan Allah SWT. Tahun Qamari yang digunakan dalam Islam adalah lebih dekat dengan amalan ibadah kerana pengiraannya berdasarkan peredaran bulan. Secara purata, tahun Qamariah mengandungi kira-kira 354 hari, manakala tahun Syamsiah sekitar 365 hari.

Selain itu, Allah SWT turut menyatakan daripada 12 bulan tersebut, terdapat empat bulan yang dimuliakan iaitu Rejab, Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Bulan tersebut dikenali sebagai bulan haram yang mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam.

Keseluruhan penjelasan ini menunjukkan bahawa sistem bulan dalam Islam bukanlah sesuatu yang dibuat secara sembarangan, tetapi merupakan ketetapan Allah SWT yang penuh hikmah dan menjadi asas kepada pengurusan ibadah umat Islam.

 

Sejarah dan Penetapan Takwim Hijrah
Perkataan takwim berasal daripada bahasa Arab yang merujuk sistem pengiraan masa yang merangkumi tarikh, susunan bulan, kiraan tahun, serta pelbagai maklumat berkaitan dengan peredaran masa. Dalam Islam, takwim Hijriah merupakan sistem kalendar rasmi umat Islam yang digunakan dalam pelbagai urusan ibadah seperti solat, puasa dan haji.

Takwim Hijriah bersifat qamari (berdasarkan peredaran bulan mengelilingi bumi) dan bermula daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Pemilihan peristiwa hijrah sebagai asas takwim ini bukan berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW, tetapi diputuskan pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a. bagi menyelesaikan isu pengurusan tarikh dalam hal ehwal pentadbiran umat Islam.

Sebelum wujudnya sistem ini, masyarakat Arab termasuk umat Islam awal tidak mempunyai sistem kalendar yang seragam. Mereka menamakan tahun berdasarkan peristiwa besar yang berlaku, seperti Tahun Gajah dan Tahun Keruntuhan Empangan Ma‘rib. Keadaan ini menyebabkan berlakunya kekeliruan dalam urusan surat-menyurat dan pentadbiran. Sehinggalah pada zaman Khalifah ‘Umar r.a., timbul keperluan untuk mewujudkan suatu sistem tarikh yang tersusun dan seragam bagi seluruh wilayah Islam.

 

Penetapan Takwim pada Zaman Khalifah ‘Umar r.a.
Sejarah mencatatkan bahawa penetapan takwim Hijriah berlaku pada sekitar tahun ke-17 Hijrah. Beberapa surat rasmi pada zaman awal pemerintahan Islam di bawah kepimpinan Khalifah ‘Umar r.a. telah menimbulkan keperluan kepada sistem penentuan tarikh yang lebih tersusun. Antaranya termasuklah surat daripada Abu Musa al-Asy‘ari r.a. yang tidak menyatakan tarikh, serta surat daripada gabenor di Mesir yang hanya mencatatkan bulan Syaaban tanpa menyebut tahun. Keadaan ini menyebabkan berlakunya kekeliruan dalam urusan pentadbiran dan dokumentasi.

Selain itu, Khalifah ‘Umar r.a. turut menerima surat daripada Ya‘la bin Umayyah dari Yaman yang mencatatkan tarikh secara lebih lengkap dengan menyertakan hari, bulan dan tahun berdasarkan kiraan selepas peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW. Susunan ini telah menarik perhatian Khalifah ‘Umar r.a. kerana lebih sistematik dan memudahkan urusan pentadbiran.

Ekoran itu, beliau mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan para sahabat r.a. pada hari Rabu, 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi membincangkan suatu sistem takwim yang seragam untuk umat Islam. Hasil perbincangan tersebut, para sahabat r.a. bersetuju untuk memulakan takwim Islam berdasarkan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah.

Berdasarkan keputusan tersebut, 1 Muharam tahun pertama Hijrah ditetapkan pada hari Jumaat, 16 Julai 622 Masihi. Penetapan ini bukan sekadar urusan pentadbiran, bahkan mencerminkan detik penting dalam sejarah Islam apabila terbentuknya negara Islam di Madinah, berhimpunnya umat Islam di bawah kepimpinan Rasulullah SAW, serta bermulanya sistem masyarakat Islam yang tersusun.

Sebelum hijrah, umat Islam tidak memiliki sistem negara yang tersusun dan tidak mempunyai bentuk penyatuan pentadbiran yang menyeluruh. Oleh itu, hijrah menjadi titik perubahan besar dalam sejarah umat Islam.

Dalam perbahasan lanjut, para sahabat r.a. turut membincangkan pelbagai cadangan bagi menentukan asas takwim Islam, termasuklah kelahiran Nabi Muhammad SAW, kewafatan Baginda, serta tarikh Baginda diutus sebagai rasul. Namun demikian, pada akhirnya mereka memilih peristiwa hijrah kerana membawa makna pembinaan ummah dan negara Islam yang lebih menyeluruh.

Keputusan ini disepakati oleh para sahabat r.a. dan menjadi asas kepada sistem kalendar Islam hingga hari ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi