Diterbitkan pada 16 Jun 2026, 07:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sekiranya Nabi Muhammad SAW mampu membina kerangka kehidupan bernegara bersama-sama dengan komuniti bukan Muslim dengan baik, mengapakah kita sesama Muslim yang mempunyai perbezaan politik jauh lebih kecil jurangnya daripada perbezaan akidah gagal untuk bertoleransi antara satu dengan lain?

Umat Islam pada hari ini sedang menghadapi paradoks yang amat menyedihkan. Dalam sebuah negara yang majoriti penduduknya Muslim, masih wujud individu yang memutuskan silaturahim hanya disebabkan oleh sentimen pilihan raya. Seorang bapa sanggup menolak untuk bersalaman dengan menantunya kerana berlainan sokongan parti politik. Institusi masjid yang sepatutnya menjadi tempat pertemuan hati ummah, bertukar menjadi medan perpecahan.

Suasana ini menuntut kita untuk menghayati semula peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah yang bukan sekadar catatan sejarah, tetapi sebagai manhaj hidup buat umat yang sedang dirobek oleh polemik pertelagahan politik. Pengorbanan para sahabat r.a. dalam peristiwa hijrah bukan hanya melampaui ujian kehilangan harta dan tempat tinggal, malah pertaruhan nyawa yang dilakukan dengan penuh kesedaran dan kerelaan.

Sebagai contoh, Suhaib al-Rumi r.a. menyerahkan keseluruhan kekayaannya kepada kaum Quraisy semata-mata sebagai pertukaran agar beliau dibenarkan berhijrah. Tindakan luar biasa beliau mendapat pujian daripada Nabi Muhammad SAW menerusi sabda Baginda yang bermaksud, “Beruntunglah perniagaanmu, wahai Abu Yahya!” (Hadis riwayat al-Hakim, no. 5698). Baginda mengatakan sedemikian kerana Suhaib meletakkan nilai iman mengatasi segala-galanya.

Bilal bin Rabah r.a. pula menanggung azab penyeksaan di tengah-tengah padang pasir yang terik sebelum beliau sempat berhijrah. Tiada sepatah kata yang terungkap daripada lisannya melainkan lafaz, “Ahad! Ahad!”, lantas membuktikan bahawa tiada kesakitan fizikal yang mampu menggoyahkan jiwa seseorang yang benar-benar beriman.

Begitu juga pengorbanan Sumayyah r.a., wanita pertama Islam yang syahid. Beliau mempertaruhkan nyawanya sebelum sempat melihat cahaya kemenangan Islam di Madinah. Rentetan daripada pengorbanan para sahabat ini memperlihatkan bahawa keimanan yang tulen teruji tatkala berada pada waktu tekanan yang paling berat menghimpit diri, dengan memilih Allah SWT dan melepaskan segala sesuatu yang dicintai di dunia ini.

Ukhuwah Mengatasi Perbezaan

Ketika Nabi Muhammad SAW tiba di bumi Madinah, Baginda berhadapan dengan realiti sosial yang jauh lebih kompleks. Kaum Muhajirin yang datang dari Makkah membawa latar belakang Quraisy mereka dari segi keturunan, budaya, bahkan loghat yang berbeza dengan penduduk tempatan Madinah, iaitu kaum Ansar daripada suku Aus dan Khazraj. Jurang perbezaan ini bukan kecil. Aus dan Khazraj pula baru sahaja menamatkan perang saudara sebelum mereka memeluk Islam. Kini, mereka pula diminta untuk berkongsi rumah, harta, malah hidup bersama-sama dengan orang asing dari Makkah.

Namun begitu, Allah SWT merakamkan kejayaan ukhuwah ini menerusi firman-Nya yang bermaksud, “Dan Dia (Allah) yang menyatukan hati mereka (orang yang beriman). Kalau kamu belanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka, tetapi Allah telah menyatukan hati mereka … .” (Surah al-Anfal 8:63).

Ayat ini mengandungi pengajaran yang mendalam tentang perpaduan sejati antara manusia yang hadir daripada pelbagai latar belakang. Perpaduan merupakan kurniaan Allah SWT yang wujud apabila hati diikat oleh iman. Oleh itu, apabila sebahagian daripada umat Islam hari ini berpecah belah oleh faktor politik, kita perlu bertanya pada diri sendiri, apakah ikatan iman sudah terputus, atau hanya tersepit di sebalik kebanggaan parti?

Model Mu’akhat: Mendahulukan Saudara Mengatasi Kepentingan Peribadi

Satu daripada langkah terawal Nabi Muhammad SAW setelah menetap di Madinah ialah usaha mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar dengan pendekatan yang dikenali sebagai mu’akhat, iaitu persaudaraan yang dipersaksikan secara formal. Tindakan ini bukan sekadar simbolik. Seorang Ansar menawarkan separuh hartanya, bahkan bersedia menceraikan seorang daripada isterinya agar dapat dikahwini oleh saudaranya daripada Muhajirin.

Persaudaraan antara ‘Abdul Rahman bin ‘Auf r.a. dengan Saʻd bin Rabiʻ al-Ansari r.a. merupakan kisah yang paling masyhur. Saʻd r.a. telah menawarkan separuh daripada harta miliknya untuk dikongsi. Walau bagaimanapun, ‘Abdul Rahman r.a. menolak tawaran tersebut dengan sopan, sebaliknya meminta agar ditunjukkan jalan ke lokasi pasar untuk beliau membina kembali kehidupannya dari bawah.

Malangnya, konteks mu’akhat di Malaysia hari ini hanya dipraktikkan secara terpilih, berkumpul sesama ahli parti, dan enggan duduk semeja dengan saudara Muslim yang lain pandangan politiknya. Pada hakikatnya, kita telah melanggar roh sebenar muʻakhat.

Nabi Muhammad SAW sendiri tidak hanya mempersaudarakan orang berdasarkan suku atau kabilah yang sama, bahkan pada mereka yang berbeza-beza latar belakangnya kerana ujian ukhuwah yang sebenar akan lahir daripadanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Perumpamaan orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi sesama mereka seperti satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh lain sukar tidur dan merasai demam.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6011; dan Muslim, no. 2586). Jika kita memahami hadis ini secara literal dalam konteks politik semasa, adakah kita turut merasai rasa sakit itu atau kita bergembira apabila saudara kita yang berlainan parti dianiaya, hak mereka dipinggirkan dan suara mereka dikuburkan?

Piagam Madinah

Antara warisan hijrah lain termasuklah termeterainya Piagam Madinah. Sebuah perjanjian bertulis yang bukan sahaja mengurus hubungan sesama Muslim, malah turut merangkumi komuniti Yahudi di Madinah di bawah satu payung entiti politik yang harmoni. Hakikat ini perlu difahami dengan betul. Sekiranya Nabi Muhammad SAW mampu membina kerangka kehidupan bernegara bersama-sama dengan komuniti bukan Muslim dengan baik, mengapa kita sesama Muslim yang mempunyai perbezaan politik jauh lebih kecil jurangnya daripada perbezaan akidah gagal untuk bertoleransi antara satu dengan lain?

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua-dua saudara kamu (yang bertelingkah) dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat 49:10). Perkataan “fa aslihu” (maka damaikanlah) dalam ayat ini bukanlah bersifat cadangan, tetapi suatu perintah daripada Allah SWT. Tindakan mendamaikan sesama Muslim menjadi kewajipan di sisi syarak. Namun begitu, kita pada hakikatnya tidak akan mampu menjadi pendamai selagi kita sendiri masih membawa sikap prejudis, dan enggan untuk merendahkan ego bagi menghulurkan persahabatan kepada pihak yang dimusuhi.

Bahaya Budaya Takfiri Sesama Muslim atas Nama Politik

Dalam suasana suhu politik yang semakin panas, lidah manusia mudah tergelincir. Seseorang yang menyokong parti berbeza dengan individu lain mula digelar munafik, penjual agama, pengkhianat atau label yang berat implikasinya dalam Islam. Nabi Muhammad SAW memberikan peringatan tentang perkara ini menerusi sabda-Nya yang bermaksud, “Sesiapa yang memanggil saudaranya dengan ‘wahai kafir’, maka sesungguhnya ucapan itu akan kembali kepada seorang daripada kedua-duanya … .” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6103; dan Muslim, no. 60).

Meskipun pertarungan pentas politik moden hari ini kita mungkin tidak menggunakan perkataan kafir secara literal, corak psikologi yang mendasarinya tetap serupa. Kita masih mempunyai kecenderungan untuk melihat mereka yang tidak sehaluan tidak layak digelar Muslim yang baik, tidak boleh dipercayai dan perlu dijauhi. Hal ini merupakan satu bentuk sosial yang tidak kurang bahayanya. Peristiwa hijrah mengajar kita bahawa perbezaan berupaya diurus dengan matang. Baginda tidak pernah mengambil pendekatan untuk menghapuskan perbezaan, tetapi mengurusnya melalui peraturan, dialog dan keadilan.

Oleh yang demikian, pengajaran hijrah bukanlah sekadar retorik kosong. Pelaksanaannya perlu diterjemahkan dalam beberapa kerangka yang utama, iaitu:

  1. Setiap individu Muslim perlu mengenali orang yang berbeza pandangan politik sebagai saudara seakidah. Sebelum melihat kepada logo parti pada dada seseorang, lihatlah pada syahadah dalam hatinya.
  2. Amalkan adab ikhtilaf kerana perbezaan pendapat mengandungi rahmat, tetapi memerlukan adab yang disertai dengan hujah, bukan dengan penghinaan.
  3. Pihak berkuasa dan masyarakat perlu bekerjasama bagi memelihara kesucian institusi masjid, majlis ilmu dan perhimpunan Islam daripada terus dieksploitasi sebagai medan kempen kepartian. Masjid ialah tempat yang bebas (berkecuali) untuk pertemuan hati, bukan medan perang politik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Janganlah kamu saling mendengki, janganlah kamu saling membenci, janganlah kamu saling membelakangi. Jadilah hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6065).

Ukhuwah Warisan Terbesar Hijrah

Peristiwa hijrah bukan sekadar catatan perpindahan sebuah komuniti dari satu kota ke kota yang lain. Hijrah menjadi bukti agung bahawa ukhuwah islamiah mampu mengatasi segala bentuk perbezaan apabila iman dijadikan teras kehidupan bersama. Apa-apa yang diusahakan oleh Nabi Muhammad SAW di Madinah dalam tempoh pascahijrah bukan pembinaan sebuah negara yang seragam, tetapi sebuah peradaban yang meraikan perbezaan dalam bingkai persaudaraan.

Kaum Muhajirin dan Ansar yang berbeza-beza suku, budaya dan latar belakang ekonomi berjaya hidup bersatu kerana mereka sepakat bahawa ikatan iman lebih kuat daripada segala jurang yang memisahkan. Pengajaran ini relevan buat umat Islam pada saat ini yang terlalu mudah membiarkan perbezaan aliran politik mengoyak hubungan saudara seakidah, seolah-olah kesetiaan kepada sebuah parti lebih suci daripada kesetiaan kepada kalimah syahadah yang sama-sama diucapkan.

Tindakan menjaga ukhuwah bukan bermakna kita wajib bersetuju dalam setiap perkara, tetapi menghormati hak sesama Muslim untuk berbeza pendapat tanpa kehilangan kasih sayang dan penghormatan antara satu sama lain. Hakikat ini diungkapkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10 bahawa persaudaraan sesama mukmin ialah hakikat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan tugas kita adalah untuk tidak mengkhianatinya.

Selagi hijrah difahami hanya sebagai peristiwa sejarah semata-mata, kita akan terus gagal mengambil manfaatnya. Sebaliknya, apabila hal ini difahami sebagai manhaj yang membina peradaban, maka umat Islam akan sedar bahawa usaha menjaga ukhuwah merupakan sebuah tanggungjawab yang menentukan sama ada kita layak mewarisi kegemilangan generasi sahabat Rasulullah SAW yang pernah mengubah dunia.

Peristiwa hijrah mendidik umat Islam bahawa ukhuwah bukan sekadar slogan, tetapi komitmen nyata yang mengatasi perbezaan suku, budaya dan pandangan. Persaudaraan Islam mestilah diletakkan mengatasi kepentingan politik agar ummah kekal bersatu dan bermartabat di sisi Allah SWT.


Penulis merupakan Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi