Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHari Raya Aidiladha ialah hari umat Islam digalakkan menyembelih binatang korban, bermula selepas solat Aidiladha pada 10 Zulhijah hingga sebelum terbenam matahari pada 13 Zulhijah.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak ada amalan anak Adam pada hari Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain menumpahkan darah (korban).” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 1493).
Penyembelihan haiwan korban dapat dilihat secara zahir oleh mata manusia. Namun begitu, hakikat korban menuntut pembersihan jiwa, serta pengorbanan demi menghakis sifat mazmumah yang bersarang dalam hati.
Perbuatan menyembelih seekor haiwan mengambil masa hanya beberapa minit, namun untuk “menyembelih” sifat sombong, riyak, takbur, bongkak, ujub, hasad, dengki dan marah mengambil masa bertahun-tahun, malah boleh melangkau sepanjang hayat. Pisau yang tajam mampu memutuskan urat pada leher haiwan korban, namun untuk memutuskan akar kesombongan, memerlukan “pisau” kesedaran, muhasabah dan takwa.
Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. bukan sekadar kisah sejarah, tetapi kisah tersebut hendaklah dijadikan cermin kehidupan kita. Allah SWT menguji Nabi Ibrahim a.s. dengan sesuatu yang paling dicintainya. Baginda diuji dengan perintah menyembelih putera kesayangan, Ismail a.s.; dan ternyata baginda lulus ujian besar daripada Ilahi.
Dalam kehidupan ini, kita juga sebenarnya mempunyai “Ismail” masing-masing. “Ismail” yang kita cintai ada yang berbentuk harta, ada yang berbentuk pangkat, ada yang berbentuk kedudukan, yang tanpa kita sedari telah mempengaruhi dan membentuk sifat kesombongan dalam diri kita. Sesungguhnya Allah SWT menguji kita dengan perkara yang kita cintai. Dalam banyak keadaan, perkara yang paling kita cintai tanpa kita sedari ialah sifat kesombongan diri.
Orang sombong berasa dirinya lebih baik, lalu dengan angkuh sanggup menolak kebenaran. Sifat sombong menyebabkan kita sukar menerima teguran, susah mengakui kesilapan, lalu lidah terlalu berat untuk mengucapkan kata-kata, “Saya tersilap, saya telah melakukan kesalahan, atau saya memohon maaf.”
Iblis tersesat bukan kerana kurang ilmu, tetapi kerana kesombongan. Keengganan untuk bersujud kepada Adam a.s. berpunca daripada ungkapan yang penuh keangkuhan, iaitu “Aku lebih baik daripadanya.” Ungkapan ini masih hidup hingga hari ini, bukan dalam bentuk yang sama, tetapi dalam pelbagai bentuk, rupa dan ragam manusia.
“Menyembelih” sifat sombong memerlukan kesediaan untuk merendah diri; bersedia mengakui bahawa kita telah tersilap dan memilih untuk memohon maaf, meskipun hati masih berat; memilih berdiam diri, meskipun kita mampu membalas hujah; terbuka menerima bahawa pandangan orang lain lebih baik daripada pandangan kita. Pada saat sedemikianlah, kita telah berjaya “menyembelih” dan “mengorbankan” sifat sombong.
Usaha membersihkan jiwa daripada sifat tercela seperti sombong, riyak, takbur, bongkak, ujub, hasad, dengki dan marah, memang sukar dilakukan. Banyak insan yang mampu melaksanakan ibadah yang zahir, namun amat sukar memelihara hati yang bersifat batin.
Untuk membendung sifat buruk tersebut, umat Islam perlu bersama-sama mengamalkan lima perkara seperti yang berikut:
Semoga pada Hari Raya Aidiladha ini, bukan sahaja haiwan korban yang berjaya ditumbangkan ke bumi, tetapi turut menggugurkan sifat sombong yang sekian lama dibiarkan hidup dalam diri, dan sifat takabur yang telah membutakan jiwa kita.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Daging dan darah binatang korban itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikian Allah memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu mengagungkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan sebaik-baiknya) kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (Surah al-Haj 22:37).
Manfaatkan sambutan Aidiladha untuk merapatkan hubungan silaturahim. Agihkan daging korban kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Hargailah pengorbanan anggota pasukan keselamatan, petugas kesihatan, pemandu teksi dan kenderaan awam, serta semua pihak yang sedang melaksanakan pelbagai tugas fardu kifayah sewaktu kita bergembira menyambut Aidiladha bersama-sama dengan keluarga. Mereka berkorban tenaga, masa, dan jiwa demi menjaga keselamatan, kesihatan, dan kesejahteraan masyarakat.
Semoga mereka sentiasa ikhlas memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan. Semoga pengorbanan dan khidmat bakti mereka dilimpahi ganjaran di dunia dan di akhirat.
Disesuaikan daripada khutbah Hari Raya Aidiladha, 27 Mei 2026, bertajuk “Ibadah Korban: Lambang Penyucian Jiwa”.